Formula ‘Reset Minda’, ‘ada–beri–dapat’ kerana wujudnya sikap positif dalam diri seseorang. Dengan itu dia boleh memberi sesuatu yang positif kepada orang di sekelilingnya. Hasilnya dia akan mendapat respons disebabkan kehidupannya yang positif. Orang yang ‘hidup dari dalam ke luar’ adalah seorang yang kental semangat, tidak mudah dipengaruhi tetapi mampu mempengaruhi orang lain untuk menjadi baik. Orang yang ‘hidup dari dalam ke luar’ mempunyai kekuatan dalam jiwa dan rohnya sendiri, sehingga tidak mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Ini bermaksud diri kita yang mencipta suasana dengan menarik orang lain ke dalam suasana yang dicipta.

Namun, orang yang lemah atau ‘orang yang keladak’, dia akan berkata: “Kehidupan berlaku, dan dia terpaksa menghadapinya.”. Orang yang keladak ‘hidup dari luar ke dalam’. Suasana yang mempengaruhi kehidupannya, hingga mudah orang lain memperdayakannya. Orang seperti ini tiada keyakinan diri. Oleh itu jadilah ‘pemimpin’ dan bukan ‘pengikut’, kerana orang yang tidak mampu memimpin dirinya sendiri, pasti tidak mampu memimpin orang lain. Hanya mereka berkeyakinan tinggi mampu ‘mempengaruhi’ orang lain. Yang pasti, orang berkeyakinan diri ialah golongan yang tinggi harga dirinya dan suka menghargai orang.

Jadilah kita orang yang suka mencipta suasana yang baik. Suka menaikkan nama orang lain dan memberi peluang kepada mereka yang berpotensi untuk sama-sama berjaya mencipta nama dan mengecap kejayaan sama seperti kita. Jom audit diri untuk menjadi golongan yang suka memuji dan tidak suka dipuji. Jadilah kita golongan yang suka ditegur, bersedia dan tidak takut kepada teguran kerana percaya bahawa kritikan itu akan dapat membuat penambahbaikan diri dan membetulkan kesalahan diri yang tidak disedari.

Situasi kedua yang pasti berlaku dalam kehidupan seorang manusia ialah sama ada dia ‘mencari perhatian’ atau ‘memberi perhatian’. Seseorang yang dipilih sama ada dalam menjalinkan silaturahim, dalam pekerjaan atau dalam berumah tangga kerana kepandaian atau rupa paras yang tampan serta seumpamanya, mungkin ia sesuatu yang membanggakan. Namun, harus diingat bahawa kebanggaan itu tidak akan kekal lama. Alangkah eloknya jika kita dipilih dalam setiap itu kerana akhlak dan kebaikan.

Yang sering berlaku, orang yang ‘mencari perhatian’ suka melihat dan menilai orang. Sibuk memperbetulkan sikap orang tetapi tidak suka melihat dan menilai diri sendiri. Gemar menyebar aib orang tetapi menutup aib diri sendiri. Orang yang ‘mencari perhatian’ sentiasa hidup dalam mimpi, tidak berpijak di bumi nyata, terpesona dengan puji-pujian orang. Sesungguhnya ‘bermimpi dalam hidup’ itu lumrah tetapi ‘hidup dalam mimpi’ itulah yang salah.

Sebab itulah perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara daripada tadika hingga universiti yang menekankan bahawa belajar bukan untuk menjadi pandai tetapi belajar untuk menjadi baik sangat dialu-alukan. Oleh itu besarlah harapan kita sebagai warga Malaysia sistem pendidikan negara memberi tumpuan melahirkan generasi bermoral dan beretika yang akhirnya akan membentuk masyarakat baik dan berkasih sayang, tanpa mengira warna kulit. Sifat baik itu ada pada hati dan segala kebaikan hati itu kemudiannya akan dizahirkan melalui tindakan dan perbuatan.

Biasanya jika bertemu orang, kita suka akan kebaikannya, iaitu kelebihan dari segi (EQ, kecerdasan emosi atau Emotional Quatient) bukan kerana kecerdikannya atau kecantikannya dari segi (IQ, kecerdasan minda atau Intelligence Quotient). Kecerdasan minda atau IQ senang diukur, kerana sudah terserlah berdasarkan pencapaian akademiknya. Manusia memiliki 10 inteligensia, iaitu lima interpersonal (fahami orang) dan lima interpersonal (fahami diri). Sebab itu sangat penting di peringkat umur kanak-kanak kosong hingga tujuh tahun ini ibu bapa menyeimbangkan mendidik dan membangunkan IQ dan EQ mereka. Dalam kita fokus memberikan sepenuh kasih sayang, perlu juga bina minda anak-anak dengan membuatkan mereka berfikir untuk membangunkan rasa atau emosi pada hatinya. Supaya kita boleh menjadi orang yang ‘memberi perhatian’ bukan ‘mencari perhatian’.

Orang yang ‘memberi perhatian’ sentiasa menjaga hubungan sesama manusia daripada suka menerima kepada menjadi orang yang suka memberi. Tidak suka bersaing, tetapi suka bekerjasama. Tidak perlu dihormati, tetapi menghormati orang lain. Tidak sombong dan mementingkan diri tetapi sentiasa menjaga silaturahim. Tidak suka bercakap kehebatan tentang diri sendiri dan berasa dirinya sahaja yang betul. Sebaliknya menjadi seorang yang suka mendengar tentang kehebatan orang lain dan menerima pandangan orang.

Orang yang ‘memberi perhatian’ tidak minta dia difahami, tetapi dia menjadi orang yang memahami keadaan orang sekelilingnya. Tidak mencari kebahagiaan, tetapi ingin memberi kebahagiaan. Jika hubungan silaturahim terjaga itulah punca kebahagiaan. Sesungguhnya, orang yang paling bahagia ialah orang yang bahagia melihat orang lain bahagia. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.