Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2019

Islam larang debat hukum sudah tetap, disepakati

Posted by epondok di Oktober 19, 2019

Oleh Hasliza Hassan

 

DEMOKRASI sekular tidak membenarkan sistem perundangan berasingan untuk masyarakat beragama, penulisan semula al-Quran dan homoseksual dianggap bukan dosa ialah tajuk dalam Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang mencetuskan kritikan dan polemik awam.

Ini kerana ketiga-tiga usul yang menjadi tajuk perdebatan bertema agama itu bukan sahaja tidak sensitif terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi, malah ia membabitkan persoalan usul dalam akidah dan hukum yang tetap dalam agama.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, berkata haram membincangkan sesuatu hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan mendebatkan perkara sudah ijmak ulama.

Zamri berkata, ketiga-tiga usul terang-terang cuba membibitkan fahaman liberalisme, iaitu menolak perundangan syariah, mencadangkan penulisan semula al-Quran serta mempersoalkan pengharaman homoseksual.

Tindakan itu katanya, tidak menjaga sensitiviti Islam, bercanggah dengan pengukuhan Rukun Negara, iaitu kedaulatan undang-undang, bahkan tidak menghormati Perlembagaan yang Islam menjadi agama Persekutuan.

“Lebih menyedihkan, urusetianya orang Islam sendiri. Maka, wajar Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas dan begitu juga pihak berkuasa agama.

“Tahniah kepada peserta yang masih sayangkan agama untuk menarik diri, begitu juga ibu bapa dan guru yang masih sensitif terhadap penjagaan agama Islam,” katanya.

Zamri yang juga Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) menegaskan Islam mengiktiraf debat sebagai landasan menggalakkan cara berfikir kritis terhadap sesuatu isu untuk mendapatkan pandangan terbaik.

Namun, ia tidak bermakna semua sudut dalam Islam boleh didebat atau dinilai menggunakan akal semata-mata kerana Islam bersifat tanzil, iaitu diturunkan melalui wahyu yang memandu manusia dalam berfikir.

“Dengan wahyu bersifat kebenaran mutlak itu, manusia mengetahui hak dan batil, hakikat serta fantasi, makruf dan mungkar yang kesemuanya memandu fikiran manusia, bukan sebaliknya.

“Bukan semua perkara dalam Islam boleh dianggap khilaf atau diperselisihkan dan dinilai menggunakan akal.

“Ada sudut ‘tsawabit’ (sudah tetap) atau ‘ittifaq’ (sudah disepakati) yang perlu dipegang seluruh umat Islam walaupun ada kalanya tidak dapat difahami akal,” katanya.

Beliau meminta tindakan tegas diambil dan siasatan hendaklah dilakukan kerana setiap penganjur ada matlamat dan objektif ingin dicapai berdasarkan pilihan tajuk.

Katanya, debat seperti ini bukan sekadar tindakan biadab terhadap majoriti umat Islam di negara ini, bahkan penghinaan kepada Yang di Pertuan Agong serta sultan sebagai ketua bertanggungjawab terhadap Islam.

“Usul dibawa jelas bertentangan dengan syariat Islam dan mengundang peserta untuk berfikir dalam kerangka merungkai syarak serta menimbulkan keraguan terhadap Islam dalam kalangan penonton,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata masyarakat perlu faham ada persoalan boleh dibincang tetapi sebahagiannya tidak boleh dipertikaikan yang disifatkan Islam sebagai perkara sudah ditentukan al-Quran dan sunnah.

Contohnya, solat Subuh dua rakaat dan Isyak (empat) meskipun secara zahirnya, manusia lebih bertenaga pada waktu pagi berbanding malam hari.

Namun, persoalan seperti itu tidak boleh dibincangkan kerana ia arahan Allah SWT kepada Nabi SAW yang tidak diberitahu sebarang sebab.

Begitu juga al-Quran sebagai kalam Allah SWT yang tidak boleh ditandingi manusia dan terbukti pakar bahasa zaman jahiliah terpegun dengan kehebatan serta kelunakan bahasa dalam al-Quran.

“Sudah menjadi ketentuan dan persepakatan sama ada Arab jahiliah dahulu, apatah lagi orang beriman untuk tidak berdebat atau berhujah mengenai kredibiliti al-Quran.

“Tindakan membincangkan usul itu dianggap cadangan sangat dangkal oleh penganjur,” katanya.

Katanya, jika penganjur bukan Islam, bermakna mereka tidak menghormati Islam dan al-Quran sebagai perlembagaan yang menjadi panduan umat Islam.

Andainya penganjur adalah orang Islam, mereka termasuk dalam kalangan orang berdosa.

Mohd Izhar berkata, alasan penganjur usul itu hanya soalan hipotesis atau yang diandaikan untuk mendapatkan rumusan secara umum tidak dapat diterima kerana jelas terdapat larangan terhadap homoseksual di dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman: “Dan (Kami juga sudah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala Baginda berkata kepada mereka: Mengapa kalian mengerjakan perbuatan fahisyah itu yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum kalian? Sesungguhnya kalian mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu kalian (kepada mereka), bukan kepada wanita, bahkan kalian kaum melampaui batas.” (Al-A’raf: 80-81)

“Isu liwat atau homoseksual sudah dibincangkan sekian lama sejak Nabi SAW diutuskan dan al-Quran menjelaskan lelaki yang mendatangi lelaki atau wanita dengan wanita adalah perbuatan keji.

“Bagaimana pula boleh datang fakta mengatakan al-Quran tidak pernah melarang homoseksual,” katanya.

Beliau turut menyelar perbuatan membenarkan pelajar yang belum sampai tahap pengkaji dan penyelidik membicarakan perkara sangat bahaya, sekali gus membuka ruang dengan ideologi liberalisme.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Begitu besarnya rahmat apabila bangun sebelum subuh

Posted by epondok di Oktober 15, 2019

NURULFATIHA MUAH

 

PERASAN atau tidak, apabila menjelangnya waktu subuh, kepala kita akan terasa berat. Mata pula bagaikan ‘digam-gam’ seolah-olah sukar hendak celik. Badan pula terasa malas hendak bangun dan meninggalkan bantal dan selimut.

Barangkali situasi itu pernah berlaku pada diri kita. Ya, itulah ‘ikatan’ syaitan yang cuba menghasut manusia supaya tidak bangun awal pagi dan solat Subuh.

Namun, kita sebagai hamba-NYA perlu melawan segala belenggu itu untuk menunaikan kewajipan kepada Sang Pencipta. Mereka yang berjaya berbuat demikian layak digelar sebagai ‘pejuang subuh’.

Sebenarnya, bangun awal pagi bukan sahaja untuk memudahkan segala urusan kerja dan rutin harian kita, malah ia dituntut dalam agama Islam. Rahmat ALLAH SWT dan keberkatan pagi akan turun buat hamba-NYA yang bangun awal pagi.

Sebab itulah kita selalu dengar orang kata: “Jangan tidur lepas Subuh, nanti rezeki tak masuk.”

Rupanya kata-kata itu memang ada perkaitan rapat dengan keberkatan pada waktu pagi.

Kenapa waktu awal pagi begitu signifikan dalam Islam? Bilakah waktu yang terbaik untuk kita memperoleh keberkatan pagi dan rahmat ALLAH SWT?

Doa Rasulullah SAW

USTAZ FAUZI MUSTAFA
Persoalan berkenaanSinar Islam lontarkan kepada pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa. Ujar agamawan itu, sesiapa yang bangun awal pagi iaitu sebelum subuh, mereka akan mendapat keberkatan waktu tersebut.

Jelas beliau, perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW. Baginda berdoa: “Ya ALLAH, berkatilah umatku pada pagi mereka.” (Riwayat at-Tirmizi)

“Baginda SAW mendoakan setiap pekerjaan yang umat baginda lakukan pada pagi hari sama ada perniagaan, pertanian, penternakan, nelayan dan pekerjaan lain agar mendapat keberkatan.

“Apakah itu keberkatan? Ia bermaksud kebaikan yang melimpah ruah kepada seseorang. Antara kebaikan berkenaan adalah dari segi fizikal. Bila kita bangun pagi dan mandi, badan rasa segar,” katanya.

Bilakah sebaik-baik waktu untuk bangun awal pagi? Kata Ustaz Fauzi, sebaik-baik waktu ialah pada waktu sahur sepertimana yang biasa kita lakukan ketika bulan Ramadan.

Ujar beliau, mereka yang bangun awal pagi juga akan mendapat rahmat ALLAH SWT dalam bentuk peruntukan masa bersama Sang Pencipta yang sedia mendengar masalah hamba-hamba-NYA.

“Di dunia ini, hendak dapat waktu berjumpa dengan raja mahupun pemimpin bukan mudah. Namun, untuk kita ‘berjumpa’ ALLAH amat mudah asalkan kita bangun awal pagi iaitu sebelum Subuh yang dipanggil waktu sahur.

“Pada masa itu, mengadulah kepada ALLAH apa masalah dan hajat kita pada-NYA kerana DIA sedang ‘melayan’ kita pada waktu itu,” katanya.

Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal satu pertiga malam terakhir lalu berfirman: “Sesiapa meminta kepada AKU, AKU akan tunaikan permintaannya. Sesiapa beristighfar kepada AKU, AKU akan mengampuni dosanya.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Tokoh agama itu berkata, secara logiknya, orang yang bangun lambat akan mengejar masa, selain masanya juga akan dirasakan seolah-olah kurang.

“Katakan kalau kita bekerja di Kuala Lumpur. Apabila bangun selepas Subuh, kemudian mandi, solat, gosok baju dan pergi kerja, kita akan stres dengan jalan yang sesak. Keberkatan pagi sudah tiada.

“Bila sudah lambat, minta kawan tolong ‘punch in’ (mengetik kad perakam waktu) di tempat kerja. Jadi, sudah hilang keberkatan kerana ada unsur penipuan dalam kerja kita. Sebab itu asasnya ialah bangun awal pagi kerana ia merupakan satu terapi dan memang dijanjikan keberkatan pada kita iaitu kebaikan pada umurnya,” katanya.

Buku catatan harian
Ustaz Fauzi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau bercerita tentang buku catatan harian kita.

AWAL pagi merupakan waktu paling baik untuk kita melakukan ibadah seperti membaca al-Quran kerana malaikat yang bertugas mencatat amalan kita akan bertukar syif menjelang subuh.
Jelas tokoh agama itu, ALLAH SWT menghantar malaikat bertugas siang dan malam untuk mencatat segala amalan kita. Mereka ditugaskan pada syif malam dan siang. Pertukaran syif itu berlaku menjelang subuh.

“Apabila kita bangun pada awal pagi, kita akan dapat menutup buku catatan harian dengan ibadah tidak kiralah sama ada dengan zikir, istighfar dan sebagainya.

“Apabila malaikat syif siang datang, kita dapat membuka buku catatan harian kita juga dengan ibadah iaitu berjalan ke masjid dan solat Subuh,” katanya.

Bukan itu sahaja, apabila kita solat Subuh berjemaah di masjid atau surau, ujar Ustaz Fauzi, pahalanya sangat besar. Apatah lagi, jika kita berpeluang menunaikan solat Isyak berjemaah pada waktu malam sebelumnya, pahalanya umpama kita menunaikan qiamullail sepanjang malam.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka pahalanya seumpama dia qiamullail separuh malam. Dan jika keesokannya dia berjemaah lagi untuk solat Subuh, maka pahalanya seumpama dia qiamullail sepanjang malam.” (Riwayat Ibnu Majah)

“Bangun awal pagi juga sebenarnya menyebabkan kita ada masa untuk solat sunat qabliyah dua rakaat sebelum solat fardu Subuh. Pahalanya sangat besar,” katanya.

Kisah pasar tidak berkat

IMAM MUDA HASSAN
Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan mengajak kita untuk menyoroti kisah keberkatan pagi yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Ujar beliau, ketika itu, ada pasar yang dimonopoli oleh orang Yahudi. Bangunan pasar berkenaan cantik dan berbumbung, namun sewanya mahal. Para peniaga meletakkan harga barang yang mahal.

“Maka bila Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, baginda mengubah sistem pasar Yahudi itu kerana mendapati ia tidak berkat, selain ada yang menipu dalam jualan. Lalu baginda SAW membangunkan sebuah pasar dikenali sebagai pasar al-Manakhah.

“Baginda tidak membangunkan binaan, sebaliknya ia hanyalah tanah lapang yang kosong dan tidak dikenakan sewaan. Dengan cara itu, orang berebut-rebut dan peniaga beralih ke pasar nabi. Pasar berkenaan tidak menetapkan lot sesiapa. Ini bermakna siapa yang datang awal pagi, dia akan dapat ‘port’ yang paling cantik atau strategik.

“Disebabkan tiada sewa, harga barang agak murah. Pembeli yang juga penduduk Madinah akan datang awal untuk membeli barang di situ. Jika tidak, barang akan habis. Akhirnya, pasar Yahudi tadi jatuh dan rugi,” katanya.

Menerusi kisah berkenaan, kata Imam Muda Hassan, sebenarnya ia sarat dengan hikmah bahawa betapa berkatnya waktu pagi.

“Bukan setakat dapat menghidupkan waktu pagi dengan bermanfaat, tetapi juga peniaga dapat tempat yang strategik dan jualan pula habis selain untung yang banyak.

“Begitu juga dengan pembeli. Siapa yang datang lambat, tidak akan dapat beli barang. Siapa yang datang awal pula dapat membelinya. Itulah hikmah pagi yang membawa berkat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Imam Muda Hassan turut menegur sikap segelintir masyarakat yang mengutamakan bangun malam untuk menunaikan ibadah yang sunat berbanding fardu hingga ada yang meninggalkan solat Subuh.

“Sekarang, kita kena faham juga keutamaan fekah. Jika mengikut keutamaannya ialah yang wajib, kemudian baru yang sunat dan harus. Sebenarnya bangun malam ini tidak wajib. Kita kena buat yang wajib dulu dan tengok pada kemampuan diri. Kalau kita mampu untuk buat yang wajib, kemudian kita buat yang sunat.

“Memang kebanyakan kita digalakkan untuk melakukan solat tahajud dan bangun malam, tetapi kalau kita tak mampu membuat yang wajib kerana buat yang sunat, tiada berkat juga,” ujar beliau.

Elak tidur selepas subuh

HASSAN MAHMUD
Benarkah jika tidur selepas subuh, tiada keberkatan? Kata pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz, ya, keberkatan dan rahmat pada waktu pagi memang ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW.

Ujar agamawan itu, mengelak tidur selepas subuh adalah lebih baik untuk memperoleh rahmat dan keberkatan pada waktu pagi.

“Jika bangun awal pagi, turun rahmat dan ALLAH bukakan pintu rezeki dan ada doa pagi. Kemudian, kita keluar pergi kerja.

“Apa yang penting, jangan tidur lagi sebelum matahari naik. Tidak elok berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Bagi yang bekerja syif malam dan pulang pada waktu paling, Hassan Mahmud berpesan agar tidak terus tidur sejurus pulang dari tempat kerja hinggalah naik matahari bagi mendapatkan keberkatan pagi.

“Jangan tidur lagi (selepas Subuh). Tunggu dulu, biar lepas naik matahari yang dipanggil waktu syuruk. Mengikut perkiraan, dalam jam 9 pagi ke atas, barulah mereka boleh tidur,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Hassan turut menganjurkan dua doa boleh diamalkan pada waktu pagi iaitu Bismillahillazni la yadhurru ma’as mihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ wa hu was sami’ul ‘alim dan doa pagi, Ashbahna wa ashbahal mulku lillah.

Beliau pada masa sama turut berkongsi tip bangun awal pagi. Selain daripada tidur awal dan cukup, paling signifikan ialah kita perlu berniat mudah-mudahan ALLAH jaga dan pelihara diri kita.

“Bila kita tidur, ia ibarat kita ‘mati’. Sebelum tidur, bacalah doa tidur seperti yang dianjukan Islam. Kemudian, jangan abaikan doa bangun tidur.

“Seperkara lagi, jangan menonton cerita jenayah atau yang mengerikan sebelum tidur kerana kita akan jadi sukar untuk bangun. Lebih baik dengar ayat-ayat al-Quran atau muzik yang bernada perlahan. Itu boleh menenangkan otak kita,” katanya.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kisah terpilih dalam Surah Maryam

Posted by epondok di Oktober 14, 2019

FOUZIAH AMIR

 

AL-QURAN memberi barakah dalam kehidupan dengan syarat kita perlu baca, faham dan amal. Lebih banyak kita berinteraksi dengan al-Quran, lebih dekat dengan ALLAH SWT dan lebih banyak menerima rahmat-NYA.

Daripada Uthman bin Affan RA, Rasululullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Kaedah tadabbur dan tazakkur al-Quran mampu memberi penghayatan terhadap mesej ALLAH SWT. Inisiatif tersebut turut diambil oleh Nur ‘Ala Nur Academy yang menganjurkan Jewels of Quran 10: Surah Maryam bersama Ustazah Aisha Altaf dari Institut Al-Huda yang berlangsung di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ayat 1 Surah Maryam dimulakan dengan huruf Muqatha’ah iaitu Kaaf Haa Yaa ‘Ain Shaad. Ia menunjukkan kita sebagai hamba ALLAH tidak tahu apa-apa melainkan ALLAH yang Maha Mengetahui. ALLAH memberi khabar melalui al-Quran untuk kita mengetahui perkara lalu, sekarang dan akan datang.

Dalam Surah Maryam, ALLAH SWT menceritakan kebesaran-NYA yang memberi rahmat hamba-NYA dalam beberapa kisah yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan kita:

1. Kisah Nabi Zakaria AS (ayat 2-15)
Nabi Zakaria berdoa dengan suara yang lembut kepada ALLAH SWT untuk dikurniakan zuriat. Sebelum menyampaikan hajatnya, Nabi Zakaria dengan rendah hati menyatakan, keuzuran tubuh badannya yang lemah dan rambut dipenuhi uban, namun tidak pernah berputus asa untuk terus berdoa kepada ALLAH SWT. Dalam doa tersebut, Nabi Zakaria melahirkan rasa kebimbangan tentang kesinambungan legasinya untuk menyampaikan dakwah, sedangkan isterinya mandul. Oleh itu, baginda AS memohon dikurniakan anak lelaki yang diredai ALLAH.

Dengan rahmat dan kekuasaan ALLAH SWT, Nabi Zakaria dianugerahkan anak bernama Nabi Yahya AS, yang diberi hikmah (kebijaksanaan), berkasih sayang, bertakwa dan baik terhadap kedua orang tuanya. Ternyata kuasa doa itu amat penting dalam kehidupan manusia. ALLAH mendengar doa hamba-NYA secara perlahan atau kuat. Doa juga menunjukkan sifat kehambaan kita yang mengharapkan bantuan ALLAH.

2. Kisah Maryam (ayat 16-40)
ALLAH menceritakan kisah Maryam, anak kepada pasangan Imran dan Hannan, keluarga yang dimulia dan dicatatkan dalam al-Quran. Ibu Maryam telah bernazar jika mendapat zuriat, beliau akan mewakafkan anaknya untuk berkhidmat di Baitulmaqis. Maryam menjadi idola kepada golongan wanita yang memfokuskan diri untuk belajar dan ikhlas beribadah kepada ALLAH SWT.

Maryam telah mengasingkan diri daripada dunia luar agar lebih fokus beribadah. Namun dengan rahmat ALLAH, Maryam dianugerahkan anak lelaki bernama Nabi Isa AS kepada Maryam tanpa berkahwin. Apabila ALLAH berkehendak dan menghendakinya adalah mudah bagi-NYA, ‘Kun Fayakuun’. Ini menunjukkan kekuasaan ALLAH yang Maha Pencipta.

3. Kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS (ayat 41-50)
ALLAH mengisahkan Nabi Ibrahim sebagai orang yang sangat mencintai kebenaran dan seorang nabi. Baginda AS yang juga dikenali sebagai Amirul Sadiq menentang bapa dan kaumnya yang menyembah berhala. Untuk bercakap sesuatu yang benar, bukan mudah terutama dengan orang yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada kita. Nabi Ibrahim AS menegur bapanya secara berhikmah, hormat dan sopan untuk menyampaikan kebenaran. Baginda AS memanggil bapanya dengan ikhlas dan kasih sayang, ‘Ya abati’.

Kesan Nabi Ibrahim AS mengasihi dan menghormati ibu bapa serta doa, menjemput rahmat ALLAH. ALLAH SWT Yang Maha Penyayang menganugerah zuriat dan keturunannya dalam kalangan para nabi seperti Nabi Ismail AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS sehingga utusan terakhir, Nabi Muhammad SAW.

Apabila kita mengharapkan keredaan dan mengutamakan ALLAH, ALLAH akan memberikan yang terbaik dalam hidup kita. Oleh itu, kita perlu sentiasa positif kepada ALLAH SWT dengan memperbanyakkan doa dan ibadah. Apabila berdoa, jangan mementingkan diri. Sebaliknya, kita berdoa untuk zuriat dan keturunan kita dan apa harapan kita.

4. Kisah para nabi (ayat 51-57)
ALLAH SWT menyebut beberapa orang nabi antaranya Nabi Musa AS sebagai orang terpilih, nabi dan rasul yang berbicara secara langsung dengan ALLAH. ALLAH dengan rahmat-NYA juga memilih saudara Nabi Musa AS, Harun sebagai nabi.

Turut dinukilkan dalam Surah Maryam, Nabi Ismail sebagai nabi dan rasul benar-benar menepati janjinya dan diredai ALLAH.

Baginda AS menyuruh keluarganya untuk mendirikan solat dan menunaikan zakat. Nama Nabi Idris AS turut dinyatakan oleh ALLAH dalam al-Quran sebagai nabi dan sangat mencintai kebenaran serta mendapat martabat yang tinggi.

Kisah para nabi yang disebut oleh ALLAH adalah dalam kalangan mereka yang benar. Oleh itu, apa yang kita cakap, lakukan dan niatkan hendaklah benar berdasarkan al-Quran dan sunah. Kebenaran merupakan satu perjuangan untuk mengajak orang lain ke arah kebaikan.

PESERTA Jewels of Quran 10 mempelajari isi kandungan Surah Maryam pada program yang diadakan di IAIS Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
5. Kisah alam akhirat (ayat 59-98)
Al-Quran memberi panduan kepada kita tentang kepentingan iman dan hubungan kita dengan ALLAH. Orang yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsu akan tersesat. Jika mereka bertaubat dan melakukan kebaikan, mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga ‘Adn.

Sesungguhnya, janji ALLAH itu benar. Syurga ialah milik orang bertakwa. ALLAH SWT menanamkan rasa kasih sayang ke dalam hati orang beriman, manakala golongan kafir dan zalim akan dikumpulkan bersama syaitan ke neraka jahanam kerana mengingkari ALLAH. Mereka berasa dahaga dan tidak mendapat syafaat kecuali mereka patuh perintah ALLAH.

Manusia sentiasa diuji dalam kehidupan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Oleh itu, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertaubat dan memohon bimbingan ALLAH SWT untuk ke syurga selagi hayat masih ada. Kita juga bertanggungjawab untuk selamatkan ahli keluarga daripada api neraka.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Majlis Ilmu Prof Dr Habib Syed Ab Hamid al-Mahdaly di Kelantan minggu ini

Posted by epondok di Oktober 13, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Fahami adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’

Posted by epondok di Oktober 12, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

Adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam Islam membolehkan setiap perbezaan pandangan menjadi sumber kekuatan umat, sekali gus tidak dianggap masalah membebankan sekiranya ditangani dengan betul.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berkata keadaan itu berdasarkan sifat kewujudan manusia yang dijadikan pelbagai bangsa dan agama.

Afifi berkata, Allah SWT menjadikan manusia berbeza-beza untuk saling mengenali, walaupun terdapat kelompok berada di jalan lurus, manakala sebahagian pula memilih jalan kesesatan.

Beliau berkata, hakikat itu menunjukkan konsep rahmat buat sekalian alam boleh diterapkan dalam interaksi sosial manusia.

“Hubungan antara Rahmatan Lil Alamin dan adab al-ikhtilaf (berbeza pandangan) boleh diungkapkan dalam satu kalam ulama, iaitu rahmat umat kita terletak pada perbezaan pendapat antara imam (rahmatul ummah fi ikhtilaf al-a’immah).

“Ini bermakna, sama ada kita bermazhab Shafie yang menjadi ikutan umat Islam di negara ini atau Hanafi, Maliki dan Hanbali, semua pandangan mereka betul, manakala perbezaan patut diraikan,” katanya dalam pertemuan dengan BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tegas Afifi, meraikan perbezaan tidak seharusnya terhad kepada konteks fiqh, tetapi boleh diguna pakai dalam perkara membabitkan politik tempatan.

“Dalam negara demokrasi yang matang seperti Britain dan Amerika Syarikat (AS), setiap parti politik termasuk pembangkang mempunyai kelebihan dan peranan tersendiri, iaitu menjadi cermin kepada kerajaan.

“Ini warisan tradisi Islam seperti ditulis Imam al-Ghazali dalam karyanya, Nasihat al-Muluk yang menasihatkan kepemimpinan kerajaan kerana tiada seorang manusia atau parti pun yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata, mengikut etika Islam, ada dua cara dalam adab bersetuju untuk tidak bersetuju, iaitu ta’ayush dan tasamuh.

“Konsep ta’ayush adalah menerima pendapat lain seadanya yang menjurus kepada penerimaan sejati atau berlapang dada menerima kepelbagaian pendapat mazhab dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti perbezaan pandangan antara Imam Shafie dan Imam Hanafi.

“Konsep tasamuh pula merujuk perselisihan pendapat dengan pihak memang diyakini salah tetapi terpaksa menahan geram dan bertoleransi menerimanya untuk mengelakkan pergaduhan, malah saling berbunuhan,” katanya.

Afifi berkata, hal itu dimaksudkan bertolak-ansur dalam masyarakat Melayu atau qabul hukmi (penerimaan dengan berat hati) di sisi ulama seperti perbezaan pendapat antara orang Islam dan bukan Islam dalam hal akidah dan sesama umat Islam seperti ASWJ dengan Syiah.

“Islam tidak memaksa orang untuk memeluk agama yang suci ini dan meraikan perbezaan pendapat selagi kita tidak meredai kekufuran atau melanggar undang-undang negara,” katanya.

Menurut Afifi, konsep adab al-ikhtilaf sudah dijelaskan sejak dahulu oleh ulama Islam apabila menerima perbezaan cara menunaikan solat pengikut mazhab Shafie atau Hanafi, sekali gus semangat sama perlu dilakukan ahli politik selagi tidak melanggar hukum pokok akidah atau syariah.

Katanya, Malaysia masih dalam proses menjadi negara demokrasi matang seperti Jepun dan Britain tetapi pertukaran kerajaan dan parti memerintah antara bukti kematangan yang seharusnya diraikan kerana tidak semua negara mampu berbuat demikian.

“Inilah yang tersirat dalam mengguna pakai konsep Rahmatan Lil Alamin yang berasal dari al-Quran. Jika kita memahami adab al-ikhtilaf daripada tradisi Islam, kita dapat menterjemahkannya di negara ini.

“Di sini kita perlu mengikut pepatah orang Negeri Sembilan, jadi ‘sawo matang’. Kerajaan mahupun pembangkang hendaklah bertindak dewasa.

“Menurut tradisi Islam, pembangkang berperanan sebagai cermin kerajaan dan tidak ada satu parti yang betul atau salah seratus peratus,” katanya.

Tegas Afifi, dalam tradisi Islam, keputusan dibuat sebagai polisi kerajaan adalah ijtihad semata-mata, iaitu ikhtiar atau usaha ahli politik mendapatkan jawapan difikirkan benar untuk maslahat umum hingga kebanyakannya usaha subjektif.

Konsep Rahmatan Lil Alamin yang menawarkan kefahaman berlapang dada dan bertolak-ansur kepada masyarakat tidak seharusnya dipolitikkan, malah konsep itu sudah diperkenalkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 30 tahun lalu.

Ia turut dijadikan moto Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Perak oleh menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hingga tindakan mempolitikkannya bukan langkah bijak kerana keutamaan adalah keharmonian hidup bermasyarakat dalam negara aman dan damai.

“Apakah kita mahu mengaitkannya dengan agenda parti politik semata-mata? Kalau kita tidak mahu atau tidak selesa dengan sandaran parti politik, maka kita boleh sandarkan pada polisi UIAM atau USAS.

“Penting untuk difahami, Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan. Apabila masuk bab agama, kita perlu mendapat perkenan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sekarang perlu melakukan apa yang dikata. Jika mereka mempromosikan Rahmatan Lil Alamin, jadi mereka sepatutnya memulakan langkah dengan meraikan kepelbagaian pendapat termasuk daripada pembangkang.

“Sebagai ahli masyarakat, kita perlu mendengar dan menilai polisi kerajaan sekarang yang mungkin bermanfaat dan juga mungkin tidak,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan bukan beban sebaliknya rahmat jika difahami dengan betul kerana Allah SWT boleh sahaja menjadikan manusia daripada satu kaum atau agama sahaja tetapi hakikatnya manusia diciptakan berbeza.

Sudah tentu persoalan pasti timbul bahawa hingga tahap manakah kita mampu bertoleransi?

Afifi berkata, had toleransi dengan orang bukan Islam, ialah kita tidak boleh reda dengan kekufuran mereka kerana akidah antara orang Islam dan bukan Islam itu berbeza, iaitu ‘bagimu agamamu, bagiku agamaku.’

“Walaupun kita percaya mereka salah, kita perlu memahaminya, sabar dan menahan geram. Mengikut kalam Imam Ali RA, kalau ada perbezaan pendapat antara orang Islam dan bukan Islam atau ASWJ dengan selainnya seperti Syiah, kita melihat mereka sebagai ‘nazirun laka khalq’ (saudara sesama manusia).

“Walaupun kita tidak boleh reda pendapat mereka menghina sahabat Rasulullah SAW sebab ia dosa besar menurut ASWJ, kita perlu menahan geram dengan menghormati mereka dan tidak boleh mengkafirkan mereka,” katanya.

“Mereka tetap saudara kita dalam Islam dan kita menghormati mereka sebagai manusia. Batasannya, kita tidak reda dengan kekufuran mereka atau kefasikan mereka,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

‘Jangan berasa sinis isu perpaduan umat Islam’

Posted by epondok di Oktober 11, 2019

Oleh Zamri Hashim

 

Perpaduan sesama Islam ialah tuntutan dari Allah SWT.

Oleh itu, tindakan membiarkan atau menggalakkan ummah terus bercerai-berai sangat bersalahan dengan perintah-Nya. Firman Allah SWT: “Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu sebagai orang Islam bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Aali Imran: 103)

Ia kekuatan tidak boleh diabaikan dan memberi kesan besar jika tidak diberi perhatian sewajarnya. Musuh Islam akan menggunakan peluang daripada perpecahan umat Islam untuk melemahkan ummah yang akhirnya menjadikan kita seperti bidak di papan catur untuk diatur serta diuruskan mereka. Firman Allah SWT: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar. (Al-Anfal: 46)

Apa yang berlaku di hadapan mata sama ada di luar atau dalam negara, membuktikan betapa benarnya firman Allah SWT bahawa selagi umat Islam melakukan maksiat dan kemungkaran, melepaskan tangan mereka daripada terus memegang kemas ‘tali Allah’ serta melucutkan pegangan ‘tali penyambung sesama umat’, maka kehinaan akan menimpa seperti umat terdahulu.

Sememangnya rasuah, salah guna kuasa dan LGBT termasuk dalam kumpulan maksiat serta kemungkaran, namun jangan lupa menggalakkan perpecahan sesama umat Islam juga maksiat sebaris dengan maksiat tadi.

Firman Allah SWT: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja berada kecuali dengan adanya sebab dari Allah (kembali berpegang dengan agama Allah) dan adanya sebab dari manusia (menghubung kembali hubungan). Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). (Aali Imran: 112)

Penyatuan Ummah

Umat Islam di negara ini sepatutnya gembira apabila ada usaha penyatuan ummah. Perbuatan terus melaga-lagakan umat Islam dan berasa tidak tenteram dengan usaha menyatupadukan itu khususnya di negara ini mirip sasaran kerja syaitan yang mengikrarkan untuk terus melihat orang beriman bercerai-berai. Mereka sanggup menggunakan apa cara sekalipun semata-mata mencapai hasrat keji itu.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak serta judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat.

Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Al-Maidah: 91) Sebagaimana kita rancak berkempen untuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini demi membina negara kuat, maju dan dihormati, lebih utama juga mengajak majoriti penduduk negara ini di kalangan umat Islam agar bersatu-padu.

Perpaduan umat Islam sangat penting kerana ia tulang belakang kepada negara ini dan perpecahan akan membahayakan kepentingan Islam yang sekian lama terpelihara.

Sudah tentu perpaduan umat Islam mesti didasarkan kepada ajaran Islam, bersatu atas dasar akidah dan merapatkan saf sesama Muslim untuk mendaulatkan Islam dalam kehidupan dan hidup bernegara.

Hendaklah kita memelihara diri kita daripada sifat ‘kesyaitanan’ apabila berasa selesa apabila melihat umat Islam berterusan berpecah dan sinis terhadap usaha menyatupadukan umat Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bersatu kerana akidah jalan menuju syurga

Posted by epondok di Oktober 9, 2019

Oleh Zamri Hashim

 

Bersatu kerana akidah dan untuk menegakkan kehendak Allah SWT di atas muka bumi ini adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan senda gurau.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bersatu padu kerana akidah, begitu juga dalil yang mencela perpecahan selain memberi amaran keras kepada pemecah belah serta pemutus tali persaudaraan sesama Islam.

Semua orang Islam patut tahu perkara asas ini. Rasulullah SAW dan sahabat telah menunjukkan teladan bagaimana arahan Allah SWT boleh dilaksanakan yang terbukti memberi kesan besar kepada membentuk hala tuju baru umat Islam berperanan dalam kehidupan.

Kisah Aus dan Khazraj yang melupakan kisah lama mereka demi menyahut seruan perpaduan, adalah bukti yang nyata dan dipuji dalam al-Quran.

Perpaduan yang diusahakan atas tujuan yang benar adalah penyebab kepada terselamatnya pihak yang bersengketa daripada jurang api neraka sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (pada zaman jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Ali Imran: 103)

Umat Islam wajib menyokong apa juga usaha untuk menyatu padukan ummah atas dasar akidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini. Janganlah meletakkan andaian atau terlajak berani memberikan andaian buruk sedangkan hati umat Islam hanya mampu dijinakkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al Anfaal: 63)

Kepada pihak yang sedang terbabit dalam perpaduan ini, mesti beringat bahawa barangkali ia peluang terakhir yang Allah SWT tawarkan kepada mereka. Jangan khianati Allah SWT, Rasulullah SAW dan umat Islam.

Oleh itu, hanya mengehadkan perpaduan kepada tujuan politik kepartian semata-mata, kepada ahli parti politik kepartian sahaja sangat mendedahkan diri kepada kegelinciran niat dan maksud.

Jika ada pihak mahupun individu yang berniat khianat kepada Allah SWT, Rasul SAW, umat Islam dan masih mengejar kepentingan peribadi, ingatlah kes mereka sebenarnya akan dikendalikan sendiri oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang yang beriman.” (Al-Anfaal: 63)

Firman Allah SWT
Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang yang beriman. (Al-Anfaal: 63)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ummah masih keliru erti kebebasan

Posted by epondok di Oktober 8, 2019

Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

Di mana-mana sahaja negara di dunia, sering kedengaran suara kebebasan dalam konteks kemanusiaan, kebebasan wanita, akhbar, bersuara, beragama dan tuntutan lain demi kepentingan serta kelangsungan hidup mereka.

Umat Islam masih ada yang keliru pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam. Rata-rata memahami kebebasan ialah boleh melakukan apa sahaja menurut hati dan nafsu biarpun bercanggah kehendak agama atau bertentangan nilai kemanusiaan.

Oleh itu, kita dapati umat Islam semakin lama semakin jauh meminggirkan agama Islam dan ajarannya yang suci atas alasan kebebasan dilaungkan itu. Mereka menerima apa sahaja yang datang daripada Barat padahal tidak semuanya baik dan sesuai belaka.

Ini bukan kebebasan, sebaliknya ia adalah melampaui batasan kemanusiaan dan menodai fitrah semula jadi manusia yang sebenar. Di sini terletaknya peranan kerajaan dan ulama untuk menerangkan pengertian sebenar kebebasan menurut perspektif Islam.

Isu kebebasan bukan hanya dalam syariat Islam, ia juga terdapat dalam undang-undang tubuh negara yang mengiktiraf kebebasan manusia menjalani kehidupan seharian. Islam dari awal sudah menegaskan, kebebasan itu selaras fitrah semula jadi manusia, tiada unsur paksaan.

Allah SWT berfirman: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia sudah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Tidak seperti agama lain di dunia, Islam mengambil kira kebebasan individu dan masyarakat dalam kebanyakan urusan kehidupan. Islam menonjolkan ciri keistimewaan dan keunikannya yang mampu memancarkan sinar kesejahteraan menaungi alam semesta ini.

Contohnya, dalam bab kebebasan beragama, Islam memerintahkan umatnya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat.

Ini selaras firman Allah SWT: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

Oleh itu, tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam sebagaimana dakwaan orientalis Barat dan musuh Islam yang memutar belitkan fakta mengenai Islam.

Satu lagi kebebasan yang menjadi perhatian ialah kebebasan bersuara, menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan, termasuk kebebasan akhbar menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat.

Namun, kebebasan itu masih terikat dengan garis panduan syarak iaitu berada di atas landasan amal makruf dan nahi mungkar. Islam memerintahkan umatnya menyatakan kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa ada melihat kemungkaran di hadapan kamu maka hendaklah kamu mengubah dan mencegahnya dengan tangan kamu (dengan kuasa yang ada pada kamu), sekiranya kamu tidak mampu (dengan tangan kamu) maka hendaklah kamu ubahnya dengan lidah kamu. Jika kamu masih lagi tidak mampu, maka hendaklah kamu ubahnya dengan hati kamu, itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, Tirmizi & Ibnu Majah)

Demikian Islam menangani isu kebebasan bersuara mengikut salurannya supaya keharmonian dan kesejahteraan umat sejagat tetap terpelihara.

Penyakit sosial seperti maksiat dan amalan keji yang dilarang Allah SWT adalah penyakit ummah yang berupaya menggugat kerukunan dan kesatuan bangsa yang berdaulat.

Oleh itu, kewajipan amar makruf dan nahi mungkar melalui medium kebebasan bersuara wajar dijulang serta diangkat sebagai wadah perantara bagi menjamin ketelusan pihak bertanggungjawab dan kesejahteraan umat manusia sejagat.

Akhir-akhir ini, timbul isu wanita menuntut untuk melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki. Mereka menuntut hak kesamarataan dengan lelaki dari segi pakaian, kerjaya dan sebagainya.

Apakah ini kebebasan yang dibenarkan Islam? Ulama terkenal, Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap insan yang hidup dalam masyarakat.

Kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah ajaran agama. Jika ada gangguan dan bercanggah dengan agama, sudah tentu masyarakat ramai akan bertindak menegah perbuatan melampaui batas itu.

Syeikh al-Sya’rawi menjelaskan, satu cara untuk seseorang memiliki kebebasan sepenuhnya ialah dengan memencilkan diri dan hidup bersendirian. Orang ramai tidak akan mengganggu, setiap perbuatannya tidak akan ditegah, juga tidak dilihat, jadi dia bebas melakukan apa sahaja.

Apa yang dapat disimpulkan, kebebasan mutlak tidak wujud. Tidak ada keharmonian dan kesejahteraan seandainya masyarakat itu tidak bersistem, mengikut peraturan serta undang-undang.

Islam menyediakan panduan lengkap bagi mengatur manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat. Islam menjamin hak kebebasan individu Muslim dan masyarakat ramai supaya keadilan dan kesaksamaan tertegak di atas muka bumi Allah SWT ini.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ideologi kapitalis menidakkan fitrah manusia

Posted by epondok di Oktober 7, 2019

Oleh Azril Mohd Amin

 

Ideologi kapitalis yang menguasai kebanyakan negara di dunia pada era kontemporari ini umumnya menganggap manusia sebagai insan yang baik dan mendakwa kejahatan muncul daripada manusia disebabkan pembatasan atau halangan dikenakan terhadap kehendak mereka.

Oleh demikian, menurut ideologi kapitalisme, tuntutan kehendak manusia harus dibiarkan sebebas-bebasnya supaya mereka mampu menzahirkan tabiat baiknya yang semula jadi.

Ini antara punca munculnya idea kebebasan yang menjadi ciri menonjol dalam ideologi kapitalisme.

Bagi ideologi itu demi hak asasi, manusia harus dibebaskan daripada kawalan tuhan dalam urusan kehidupan untuk mereka menikmati kebebasan sempurna.

Empat jenis kebebasan

Terdapat empat jenis kebebasan di dalam ideologi kapitalisme yang menjadi hak setiap manusia dan harus dihargai oleh manusia lain, iaitu kebebasan beragama, menyatakan pendapat, hak milik dan bertingkah laku.

Justeru, bukanlah sesuatu yang menakjubkan apabila kita mendapati di kebanyakan negara yang menjunjung ideologi kapitalisme, masyarakatnya mengizinkan murtad berleluasa khususnya dalam kalangan umat Islam.

Malah, dalam kalangan mereka sendiri, fahaman tidak bertuhan berleluasa serta tindakan keluar-masuk ataupun berpindah agama seumpama memilih barangan di rak pameran sesebuah pasar raya. Mereka juga mengamalkan agama mengikut hawa nafsu dan tafsiran sendiri.

Institusi serta golongan agama yang mempunyai autoriti ilmu diserang dengan pelbagai label negatif. Kecenderungan ini semakin berleluasa di Malaysia.

Kebebasan menyatakan pendapat pula menurut mereka adalah kebebasan mengeluarkan pendapat dengan apa cara sekalipun tanpa mempedulikan pendapat itu menghormati ajaran agama atau tidak.

Kebiadaban penerbit majalah Charlie Hebdo adalah contoh tindakan melaksanakan hak menyatakan pendapat yang melanggar batasan agama dan moral.

Di Malaysia, keangkuhan seumpama itu terserlah dalam kalangan mereka yang berselindung di sebalik hak kebebasan menyatakan pendapat dan menolak keperluan mengekalkan undang-undang Akta Hasutan 1948 yang digubal berdasarkan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, untuk menetapkan had kepada kebebasan bersuara.

Kewujudan kebebasan hak milik diterapkan ideologi kapitalisme juga menjadi antara hak yang ditonjolkan. Ramai berpendapatan ratusan ribu manusia setiap bulan, walaupun hakikatnya jutaan, manusia yang kekal di lembah kemiskinan sehingga ada yang akhirnya mati akibat kekurangan khasiat, penyakit malah akibat kebuluran.

Namun begitu, isu jurang kemiskinan yang mendalam bukanlah menjadi keprihatinan ideologi kapitalisme kerana pendekatan memaksimumkan keuntungan adalah keutamaan mereka sekalipun menafikan hak orang lain.

Kebebasan bertingkah laku pula adalah bentuk hak asasi manusia yang pada saat ini sering menjerumuskan manusia ke jurang kehinaan.

Mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan baik, buruk, halal atau haram sesuatu tindakan itu.

Gaya kehidupan songsang yang dianuti dan diamalkan golongan liberal, LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan tanda tanya) serta fahaman tidak bertuhan sebagai contoh, adalah penzahiran hak kebebasan bertingkah laku tiada batasan yang turut berasal daripada ideologi kapitalisme.

Di saat masyarakat dunia sedang dihancurkan ideologi kapitalisme, Islam kekal sebagai agama yang menyediakan jawapan terhadap kekeliruan manusia dalam mencari makna diri.

Allah SWT mencipta manusia dengan segala kurniaan potensi yang wujud pada diri mereka.

Secara fitrah, manusia mempunyai naluri beragama dan bagi seorang Muslim, ini dibuktikan melalui kecenderungan beribadah menyembah Allah SWT.

Mukmin perlu ikut peraturan

Islam melarang apa juga bentuk paksaan untuk berada dalam agama, namun ketika seseorang melafazkan syahadah secara sedar dan faham kesannya maka dia terikat dengan seluruh peraturan Islam.

Allah SWT menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah al-Kahfi, ayat 29)

Begitu juga Allah SWT menciptakan manusia dengan memiliki naluri untuk mempertahankan diri dan dengan naluri itu manusia sentiasa ingin dilindungi maruah diri. Akan tetapi pembelaan maruah diri tidak boleh dilakukan secara sembarangan menurut kehendak akal manusia semata-mata.

Makna diri manusia harus didasarkan pada peraturan Allah SWT, seperti sabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman salah satu di antara kalian sehingga hawa nafsunya tunduk kepada yang aku bawa (Islam).” (Riwayat Imam Muslim)

Allah SWT menciptakan manusia dan diizinkan fitrah manusia untuk tertarik pada jantina yang berlawanan secara semula jadi. Allah SWT menciptakan manusia hanya terdiri daripada dua jenis untuk melahirkan keturunan maka dengan pernikahan antara lelaki dan perempuan jalan yang benar dan diperakui.

Manusia perlu berwaspada supaya tidak menjadikan ideologi kapitalisme yang di luar peraturan Islam sebagai anutan mereka. Sesungguhnya kita wajib menyedari peraturan berasal daripada ideologi selain Islam akan membawa kerosakan apabila diambil dan diterapkan secara membuta-tuli.

Begitu juga idea hak asasi manusia bersumberkan ideologi kapitalisme. Tidak patut jika umat Islam terpesona atau mengambil dan menerapkannya secara melulu tanpa membataskan dengan prinsip agama, budaya dan iktibar sejarah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Daurah Kitab Ihya’ Ulumuddin Oleh Habib Syed Abdul Hamid b Ali al-Mahdaly di Pondok Pasir Tumboh 17 Oktober ini

Posted by epondok di Oktober 6, 2019

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »