Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2019

Nilai pahala sembahyang Subuh

Posted by epondok di Oktober 30, 2019

Nor Asree Mohd Noh

 

SEDAR atau tidak, antara kesilapan sering dilakukan bagi pelaku ibadat pada malam hari ialah meninggalkan perkara yang diutamakan dalam syariat.

Ada yang berusaha bangun pada malam hari untuk beribadat seperti bersolat, berzikir, membaca al-Quran. Semua itu adalah amalan yang sangat terpuji dan dituntut agama.

Bagaimanapun, jika tiada perancangan, kemungkinan ada yang tertinggal solat Subuh secara berjemaah dan lebih menyedihkan lagi meninggalkan terus solat fardu Subuh.

Itu antara kesilapan yang amat memalukan di sisi Allah SWT. Pahala solat fardu lebih besar seperti yang dijanjikan Allah SWT berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka dia seolah-olah bangun (bersolat) separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh Subuh berjemaah, maka dia seolah-olah telah bangun bersolat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu menerangkan keutamaan solat fardu secara berjemaah adalah lebih besar pahalanya terutama bagi solat Isyak dan Subuh.

Ia satu teguran kepada sesiapa yang meninggalkan solat berjemaah pada waktu Subuh khususnya kepada orang lelaki.

Maka timbul persoalan bagaimana dengan orang yang ‘sibuk’ mengerjakan solat malam, tetapi tertidur selepas itu malah meninggalkan solat Subuh?

Ada sebuah riwayat athar daripada sahabat: “Allah SWT tidak menerima amalan sunat sehinggalah dia menunaikan yang fardu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Ulama  dalam mensyarahkan riwayat itu menyatakan, apa sahaja bentuk ibadat sunat yang dilakukan tidak akan diberikan pahala sehingga seseorang itu menunaikan ibadat fardunya.

Hal itu dilihat sebagai ancaman dan teguran bagi jaguh ibadat malam berjaga-jaga supaya amalan yang dilakukannya secara bersusah-payah selama ini ditolak mentah-mentah oleh Allah SWT.

Namun, ia bukan penyebab atau alasan untuk melemahkan semangat seseorang yang melaksanakan ibadat malam.

Justeru, menunaikan setiap ibadat sama ada fardu atau sunat hendaklah disertakan dengan ilmu dan niat yang ikhlas di samping perancangan rapi sebelum melaksana-
kannya.

Ada kaedah dan cara menguruskannya. Bagi sesiapa yang baru berjinak-jinak untuk solat malam, maka boleh jadikan 45 minit atau 30 minit sebelum Subuh untuk melaksanakannya.

Sebaliknya, seseorang yang sudah menjadi rutin dan kebiasaan melakukan solat malam, terpulanglah baginya membahagikan malam sama ada tiga perempat, separuh ataupun sepertiga malam seperti yang dinyatakan daripada al-Quran.

Oleh itu, sempena Ramadan yang bakal tiba, jadikan ia sebagai satu latihan untuk mendidik jasmani dan rohani.

Selain itu, solat sunat sebelum fajar (Subuh) juga antara ibadat sunat yang Rasulullah SAW sangat menjaganya sepanjang hidup Baginda.

Dua rakaat solat itu sangat besar pahala dan fadilatnya di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya” (Riwayat Muslim)

Pada bulan Ramadan nanti, apabila seseorang sudah bangun untuk bersahur dan sambil menanti menjelangnya waktu Subuh, maka sediakan masa yang pendek sahaja untuk menunaikan ibadat itu.

Mudah-mudahan ibadat itu menjadi amalan tambahan yang boleh menampung kelompongan amalan fardu dan sangat rugi bagi yang meninggalkannya.

Selain itu, lebih baik jika dapat solat Subuh berjemaah di masjid.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Batu loncatan ke Syurga

Posted by epondok di Oktober 29, 2019

Fadly Samsudin

 

SATU amalan yang tidak boleh sesekali ditinggalkan setiap kali selepas solat fardu adalah membaca ayat al-Kursi.

Ada antara kita selepas sahaja memberi salam, terus ‘lompat’ membaca surah al-Fatihah dan seterusnya membaca doa.

Sehubungan itu, selepas ini pastikan walau sibuk macam mana sekalipun, kita tetap perlu membaca ayat al-Kursi kerana itu adalah amalan yang disarankan Nabi SAW.

Sebaiknya selepas memberi salam, kita perlu membaca istighfar sekurang-kurangnya tiga kali, kemudian membaca ayat al-Kursi serta zikir lain.

Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah Temerloh, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih berkata, ayat 255 daripada Surah al-Baqarah itu juga digelar ‘penghulu’ segala ayat al-Quran.

Menurutnya, ayat berkenaan diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dengan diiringi ribuan malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya.

“Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu alamat yang menjadi halangan dalam perjuangan mereka.

“Maka, Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit iaitu penulis al-Quran supaya menulis serta menyebarkannya.

“Ayat ini disebut Ayat Kursi kerana di dalamnya terdapat perkataan Kursi, bermaksud tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat’.

“Ia syiar kebesaran Allah SWT yang menguasai meliputi tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi,” katanya.

Ustaz Mohd Zarimi berkata, membaca ayat al-Kursi mempunyai kelebihan tersendiri sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abi Umamah RA.

“Hadis itu menyatakan, kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardu,” katanya.

Abi Umamah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.” (Riwayat al-Thabarani dan al-Nasa’ie – dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban)

“Selain itu, ada satu kisah dalam satu hadis panjang mengenai kelebihan ayat al-Kursi yang disebut oleh syaitan serta dibenarkan oleh Nabi SAW iaitu akan sentiasa dalam pemeliharaan Allah selain syaitan tidak akan mendekati sehingga waktu pagi,” katanya.

Beliau berkata, Imam al-San’ani juga pernah berkata mengenai kelebihan ayat al-Kursi.

“Menurut kitab Subul al-Salam, kelebihan ayat Kursi adalah disebabkan padanya terhimpun segala nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).

“Ia adalah sebahagian ayat al-Quran. Jika membacanya dengan niat membaca al-Quran, maka sudah pasti terkumpul pada bacaan itu kelebihan membaca al-Quran yang sangat banyak,” katanya.

Sehubungan itu, kita perlu mengambil peluang beramal membaca ayat Kursi berkenaan terutamanya selepas melaksanakan solat fardu.

Tersangat mudah untuk dilakukan kerana kita semua sebenarnya sudah menghafaznya sejak kecil lagi.

Melihat kepada ganjaran serta kelebihan yang ditawarkan hasil melazimi bacaan ayat Kursi, ternyata kita manusia yang sangat rugi jika masih mengambil mudah serta tidak serius mengamalkannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Zikir penyelamat

Posted by epondok di Oktober 28, 2019

Fatimah Syarha Mohd Noordin

 

Setiap kali selesai menunaikan solat, tunggu seketika. Jika tiada urusan penting, luangkan sedikit masa untuk berzikir kerana amalan itu bakal menyelamatkan kita daripada api neraka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang banyak dan bertasbihlah pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya (yang memohon keampunan untukmu) agar Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman.”

Dalam ayat itu, ada perkataan ‘asila’ yang bermaksud waktu selepas Asar hingga Maghrib. Selain itu, satu lagi perkataan ialah ‘bukratan’ bermaksud awal waktu Subuh sebelum naik matahari.

Maka, waktu untuk berzikir mengingati Allah yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah selepas mendirikan solat Asar dan selepas solat Subuh.

Zikir itu hanya mengandungi tiga rangkap dan mengambil masa sekitar lima hingga 10 saat untuk membacanya sebanyak tujuh kali.

Daripada al-Harits bin Muslim al-Tamimi berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila kamu selesai solat Subuh maka ucapkanlah sebelum berbicara, Ya Allah lindungilah aku daripada api neraka (Allahumma ajjirni minannar)” sebanyak tujuh kali kerana jika kamu meninggal dunia pada hari itu, nescaya Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka dan apabila kamu selesai solat Maghrib, maka ucapkanlah sebelum berbicara, “Ya Allah lindungilah aku daripada api neraka (Allahumma ajjirni minannar) sebanyak tujuh kali kerana sesungguhnya jika kamu meninggal dunia pada malamnya itu, nescaya Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibnu Hibbaan, At-Thabraani dan Al-Baihaqi di dalam Ad-Da’a-waat Al-Kabirnya)

Doanya cukup pendek, ringkas dan mudah dihafal. Sesiapa saja mampu membacanya dengan lancar lalu doa itu terus memanah tepat kepada objektif dan sasarannya.

Paling penting adalah usaha kita untuk kekal istiqamah mengamalkan doa itu. Doa itu menuntut kita untuk membacanya setiap pagi dan malam kerana mati itu datangnya cukup misteri.

Maka, setiap hari kita perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan seberapa banyak bekalan. Jika terlalu sibuk atau mempunyai urusan, kita masih boleh mengamalkannya sambil bergegas berjalan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Selain itu, amalan lain yang tidak sepatutnya ditinggalkan adalah membaca ayat Kursi. Daripada Abu Umamah al-Bahiliy, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas solat fardu, maka tiada apa yang penghalangnya daripada syurga kecuali kematian.”

Kata Imam al-San’ani yang bermaksud: “Kelebihan ayat Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).” (Lihat: Subul al-Salam, 297/1)

Seterusnya, amalan sunat lain yang tidak patut ditinggalkan adalah solat sunat rawatib. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang melakukan solat sunat (sunat rawatib) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam, akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga, empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.” (Riwayat al-Tirmidzi, al-Nasa’I, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Saat ini kita mungkin sedang berusaha keras membayar ansuran bulanan rumah yang dibeli. Banyak waktu dihabiskan untuk melakukan kerja lebih masa bagi mengelakkan rumah dilelong oleh pihak bank.

Namun, Allah SWT akan memberi ganjaran untuk amal yang sedikit iaitu sebuah mahligai serba mewah di syurga kelak.

Terdapat juga solat sunat rawatib yang disebut sebagai solat sunat ghairu muakkadah (solat sunat yang tidak dituntut). Salah satunya adalah dua rakaat lagi tambahan sesudah melaksanakan dua rakaat solat sunat selepas Zuhur.

Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, haram atasnya neraka.” (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai, dan Imam Ahmad)

Ada pendapat ulama seperti Imam al-Nasa’i, apabila seseorang hendak menambah dua rakaat selepas Zuhur (muakkad) dengan dua rakaat ghairu muakkad, hendaklah dikerjakan empat rakaat dengan tahiyat awal dan sekali salam (seperti pelaksanaan solat Zuhur).

Bagaimanapun, itu isu khilaf dan lakukanlah mengikut kemampuan masing-masing. Zuhur adalah waktu yang sangat singkat terutamanya bagi mereka yang bekerja.

Waktu rehat rata-ratanya dari jam 1 hingga 2 petang saja. Mungkin pada saat itu kita mahu tidur seketika (qailulah), makan, urusan bank dan melakukan urusan lain.

Apabila kita mula meletakkan solat sunat sebagai satu keutamaan, pasti kita mampu menyediakan masa untuk melaksanakannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cara mudah untuk hafaz al-Quran

Posted by epondok di Oktober 26, 2019

Saya ingin menghafal ayat al-Quran dan cuba untuk melakukannya secara berterusan. Masalahnya, pada waktu siang saya sibuk bekerja dan tidak sempat hendak membuka al-Quran. Ada tak cara sesuai yang memudahkan saya untuk menghafal ayat al-Quran?

Naimah, Kuala Terengganu

MANFAATKAN waktu malam kerana itu adalah waktu paling sesuai untuk beribadat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Imam an-Nawawi dalam kitab Al-Tibyan Fi Hamalatil Quran berkata, penghafal al-Quran hendaklah memberikan perhatian lebih terhadap bacaan al-Quran pada waktu malam dan solat malam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Antara ahli Kitab itu terdapat golongan yang tetap (berpegang teguh dengan agama Allah) membaca ayat-ayat Allah sepanjang malam dan bersujud (mendirikan solat). Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyeru kepada kebaikan. Mereka tergolong dalam kalangan orang-orang soleh.”

Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pemuda ialah Abdullah, jika dia mendirikan solat malam.”

Dalam hadis lain dalam kitab Sahih al-Bukhari, Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai Abdullah, janganlah jadi seperti si polan. Dia pernah berqiamullail, kemudian meninggalkannya.”

Imam al-Tabarani dan lain-lain meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kemuliaan orang mukmin pada qiamullail.”

Banyak lagi firman Allah dalam al-Quran dan hadis Nabi yang menerangkan kelebihan ibadat waktu malam.

Abu al-Ahwash al-Jusyami berkata: “Sesungguhnya ada seorang lelaki mendatangi khemah atau rumah pada waktu malam, lalu mendengar bunyi yang tidak difahami daripada penghuninya seperti bunyi dengungan lebah.

Katanya: “Kenapa mereka ini berasa aman daripada perkara yang ditakuti oleh suatu golongan (yang berqiamullail)?”

Dalam suatu riwayat daripada Ibrahim al-Nakha’I, katanya, pernah dikatakan oleh seorang, “Bacalah alQuran pada waktu malam walaupun sekadar tempoh memerah susu kambing.”

Diriwayatkan daripada Yazid al-Raqasyi, katanya, “Jika aku tidur, kemudian terjaga dan kemudian ingin tidur semula, mataku tidak akan dapat tidur.”

Aku berkata, “Solat malam dan membaca al-Quran dipilih (sebagai ibadat pada waktu malam) ketika kedua-duanya lebih sempurna untuk melembutkan hati, lebih kuat untuk menghindarkan segala kesibukan, kelalaian dan menguruskan pelbagai keperluan, lebih memelihara daripada sifat riyak dan sifat-sifat yang merosakkan, di samping galakan syarak padanya agar seseorang membuat kebaikan pada waktu malam. Sesungguhnya perjalanan Israk Rasulullah SAW berlaku pada waktu malam.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tuhan kamu turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berlalu sebahagian malam. Kemudian Dia berfirman: “Adakah sesiapa yang berdoa, lalu Aku perkenankan? Adakah sesiapa yang memohon ampun, lalu Aku mengampuninya?”

Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam satu malam terdapat masa seseorang Muslim tidak mendapatinya lalu berdoa kepada Allah dengan memohon kebaikan di dunia dan akhirat melainkan Allah memberikan hal itu kepadanya. Perkara itu berlaku setiap malam.”

Ketahuilah kelebihan qiamullail dan membaca al-Quran tetap diperoleh sama ada dengan kadar sedikit atau banyak. Semakin banyak dilakukan, maka itulah yang afdal.

Melainkan apabila melakukan setiap malam, maka makruh untuk melakukan secara berterusan kerana jika berbuat demikian, ia akan memudaratkan diri.

Antara dalil menerangkan qiamullail terhasil walaupun pada kadar yang sedikit ialah hadis riwayat Abu Dawud.

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash r.huma, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang bangun pada waktu malam membaca 10 ayat al-Quran, dia tidak ditulis dalam kalangan orang yang lalai.

Sesiapa yang bangun pada waktu malam membaca 100 ayat al-Quran, dia akan ditulis dalam kalangan mereka yang taat. Sesiapa yang bangun pada waktu malam membaca 1,000 ayat, dia ditulis dalam kalangan mereka yang memperoleh banyak kebaikan.”

At-Tsa’labi menceritakan daripada Ibnu Abbas r.huma, beliau berkata: “Sesiapa yang mendirikan solat malam sebanyak dua rakaat, maka jadilah dia orang yang sujud dan rukuk kepada Allah pada malam tersebut.”

Begitulah kehebatan waktu malam. Suasana tenang itu sepatutnya umat Islam ambil peluang untuk meminta ampun, melakukan solat malam, berzikir, membaca al-Quran, berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Makan banyak punca susah bangun malam

Posted by epondok di Oktober 25, 2019

Orang yang banyak tidur memperlihatkan sifat kerohaniannya masih rendah.

Salah satu penyebab seseorang banyak tidur kerana terlalu banyak makan.

Kesan banyak makan bukan saja menyebabkan ibadat tidak dapat dilaksanakan dengan khusyuk, malah dari sudut kesihatan ia menyebabkan kegemukan terhadap tubuh badan seseorang, seterusnya mudah diserang penyakit berbahaya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu pun tempat yang lebih buruk jika diisi dengan penuh oleh anak Adam daripada perut. Sebenarnya, untuk anak Adam, cukuplah beberapa suap untuk menegakkan tulang belakangnya. Kalau pun tidak ada cara lain (mesti melebihi beberapa suap), hendaklah dia membahagikannya kepada sepertiga, sepertiga untuk makan, sepertiga untuk minum dan sepertiga (ruang kosong untuk pernafasannya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dalam konteks spiritual, umat Islam perlu mengamalkan amalan bangun malam seperti dilakukan Nabi Muhammad SAW.

Baginda diingatkan supaya bangun malam menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Muzammil, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut! Bangun (solat tahajud) pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (untuk berehat). Iaitu separuh daripada waktu malam, ataupun kurangkan sedikit daripada separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan baca al-Quran dengan tartil.”

Berdasarkan ayat itu, bangun malam iaitu pada sepertiga malam terakhir bagi melaksanakan solat sunat tahajud, witir, hajat, istikharah dan membaca al-Quran adalah cara untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia terus tidur sehingga menjadikan manusia lalai, akhirnya mengabaikan tanggungjawab mereka melaksanakan ibadat malam serta solat Subuh pada awal paginya.

Secara khusus, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya menunaikan solat tahajud sebagai ibadat tambahan dan Allah akan menyediakan tempat terpuji di sisi-Nya.

Nabi SAW juga pernah ditanya, pada waktu bila doa manusia lebih didengar oleh Allah? Lalu Baginda menjawab, “Pada waktu tengah malam dan pada waktu akhir setiap solat fardu (sebelum salam).”

Sehubungan itu, bagi memudahkan kita bangun beribadat, Rasulullah SAW menganjurkan supaya berwuduk sebelum tidur.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Syaitan mengikat bahu kamu ketika tidur dengan tiga ikatan. Setiap ikatan itu diperkuatkan dengan ungkapan (syaitan), ‘Malam masih panjang, tidurlah.’

Jika dia bangun lalu mengingati Allah, satu ikatan akan terlerai, Jika dia berwuduk, maka satu ikatan lain akan terlerai. Jika dia mengerjakan solat, semua ikatan akan terlerai. Akhirnya, dia menjadi segar dan jiwa yang bersih. Jika tidak, dia akan bangun dengan jiwa kotor yang diliputirasa malas.” (Riwayat Bukhari)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cara khusyuk dalam solat

Posted by epondok di Oktober 24, 2019

APAKAH cara boleh dilakukan supaya hati dapat menumpukan sepenuhnya ketika solat?

Biasanya fikiran sentiasa memikirkan perkara lain dan selepas solat baru rasa menyesal. Selain itu, bagaimana untuk membuang sifat malas mengerjakan solat?

Nazmi, Taiping, Perak

KHUSYUK bermaksud kelembutan dan ketenangan hati. Apabila hati berasa khusyuk, anggota badan lain juga akan mengikutinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ini terdapat segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuh dan apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh, ketahuilah dia adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebiasaannya, orang yang tidak khusyuk apabila masuk ke dalam masjid, bermulalah bisikan serta perkara dunia bermain di dalam fikirannya.

Seseorang tidak menyedarinya sehingga selesai solat. Pada ketika itu, dia menyesal solat tidak dikerjakan dengan khusyuk dan tidak juga berasa kemanisan dalam beribadat.

Apa yang dilakukan hanyalah gerakan tubuh serta kumat-kamit mulut ibarat jasad tanpa roh. Khusyuk dalam solat berlaku pada seseorang yang mengosongkan hatinya untuk solat yang dikerjakannya.

Hati akan melupakan perkara lain untuk memberi keutamaan kepada solat. Maka, pada masa itulah solat akan menjadi penyejuk hati.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Di antara perkara dunia yang membuatku senang ialah wanita dan minyak wangi serta dijadikan penyejuk hatiku di dalam solat.” (Riwayat anNasa’i)

Amat beruntung kepada orang yang mendirikan solat dengan penuh khusyuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mukminuun ayat 1 dan 2 bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Oleh kerana merekalah orang yang mewarisi syurga Firdaus sebagai habuannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka itulah orang yang akan mewarisi, (iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminuun, ayat 10 dan 11)

Sepatutnya sebagai seorang Muslim, kita hendaklah menjadikan hati senang ketika berzikir, suka mendengar nasihat, gemar menghayati al-Quran serta khusyuk ketika solat.

Apabila seseorang berasa berat dan tidak suka solat, membaca al-Quran, berzikir dan mendengar nasihat hatinya rosak, keras dan tidak sihat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Belumkah datang waktunya orang-orang beriman untuk tunduk hati (khusyuk) mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang yang sebelumnya telah diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang yang fasik.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

Ayat berkenaan sepatutnya memberi kesedaran kepada sebahagian besar umat Islam yang sentiasa memberi alasan tugas, bisnes dan urusan dunia lain sehingga kurang mempedulikan kesihatan hati.

Ia menyebabkan kemampuan mengingati Allah SWT menjadi sangat sukar, malas dan mudah letih, apatah lagi untuk berasa khusyuk.

Seorang sahabat bernama Usman bin Abil ‘Ash pernah datang kepada Rasulullah SAW mengadu berkenaan gangguan yang dialami ketika solat.

Nabi SAW menjawab: “Itu adalah syaitan. Namanya Khinzib. Jika kamu berasa diganggu, mintalah perlindungan kepada Allah daripada gangguannya dan meludahlah ke kiri tiga kali. Usman berkata: “Saya pun melakukannya, kemudian Allah menghilangkan gangguan itu daripadaku.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mengajar supaya meminta perlindungan kepada Allah dengan mengucapkan A’uzubillahi minas syaitanir rajiim dengan lafaz bukan membaca dalam hati dan ia tidak membatalkan solat.

Kemudian hendaklah meludah sedikit dengan meniupkan di sebelah kiri dan tidak mengganggu orang lain serta tidak mengotori masjid. Mudahmudahan ia boleh menjadi panduan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Berkat zikir Nabi Yunus dalam perut ikan yu

Posted by epondok di Oktober 23, 2019

TERDAPAT satu doa yang Nabi SAW pesan kepada Saidina Muaz bin Jabal supaya tidak sesekali ia ditinggalkan selepas melaksanakan solat iaitu Allahumma a’inna ‘alaa zikrika wa shukrika wa husni ‘ibadatika bermaksud: “Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingatiMu.”

Semua nabi dan rasul sentiasa mengingati Allah SWT pada setiap masa. Amalan berzikir adalah antara jalan paling luas untuk mengenal Allah SWT serta ingin berada hampir dengan-Nya.

Malah, kelebihan berzikir juga ada diceritakan di dalam al-Quran iaitu sewaktu Nabi Yunus ditelan ikan Nun. Selepas ikan yang besar itu menelan Nabi Yunus ia berenang ke dasar laut.

Mengikut logik, tiada manusia yang boleh hidup dalam keadaan begitu. Bagaimanapun, satu ibadat yang tidak pernah ditinggalkan Nabi Yunus ketika menghadapi saat-saat sukar serta berada dalam suasana gelap gelita di dalam perut ikan Nun itu adalah zikir.

Nabi Yunus berdoa kepada Allah SWT, La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin yang bermaksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Setiap zikir yang diamalkan, bahkan ibadat lain termasuk membaca al-Quran, solat dan doa kita akan diangkat ke langit.

Ada zikir yang naik sehingga langit pertama saja kemudian ia akan hilang. Bagaimanapun, zikir para nabi akan naik dari langit pertama hingga ketujuh, malah dikenali oleh seluruh penduduk di langit.

Sebab itu, ada orang jasadnya berjalan di atas muka bumi tetapi namanya sentiasa disebut dan dikenali seluruh penduduk langit.

Nabi Yunus adalah seorang yang cukup terkenal di langit. Ketika Nabi Yunus berterusan berzikir, ia naik ke langit dan suaranya itu sangat dikenali semua malaikat.

Bagaimanapun, zikir yang diungkapkan itu datangnya dari tempat yang pelik iaitu Nabi Yunus berzikir dari dalam perut ikan Nun yang terletak di dasar laut.

Sebab itulah penting sekali memanjatkan doa serta merayu kepada Allah SWT supaya menerima segala amal ibadat yang kita lakukan.

Allah SWT turut merakamkan keadaan zikir Nabi Yunus itu. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran, sekiranya Nabi Yunus tidak memperbanyakkan zikirnya, maka baginda tidak akan diselamatkan oleh-Nya.

Seperkara lagi hakikat yang manusia perlu ingat dan dijadikan panduan untuk selalu melazimi amalan berzikir. Tidak kira apa saja makhluk yang berada di atas muka bumi ini turut berzikir kepada Allah SWT dengan cara mereka sendiri yang tidak difahami manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucapkan tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Surah al-Israa’, ayat 44)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan Sayyid al-Istighfar

Posted by epondok di Oktober 22, 2019

Qira’ah Fatwa

 

Doa ini dirakam oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah al-Anbiya’, ayat 87)

Di dalam tafsir Ibn Kathir menceritakan kisah bagaimana Nabi Yunus ditelan ikan paus. Nabi Yunus menaiki kapal bersama kaumnya.

Kapal itu dipukul ombak besar lalu mereka berasa takut kapal itu karam. Lalu, mereka mengundi dan salah seorang antara mereka harus dibuang ke laut untuk meringankan bebanan kapal.

Maka, undian terkena kepada Nabi Yunus. Bagaimanapun, mereka enggan membuangnya lalu mengulangi undian dan terkena lagi kepada Nabi Yunus.

Mereka tetap enggan membuang Nabi Yunus. Lalu mereka mengulanginya buat kali ketiga dan undian itu tetap terkena kepada Nabi Yunus. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 321/5)

Dalam satu hadis diriwayatkan Imam al-Tirmizi di dalam al-Jami’. Daripada Sa’ad bin Abi Waqas bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Maka sesungguhnya tidak seorang Muslim itu apabila berdoa untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya.” (Riwayat al-Tirmizi – 3505)

Bagi menjawab persoalan istighfar yang lebih afdal yang dinaskan oleh syarak, kami berpandangan bahawa Sayyid al-Istighfar adalah lebih utama kerana Nabi SAW menamakannya sebagai penghulu segala istighfar. (Rujuk kepada Irsyad al-Hadith – No 168)

Kami tidak menafikan doa Nabi Yunus ini, tetapi sudah tentu ia mempunyai adab yang memustajabkan doa berkenaan.

Walau bagaimanapun, kita dibolehkan untuk mempelbagaikan bacaan istighfar dan tidak tertumpu kepada satu bacaan saja.

Ini kerana setiap bacaan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Terdapat beberapa syarat istighfar yang dinukilkan Imam Ibn Hajar, antaranya: (Fath al-Bari, 100/11)

1. Niat yang benar.

2. Tawajjuh. (Menghadapkan diri hanya kepada Allah SWT)

3. Beradab. (Menjaga adab)

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa beristighfar dan memohon keampunan kepada-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pelajar wajib hormat guru

Posted by epondok di Oktober 21, 2019

Fadly Samsudin

 

ADAB ibarat bunga pada diri seseorang. Ia sentiasa indah dipandang mata dan mampu memikat hati sesiapa yang melihatnya.

Dalam hidup ini, kita sentiasa terikat dengan panduan dan peraturan supaya tidak melanggar batas yang ditetapkan.

Insan berakhlak mulia akan sentiasa menjaga adab, tingkah laku serta tutur katanya supaya tidak menyakiti orang lain.

Sebenarnya, sudah menjadi fitrah bagi manusia untuk cenderung melakukan kebaikan kerana pada diri mereka terdapat akhlak.

Ketika diciptakan, Allah SWT memuliakan manusia daripada makhluknya yang lain seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Israa’, ayat 70)

Maka, apabila manusia melakukan sesuatu perbuatan atau percakapan kotor, ketika itu mereka sedang merendahkan kemuliaan diri mereka di hadapan Allah SWT.

Rasulullah SAW juga selalu memohon kepada Allah SWT supaya akhlak Baginda diperbaiki.

Aisyah berkata, Rasulullah sering berdoa: “Ya Allah, sebagaimana Engkau menciptakanku dengan baik, maka perbaikilah akhlakku.” (Musnad Imam Ahmad)

Abu Darda berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amal yang menjadikan timbangan seorang mukmin berat pada hari kiamat adalah akhlak mulia. Sesungguhnya Allah SWT benci orang yang melampaui batas dan tidak bersopan santun.”

Ramai orang berilmu dan sentiasa ingin mempelajari ilmu, tetapi mereka tidak pula menekankan adab sebagai penuntut ilmu.

Kelakuan biadab terhadap guru misalnya adalah satu perkara sangat menyedihkan. Pelajar wajib menghormati guru kerana kedudukan mereka tinggi kerana pelajar perlu menadah dan menerima ilmu daripada mereka.

Berbicara mengenai adab ini juga, satu kejadian yang amat mendukacitakan berlaku di sebuah universiti awam tempatan berprestij, baru-baru ini apabila seorang graduan mempamerkan sikap biadab dengan secara terbuka melaungkan protes di atas pentas.

Peristiwa itu berlaku ketika berlangsungnya majlis konvokesyen yang penuh adat istiadat serta protokol selain turut dihadiri individu dan tokoh besar negara.

Majlis konvokesyen mempunyai nilai yang tinggi kepada seluruh warga akademik. Ia lambang intelektual serta ketinggian ilmu seseorang.

Perkara itu turut mendapat perhatian Pensyarah Fakulti Pengajian Quran & Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menerusi hantaran di Facebook miliknya yang menyatakan graduan lebih memerlukan adab.

Katanya, apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia.

“Al-Imam Malik dikatakan sangat mengutamakan adab dalam pengajiannya. Imam Malik dikatakan turut pernah menegur al-Imam Shafie yang dilihat seakan-akan bermain-main dengan jarinya ketika majlis pengajian hadis dijalankan.

“Perbuatan bermain-main dengan jarinya itu seakan-akan dilihat tidak beradab. Lalu Imam Malik memanggil al-Shafie untuk bertanya mengenai kelakuannya itu.

“Lalu al-Shafie menjawab, Wahai tuanku, aku tidak bermain-main, tetapi aku menulis dengan air liurku (di atas tapak tanganku) agar aku tidak lupa. Sesungguhnya aku adalah orang yang miskin dan tidak mempunyai dirham untuk membeli kertas dan pen.

“Lihatlah betapa seriusnya al-Imam Malik dalam menjaga adab anak muridnya ketika pengajian ilmu dijalankan. Kadang-kadang mungkin kita terasa lebih bijak daripada yang lain sehingga terlepas aspek adab yang perlu dijaga,” katanya dalam hantaran itu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Beristighfar, taubat jadi kunci penyelesaian masalah

Posted by epondok di Oktober 20, 2019

Oleh Hasliza Hassan

 

Rezeki manusia sudah disusun cantik oleh Allah SWT, namun ia tetap memerlukan kita untuk lebih berusaha dan bersungguh-sungguh mencapai apa yang dihajatkan termasuk melakukan amalan yang boleh membuka pintu rezeki.

Pendakwah, Mohd Hassan Adli Yahaya, berkata istighfar menjadi antara kunci ‘menjemput’ rezeki yang sangat kuat kerana banyak petunjuk menunjukkan Allah SWT menurunkan rezeki kepada orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Menjelaskan lebih lanjut kelebihan istighfar, beliau menceritakan kisah ulama salaf terkemuka Imam Hasan al-Basri yang sering menjadi tempat orang ramai merujuk masalah untuk mendapat jalan penyelesaian.

Semua masalah yang dirujuk kepadanya, Hasan al-Basri akan menyuruh supaya orang itu beristighfar. Bingung melihat perkara itu, seseorang bertanya kepadanya apakah semua masalah boleh selesai hanya dengan istighfar.

Hasan al-Basri menjawab, ia bukan penyelesaian yang beliau berikan tetapi firman Allah SWT dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anakmu dan mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” (Nuh: 10-13)

“Oleh itu, jika Allah SWT mengampuni dosa kita, bermakna Dia suka kepada kita dan akan dikurniakan rezeki melimpah-ruah. Namun, jangan anggap sudah cukup istighfar sahaja, sebaliknya perkara wajib lain masih perlu dibuat,” katanya.

Beliau mengingatkan kelebihan beristighfar sangat penting dan besar. Rasulullah SAW yang maksum dan dijanjikan syurga sendiri beristighfar dengan penuh penghayatan sebanyak 70 hingga 100 kali sehari.

Justeru katanya, kita perlu memperbanyakkan istighfar dan taubat kerana keutamaannya yang sangat besar dan Allah SWT yang memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa beristighfar serta bertaubat kepada-Nya.

Mohd Hassan berkata, walaupun rezeki, jodoh dan ajal berada dalam ilmu Allah SWT hingga manusia tidak tahu apa yang akan diterimanya, Allah SWT tidak menafikan usaha hamba-Nya berikhtiar, bertawakal dan berdoa sebagai kebergantungan kepada-Nya.

Beliau berkata, hamba perlu berusaha seperti burung yang keluar waktu pagi mencari makanan tanpa mengetahui nasibnya, tetapi pulang pada petang hari membawa makanan kerana usaha dan kebergantungan kepada Allah SWT.

“Kita sudah tahu rezeki setiap bulan akan mendapat gaji dan ia masih dalam konsep tawakal. Kita mampu pergi kerja kerana badan sihat dan apabila sudah melaksanakan tanggungjawab, lalu diberi gaji yang menjadi rezeki kita.

“Sekiranya Allah SWT mahu menukar takdir hamba-Nya, ia boleh sahaja kerana itu menjadi hak-Nya. Tugas hamba adalah melakukan setiap suruhan-Nya, jangan berputus asa dan bersangka buruk kepada-Nya,” katanya.

Beliau mengambil contoh kepada kisah Imam Ahmad Hanbal dengan penjual roti. Beliau yang bermusafir, singgah di satu perkampungan dan berniat untuk tumpang bermalam di masjid tetapi tidak dibenarkan kerana beliau orang luar.

Kebetulan, penjual roti bertanya kepada Imam Ahmad dan apabila dimaklumkan keadaannya, lelaki itu mengajaknya ke rumah. Pada malamnya, Imam Ahmad mendengar penjual roti beristighfar sambil membuat roti.

Pada siangnya, Imam Ahmad bertanya kenapa beliau beristighfar sepanjang membuat roti, lelaki itu berkata, beliau banyak dosa kerana Allah SWT mengurniakan pelbagai rezeki tetapi satu doanya belum termakbul.

Mohd Hassan berkata, penjual roti itu teringin berjumpa ulama besar, iaitu Imam Ahmad. Mendengar jawapan itu, Imam Ahmad memberitahu, beliaulah orang yang ingin ditemuinya itu.

“Allah mengaturkan Imam Ahmad untuk tidur di rumah penjual roti itu. Begitulah hebatnya kuasa istighfar. Oleh itu, apabila diberi nikmat, itu adalah kurniaan Allah dan andai tidak dapat apa yang diinginkan, jangan sekali-kali menyalahkan Allah sebaliknya bermuhasabah diri,” katanya.

“Sebenarnya kita yang zalim kepada diri. Jika ada yang rasa dia tidak bersalah atau tidak berdosa, itu satu masalah besar. Perbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah SWT semoga kita dimurahkan rezeki, lakukan dengan penuh penghayatan,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »