Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pelajar wajib hormat guru

Posted by epondok di Oktober 21, 2019


Fadly Samsudin

 

ADAB ibarat bunga pada diri seseorang. Ia sentiasa indah dipandang mata dan mampu memikat hati sesiapa yang melihatnya.

Dalam hidup ini, kita sentiasa terikat dengan panduan dan peraturan supaya tidak melanggar batas yang ditetapkan.

Insan berakhlak mulia akan sentiasa menjaga adab, tingkah laku serta tutur katanya supaya tidak menyakiti orang lain.

Sebenarnya, sudah menjadi fitrah bagi manusia untuk cenderung melakukan kebaikan kerana pada diri mereka terdapat akhlak.

Ketika diciptakan, Allah SWT memuliakan manusia daripada makhluknya yang lain seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Israa’, ayat 70)

Maka, apabila manusia melakukan sesuatu perbuatan atau percakapan kotor, ketika itu mereka sedang merendahkan kemuliaan diri mereka di hadapan Allah SWT.

Rasulullah SAW juga selalu memohon kepada Allah SWT supaya akhlak Baginda diperbaiki.

Aisyah berkata, Rasulullah sering berdoa: “Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (Musnad Imam Ahmad)

Abu Darda berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amal yang menjadikan timbangan seorang mukmin berat pada hari kiamat adalah akhlak mulia. Sesungguhnya Allah SWT benci orang yang melampaui batas dan tidak bersopan santun.”

Ramai orang berilmu dan sentiasa ingin mempelajari ilmu, tetapi mereka tidak pula menekankan adab sebagai penuntut ilmu.

Kelakuan biadab terhadap guru misalnya adalah satu perkara sangat menyedihkan. Pelajar wajib menghormati guru kerana kedudukan mereka tinggi kerana pelajar perlu menadah dan menerima ilmu daripada mereka.

Berbicara mengenai adab ini juga, satu kejadian yang amat mendukacitakan berlaku di sebuah universiti awam tempatan berprestij, baru-baru ini apabila seorang graduan mempamerkan sikap biadab dengan secara terbuka melaungkan protes di atas pentas.

Peristiwa itu berlaku ketika berlangsungnya majlis konvokesyen yang penuh adat istiadat serta protokol selain turut dihadiri individu dan tokoh besar negara.

Majlis konvokesyen mempunyai nilai yang tinggi kepada seluruh warga akademik. Ia lambang intelektual serta ketinggian ilmu seseorang.

Perkara itu turut mendapat perhatian Pensyarah Fakulti Pengajian Quran & Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menerusi hantaran di Facebook miliknya yang menyatakan graduan lebih memerlukan adab.

Katanya, apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia.

“Al-Imam Malik dikatakan sangat mengutamakan adab dalam pengajiannya. Imam Malik dikatakan turut pernah menegur al-Imam Shafie yang dilihat seakan-akan bermain-main dengan jarinya ketika majlis pengajian hadis dijalankan.

“Perbuatan bermain-main dengan jarinya itu seakan-akan dilihat tidak beradab. Lalu Imam Malik memanggil al-Shafie untuk bertanya mengenai kelakuannya itu.

“Lalu al-Shafie menjawab, Wahai tuanku, aku tidak bermain-main, tetapi aku menulis dengan air liurku (di atas tapak tanganku) agar aku tidak lupa. Sesungguhnya aku adalah orang yang miskin dan tidak mempunyai dirham untuk membeli kertas dan pen.

“Lihatlah betapa seriusnya al-Imam Malik dalam menjaga adab anak muridnya ketika pengajian ilmu dijalankan. Kadang-kadang mungkin kita terasa lebih bijak daripada yang lain sehingga terlepas aspek adab yang perlu dijaga,” katanya dalam hantaran itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: