Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Oktober 2019

Bersatu kerana akidah jalan menuju syurga

Posted by epondok di Oktober 9, 2019

Oleh Zamri Hashim

 

Bersatu kerana akidah dan untuk menegakkan kehendak Allah SWT di atas muka bumi ini adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan senda gurau.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bersatu padu kerana akidah, begitu juga dalil yang mencela perpecahan selain memberi amaran keras kepada pemecah belah serta pemutus tali persaudaraan sesama Islam.

Semua orang Islam patut tahu perkara asas ini. Rasulullah SAW dan sahabat telah menunjukkan teladan bagaimana arahan Allah SWT boleh dilaksanakan yang terbukti memberi kesan besar kepada membentuk hala tuju baru umat Islam berperanan dalam kehidupan.

Kisah Aus dan Khazraj yang melupakan kisah lama mereka demi menyahut seruan perpaduan, adalah bukti yang nyata dan dipuji dalam al-Quran.

Perpaduan yang diusahakan atas tujuan yang benar adalah penyebab kepada terselamatnya pihak yang bersengketa daripada jurang api neraka sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (pada zaman jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Ali Imran: 103)

Umat Islam wajib menyokong apa juga usaha untuk menyatu padukan ummah atas dasar akidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini. Janganlah meletakkan andaian atau terlajak berani memberikan andaian buruk sedangkan hati umat Islam hanya mampu dijinakkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al Anfaal: 63)

Kepada pihak yang sedang terbabit dalam perpaduan ini, mesti beringat bahawa barangkali ia peluang terakhir yang Allah SWT tawarkan kepada mereka. Jangan khianati Allah SWT, Rasulullah SAW dan umat Islam.

Oleh itu, hanya mengehadkan perpaduan kepada tujuan politik kepartian semata-mata, kepada ahli parti politik kepartian sahaja sangat mendedahkan diri kepada kegelinciran niat dan maksud.

Jika ada pihak mahupun individu yang berniat khianat kepada Allah SWT, Rasul SAW, umat Islam dan masih mengejar kepentingan peribadi, ingatlah kes mereka sebenarnya akan dikendalikan sendiri oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang yang beriman.” (Al-Anfaal: 63)

Firman Allah SWT
Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang yang beriman. (Al-Anfaal: 63)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »