Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Oktober 2019

‘Jangan berasa sinis isu perpaduan umat Islam’

Posted by epondok di Oktober 11, 2019

Oleh Zamri Hashim

 

Perpaduan sesama Islam ialah tuntutan dari Allah SWT.

Oleh itu, tindakan membiarkan atau menggalakkan ummah terus bercerai-berai sangat bersalahan dengan perintah-Nya. Firman Allah SWT: “Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu sebagai orang Islam bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Aali Imran: 103)

Ia kekuatan tidak boleh diabaikan dan memberi kesan besar jika tidak diberi perhatian sewajarnya. Musuh Islam akan menggunakan peluang daripada perpecahan umat Islam untuk melemahkan ummah yang akhirnya menjadikan kita seperti bidak di papan catur untuk diatur serta diuruskan mereka. Firman Allah SWT: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar. (Al-Anfal: 46)

Apa yang berlaku di hadapan mata sama ada di luar atau dalam negara, membuktikan betapa benarnya firman Allah SWT bahawa selagi umat Islam melakukan maksiat dan kemungkaran, melepaskan tangan mereka daripada terus memegang kemas ‘tali Allah’ serta melucutkan pegangan ‘tali penyambung sesama umat’, maka kehinaan akan menimpa seperti umat terdahulu.

Sememangnya rasuah, salah guna kuasa dan LGBT termasuk dalam kumpulan maksiat serta kemungkaran, namun jangan lupa menggalakkan perpecahan sesama umat Islam juga maksiat sebaris dengan maksiat tadi.

Firman Allah SWT: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja berada kecuali dengan adanya sebab dari Allah (kembali berpegang dengan agama Allah) dan adanya sebab dari manusia (menghubung kembali hubungan). Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). (Aali Imran: 112)

Penyatuan Ummah

Umat Islam di negara ini sepatutnya gembira apabila ada usaha penyatuan ummah. Perbuatan terus melaga-lagakan umat Islam dan berasa tidak tenteram dengan usaha menyatupadukan itu khususnya di negara ini mirip sasaran kerja syaitan yang mengikrarkan untuk terus melihat orang beriman bercerai-berai. Mereka sanggup menggunakan apa cara sekalipun semata-mata mencapai hasrat keji itu.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak serta judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat.

Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Al-Maidah: 91) Sebagaimana kita rancak berkempen untuk perpaduan pelbagai kaum di negara ini demi membina negara kuat, maju dan dihormati, lebih utama juga mengajak majoriti penduduk negara ini di kalangan umat Islam agar bersatu-padu.

Perpaduan umat Islam sangat penting kerana ia tulang belakang kepada negara ini dan perpecahan akan membahayakan kepentingan Islam yang sekian lama terpelihara.

Sudah tentu perpaduan umat Islam mesti didasarkan kepada ajaran Islam, bersatu atas dasar akidah dan merapatkan saf sesama Muslim untuk mendaulatkan Islam dalam kehidupan dan hidup bernegara.

Hendaklah kita memelihara diri kita daripada sifat ‘kesyaitanan’ apabila berasa selesa apabila melihat umat Islam berterusan berpecah dan sinis terhadap usaha menyatupadukan umat Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »