Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 Oktober 2019

Fahami adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’

Posted by epondok di Oktober 12, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

Adab ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam Islam membolehkan setiap perbezaan pandangan menjadi sumber kekuatan umat, sekali gus tidak dianggap masalah membebankan sekiranya ditangani dengan betul.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berkata keadaan itu berdasarkan sifat kewujudan manusia yang dijadikan pelbagai bangsa dan agama.

Afifi berkata, Allah SWT menjadikan manusia berbeza-beza untuk saling mengenali, walaupun terdapat kelompok berada di jalan lurus, manakala sebahagian pula memilih jalan kesesatan.

Beliau berkata, hakikat itu menunjukkan konsep rahmat buat sekalian alam boleh diterapkan dalam interaksi sosial manusia.

“Hubungan antara Rahmatan Lil Alamin dan adab al-ikhtilaf (berbeza pandangan) boleh diungkapkan dalam satu kalam ulama, iaitu rahmat umat kita terletak pada perbezaan pendapat antara imam (rahmatul ummah fi ikhtilaf al-a’immah).

“Ini bermakna, sama ada kita bermazhab Shafie yang menjadi ikutan umat Islam di negara ini atau Hanafi, Maliki dan Hanbali, semua pandangan mereka betul, manakala perbezaan patut diraikan,” katanya dalam pertemuan dengan BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tegas Afifi, meraikan perbezaan tidak seharusnya terhad kepada konteks fiqh, tetapi boleh diguna pakai dalam perkara membabitkan politik tempatan.

“Dalam negara demokrasi yang matang seperti Britain dan Amerika Syarikat (AS), setiap parti politik termasuk pembangkang mempunyai kelebihan dan peranan tersendiri, iaitu menjadi cermin kepada kerajaan.

“Ini warisan tradisi Islam seperti ditulis Imam al-Ghazali dalam karyanya, Nasihat al-Muluk yang menasihatkan kepemimpinan kerajaan kerana tiada seorang manusia atau parti pun yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata, mengikut etika Islam, ada dua cara dalam adab bersetuju untuk tidak bersetuju, iaitu ta’ayush dan tasamuh.

“Konsep ta’ayush adalah menerima pendapat lain seadanya yang menjurus kepada penerimaan sejati atau berlapang dada menerima kepelbagaian pendapat mazhab dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti perbezaan pandangan antara Imam Shafie dan Imam Hanafi.

“Konsep tasamuh pula merujuk perselisihan pendapat dengan pihak memang diyakini salah tetapi terpaksa menahan geram dan bertoleransi menerimanya untuk mengelakkan pergaduhan, malah saling berbunuhan,” katanya.

Afifi berkata, hal itu dimaksudkan bertolak-ansur dalam masyarakat Melayu atau qabul hukmi (penerimaan dengan berat hati) di sisi ulama seperti perbezaan pendapat antara orang Islam dan bukan Islam dalam hal akidah dan sesama umat Islam seperti ASWJ dengan Syiah.

“Islam tidak memaksa orang untuk memeluk agama yang suci ini dan meraikan perbezaan pendapat selagi kita tidak meredai kekufuran atau melanggar undang-undang negara,” katanya.

Menurut Afifi, konsep adab al-ikhtilaf sudah dijelaskan sejak dahulu oleh ulama Islam apabila menerima perbezaan cara menunaikan solat pengikut mazhab Shafie atau Hanafi, sekali gus semangat sama perlu dilakukan ahli politik selagi tidak melanggar hukum pokok akidah atau syariah.

Katanya, Malaysia masih dalam proses menjadi negara demokrasi matang seperti Jepun dan Britain tetapi pertukaran kerajaan dan parti memerintah antara bukti kematangan yang seharusnya diraikan kerana tidak semua negara mampu berbuat demikian.

“Inilah yang tersirat dalam mengguna pakai konsep Rahmatan Lil Alamin yang berasal dari al-Quran. Jika kita memahami adab al-ikhtilaf daripada tradisi Islam, kita dapat menterjemahkannya di negara ini.

“Di sini kita perlu mengikut pepatah orang Negeri Sembilan, jadi ‘sawo matang’. Kerajaan mahupun pembangkang hendaklah bertindak dewasa.

“Menurut tradisi Islam, pembangkang berperanan sebagai cermin kerajaan dan tidak ada satu parti yang betul atau salah seratus peratus,” katanya.

Tegas Afifi, dalam tradisi Islam, keputusan dibuat sebagai polisi kerajaan adalah ijtihad semata-mata, iaitu ikhtiar atau usaha ahli politik mendapatkan jawapan difikirkan benar untuk maslahat umum hingga kebanyakannya usaha subjektif.

Konsep Rahmatan Lil Alamin yang menawarkan kefahaman berlapang dada dan bertolak-ansur kepada masyarakat tidak seharusnya dipolitikkan, malah konsep itu sudah diperkenalkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 30 tahun lalu.

Ia turut dijadikan moto Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Perak oleh menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hingga tindakan mempolitikkannya bukan langkah bijak kerana keutamaan adalah keharmonian hidup bermasyarakat dalam negara aman dan damai.

“Apakah kita mahu mengaitkannya dengan agenda parti politik semata-mata? Kalau kita tidak mahu atau tidak selesa dengan sandaran parti politik, maka kita boleh sandarkan pada polisi UIAM atau USAS.

“Penting untuk difahami, Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan. Apabila masuk bab agama, kita perlu mendapat perkenan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sekarang perlu melakukan apa yang dikata. Jika mereka mempromosikan Rahmatan Lil Alamin, jadi mereka sepatutnya memulakan langkah dengan meraikan kepelbagaian pendapat termasuk daripada pembangkang.

“Sebagai ahli masyarakat, kita perlu mendengar dan menilai polisi kerajaan sekarang yang mungkin bermanfaat dan juga mungkin tidak,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan bukan beban sebaliknya rahmat jika difahami dengan betul kerana Allah SWT boleh sahaja menjadikan manusia daripada satu kaum atau agama sahaja tetapi hakikatnya manusia diciptakan berbeza.

Sudah tentu persoalan pasti timbul bahawa hingga tahap manakah kita mampu bertoleransi?

Afifi berkata, had toleransi dengan orang bukan Islam, ialah kita tidak boleh reda dengan kekufuran mereka kerana akidah antara orang Islam dan bukan Islam itu berbeza, iaitu ‘bagimu agamamu, bagiku agamaku.’

“Walaupun kita percaya mereka salah, kita perlu memahaminya, sabar dan menahan geram. Mengikut kalam Imam Ali RA, kalau ada perbezaan pendapat antara orang Islam dan bukan Islam atau ASWJ dengan selainnya seperti Syiah, kita melihat mereka sebagai ‘nazirun laka khalq’ (saudara sesama manusia).

“Walaupun kita tidak boleh reda pendapat mereka menghina sahabat Rasulullah SAW sebab ia dosa besar menurut ASWJ, kita perlu menahan geram dengan menghormati mereka dan tidak boleh mengkafirkan mereka,” katanya.

“Mereka tetap saudara kita dalam Islam dan kita menghormati mereka sebagai manusia. Batasannya, kita tidak reda dengan kekufuran mereka atau kefasikan mereka,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »