Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 19 Oktober 2019

Islam larang debat hukum sudah tetap, disepakati

Posted by epondok di Oktober 19, 2019

Oleh Hasliza Hassan

 

DEMOKRASI sekular tidak membenarkan sistem perundangan berasingan untuk masyarakat beragama, penulisan semula al-Quran dan homoseksual dianggap bukan dosa ialah tajuk dalam Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang mencetuskan kritikan dan polemik awam.

Ini kerana ketiga-tiga usul yang menjadi tajuk perdebatan bertema agama itu bukan sahaja tidak sensitif terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi, malah ia membabitkan persoalan usul dalam akidah dan hukum yang tetap dalam agama.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, berkata haram membincangkan sesuatu hukum yang sudah ditetapkan Allah SWT dan mendebatkan perkara sudah ijmak ulama.

Zamri berkata, ketiga-tiga usul terang-terang cuba membibitkan fahaman liberalisme, iaitu menolak perundangan syariah, mencadangkan penulisan semula al-Quran serta mempersoalkan pengharaman homoseksual.

Tindakan itu katanya, tidak menjaga sensitiviti Islam, bercanggah dengan pengukuhan Rukun Negara, iaitu kedaulatan undang-undang, bahkan tidak menghormati Perlembagaan yang Islam menjadi agama Persekutuan.

“Lebih menyedihkan, urusetianya orang Islam sendiri. Maka, wajar Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas dan begitu juga pihak berkuasa agama.

“Tahniah kepada peserta yang masih sayangkan agama untuk menarik diri, begitu juga ibu bapa dan guru yang masih sensitif terhadap penjagaan agama Islam,” katanya.

Zamri yang juga Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) menegaskan Islam mengiktiraf debat sebagai landasan menggalakkan cara berfikir kritis terhadap sesuatu isu untuk mendapatkan pandangan terbaik.

Namun, ia tidak bermakna semua sudut dalam Islam boleh didebat atau dinilai menggunakan akal semata-mata kerana Islam bersifat tanzil, iaitu diturunkan melalui wahyu yang memandu manusia dalam berfikir.

“Dengan wahyu bersifat kebenaran mutlak itu, manusia mengetahui hak dan batil, hakikat serta fantasi, makruf dan mungkar yang kesemuanya memandu fikiran manusia, bukan sebaliknya.

“Bukan semua perkara dalam Islam boleh dianggap khilaf atau diperselisihkan dan dinilai menggunakan akal.

“Ada sudut ‘tsawabit’ (sudah tetap) atau ‘ittifaq’ (sudah disepakati) yang perlu dipegang seluruh umat Islam walaupun ada kalanya tidak dapat difahami akal,” katanya.

Beliau meminta tindakan tegas diambil dan siasatan hendaklah dilakukan kerana setiap penganjur ada matlamat dan objektif ingin dicapai berdasarkan pilihan tajuk.

Katanya, debat seperti ini bukan sekadar tindakan biadab terhadap majoriti umat Islam di negara ini, bahkan penghinaan kepada Yang di Pertuan Agong serta sultan sebagai ketua bertanggungjawab terhadap Islam.

“Usul dibawa jelas bertentangan dengan syariat Islam dan mengundang peserta untuk berfikir dalam kerangka merungkai syarak serta menimbulkan keraguan terhadap Islam dalam kalangan penonton,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata masyarakat perlu faham ada persoalan boleh dibincang tetapi sebahagiannya tidak boleh dipertikaikan yang disifatkan Islam sebagai perkara sudah ditentukan al-Quran dan sunnah.

Contohnya, solat Subuh dua rakaat dan Isyak (empat) meskipun secara zahirnya, manusia lebih bertenaga pada waktu pagi berbanding malam hari.

Namun, persoalan seperti itu tidak boleh dibincangkan kerana ia arahan Allah SWT kepada Nabi SAW yang tidak diberitahu sebarang sebab.

Begitu juga al-Quran sebagai kalam Allah SWT yang tidak boleh ditandingi manusia dan terbukti pakar bahasa zaman jahiliah terpegun dengan kehebatan serta kelunakan bahasa dalam al-Quran.

“Sudah menjadi ketentuan dan persepakatan sama ada Arab jahiliah dahulu, apatah lagi orang beriman untuk tidak berdebat atau berhujah mengenai kredibiliti al-Quran.

“Tindakan membincangkan usul itu dianggap cadangan sangat dangkal oleh penganjur,” katanya.

Katanya, jika penganjur bukan Islam, bermakna mereka tidak menghormati Islam dan al-Quran sebagai perlembagaan yang menjadi panduan umat Islam.

Andainya penganjur adalah orang Islam, mereka termasuk dalam kalangan orang berdosa.

Mohd Izhar berkata, alasan penganjur usul itu hanya soalan hipotesis atau yang diandaikan untuk mendapatkan rumusan secara umum tidak dapat diterima kerana jelas terdapat larangan terhadap homoseksual di dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman: “Dan (Kami juga sudah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala Baginda berkata kepada mereka: Mengapa kalian mengerjakan perbuatan fahisyah itu yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum kalian? Sesungguhnya kalian mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu kalian (kepada mereka), bukan kepada wanita, bahkan kalian kaum melampaui batas.” (Al-A’raf: 80-81)

“Isu liwat atau homoseksual sudah dibincangkan sekian lama sejak Nabi SAW diutuskan dan al-Quran menjelaskan lelaki yang mendatangi lelaki atau wanita dengan wanita adalah perbuatan keji.

“Bagaimana pula boleh datang fakta mengatakan al-Quran tidak pernah melarang homoseksual,” katanya.

Beliau turut menyelar perbuatan membenarkan pelajar yang belum sampai tahap pengkaji dan penyelidik membicarakan perkara sangat bahaya, sekali gus membuka ruang dengan ideologi liberalisme.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »