Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Oktober 2019

Batu loncatan ke Syurga

Posted by epondok di Oktober 29, 2019

Fadly Samsudin

 

SATU amalan yang tidak boleh sesekali ditinggalkan setiap kali selepas solat fardu adalah membaca ayat al-Kursi.

Ada antara kita selepas sahaja memberi salam, terus ‘lompat’ membaca surah al-Fatihah dan seterusnya membaca doa.

Sehubungan itu, selepas ini pastikan walau sibuk macam mana sekalipun, kita tetap perlu membaca ayat al-Kursi kerana itu adalah amalan yang disarankan Nabi SAW.

Sebaiknya selepas memberi salam, kita perlu membaca istighfar sekurang-kurangnya tiga kali, kemudian membaca ayat al-Kursi serta zikir lain.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah Temerloh, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih berkata, ayat 255 daripada Surah al-Baqarah itu juga digelar ‘penghulu’ segala ayat al-Quran.

Menurutnya, ayat berkenaan diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dengan diiringi ribuan malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya.

“Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu alamat yang menjadi halangan dalam perjuangan mereka.

“Maka, Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit iaitu penulis al-Quran supaya menulis serta menyebarkannya.

“Ayat ini disebut Ayat Kursi kerana di dalamnya terdapat perkataan Kursi, bermaksud tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat’.

“Ia syiar kebesaran Allah SWT yang menguasai meliputi tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi,” katanya.

Ustaz Mohd Zarimi berkata, membaca ayat al-Kursi mempunyai kelebihan tersendiri sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abi Umamah RA.

“Hadis itu menyatakan, kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardu,” katanya.

Abi Umamah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.” (Riwayat al-Thabarani dan al-Nasa’ie – dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban)

“Selain itu, ada satu kisah dalam satu hadis panjang mengenai kelebihan ayat al-Kursi yang disebut oleh syaitan serta dibenarkan oleh Nabi SAW iaitu akan sentiasa dalam pemeliharaan Allah selain syaitan tidak akan mendekati sehingga waktu pagi,” katanya.

Beliau berkata, Imam al-San’ani juga pernah berkata mengenai kelebihan ayat al-Kursi.

“Menurut kitab Subul al-Salam, kelebihan ayat Kursi adalah disebabkan padanya terhimpun segala nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).

“Ia adalah sebahagian ayat al-Quran. Jika membacanya dengan niat membaca al-Quran, maka sudah pasti terkumpul pada bacaan itu kelebihan membaca al-Quran yang sangat banyak,” katanya.

Sehubungan itu, kita perlu mengambil peluang beramal membaca ayat Kursi berkenaan terutamanya selepas melaksanakan solat fardu.

Tersangat mudah untuk dilakukan kerana kita semua sebenarnya sudah menghafaznya sejak kecil lagi.

Melihat kepada ganjaran serta kelebihan yang ditawarkan hasil melazimi bacaan ayat Kursi, ternyata kita manusia yang sangat rugi jika masih mengambil mudah serta tidak serius mengamalkannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »