Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kahwini ‘anak emak’ peluang raih syurga

Posted by epondok di September 24, 2019


Oleh Hafizah Iszahanid

 

HUBUNGAN antara ibu mentua dengan menantu perempuan seharusnya akrab seperti sahabat. Bagaimanapun, tidak ramai berpeluang menikmati persefahaman begitu.

Kerap kalinya hubungan antara ibu mentua dengan menantu perempuan dingin, penuh curiga dan cemburu terutama jika suami yang dikahwini ialah anak lelaki diistilahkan sebagai ‘anak emak’.

Malah, tidak kurang perkahwinan akhirnya terlerai disebabkan konflik menantu dan ibu mentua.

Pendakwah bebas, Muzayyanah Abdullah, berkata wanita yang berjodoh dengan anak emak perlu menetapkan hatinya dan fokus kerana ia sebenarnya jalan mudah ke syurga.

Hal ini katanya, disebabkan lelaki sedemikian sentiasa sempurna di mata emaknya hingga mewajarkan golongan isteri merebut peluang itu dan bantu suami dengan berbuat baik kepada mentua.

Apatah lagi, berbuat baik dan menjaga ibu bapa itu ialah tanggungjawab dan kewajipan anak-anak.

Ia selari dengan firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Isra: 23)

“Dari segi adab dan adat, hubungan antara menantu perempuan dengan ibu mentua seharusnya boleh menjadi rapat seperti sahabat.

“Ia boleh dimulakan dengan menantu perempuan apabila masuk ke dalam keluarga baharu, buanglah tabiat buruk yang mungkin menjadi kebiasaan keluarga kandung.

“Justeru sikap seperti pengotor dan malas tidak seharusnya dibawa masuk ke dalam keluarga mentua,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, golongan isteri tidak boleh menunjukkan seolah-olah ingin membolot kasih sayang anaknya, sebaliknya perlu sabar dan mengharmonikan hubungan antara mereka dengan ibu mentua.

“Jaga juga adab termasuk jangan bermanja terlampau dengan suami di hadapan mentua. Sikap begitu hanya menjengkelkan hati sebahagian mentua. Kemesraan suami isteri adalah di dalam bilik, bukan dipamerkan di khalayak,” katanya.

Muzayyanah berkata, golongan isteri juga perlu banyak mengalah dengan mentua dan mengikut pendapatnya walaupun kurang kita persetujui.

“Namun, selagi arahan dan kehendak ibu mentua tidak melanggar perintah Allah SWT, akurlah.

“Jangan sesekali hilang sabar dan merajuk, sebaliknya pilihlah untuk berdamai serta kreatif dalam mengambil hatinya,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan kesabaran manusia ada hadnya tetapi perceraian bukan jalan terbaik apatah lagi jika ia akan menyebabkan kedua-dua pihak dalam kerugian, malah suami berdosa sekiranya isteri berada di pihak teraniaya.

Perceraian juga hal tidak disukai Allah SWT. Abdullah Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesuatu yang halal paling dibenci oleh Allah ialah talak. (HR Ibnu Majah)

Justeru, Muzayyanah berkata, suami seharusnya bijak dengan mengasihani isteri dan menyayangi ibu.

“Memang cabarannya sangat dahsyat apabila ibu tidak sebulu dengan menantu. Oleh itu, pesan selalu kepada isteri, bersabar dan banyak mengalah.

“Jangan dibawa berlawan walaupun ia sangat menyakitkan. Ingatlah pada syurga yang dijanjikan Allah SWT buat mereka yang sabar,” katanya.

Tambah Muzayyanah, dalam menangani persoalan kerenah mentua, sabar ialah sebaik-baik jalan.

“Anggap ia sebagai ujian dan tanda kasih sayang Allah SWT. Semaikan dalam hati, suami masih seorang anak kepada ibu bapanya dan itu syurganya. Sebagai isteri, bantu dia menjadi anak soleh.

“Apa lagi pilihan yang ada selain sabar sebab itu makam orang sabar amat tinggi di sisi Tuhan. Ada syurga khas untuk mereka, teruskan sabar tanpa had.

“Insya-Allah mereka yang sabar itu akan menikmati hasil kesabaran mereka,” katanya.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada mereka yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)

“Terimalah dengan reda takdir hidup yang menjodohkan kita dengan suami kerana Allah SWT yang memilihnya untuk kita. Dengan benar-benar bersyukur, Allah SWT akan menambahkan nikmatnya,” katanya.

Kata Muzayyanah, kesabaran lebih dituntut jika menantu dan mentua tinggal serumah.

“Ia mungkin terjadi kerana suami kurang berkemampuan dan tidak mampu untuk tinggal berasingan dengan mentua.

“Ia juga disebabkan faktor lain misalnya kesihatan, usia mentua yang lanjut atau mungkin suami memang selesa duduk bersama ibu bapanya.

“Situasi ini juga perlu dilihat sebagai kesempatan mendekatkan diri kita ke syurga. Pujuk hati, minta kekuatan dari Allah SWT supaya diberikan kesabaran dalam mengurus mentua. Niatkan semua itu kerana-Nya,” katanya.

Bagaimanapun Muzayyanah berkata, jika tiada halangan dan berkemampuan, pilihlah untuk tidak tinggal serumah.

“Sesekali bertemu mungkin kekurangan itu tertutup, jumpa sekali-sekala, kita sanggup ‘berlakon’ baik untuk tempoh singkat demi memastikan hubungan dengan mentua kekal baik walaupun dimulakan dengan ‘berlakon jadi baik.’

“Asbab kesungguhan kita ingin menjalin hubungan baik dengan mentua, kelak akan lahir keikhlasan yang mengindahkan perhubungan,” katanya.

Bagaimanapun tegas Muzayyanah, mentua juga harus melayani menantu perempuan seperti anaknya sendiri atau sahabat.

“Tanamkan dalam hati, orang yang dikahwini anak ialah insan yang boleh memberikan kegembiraan kepadanya, jadi adakah kita sanggup merentap kebahagiaannya?

“Jika hati rasa sakit melihat anak sendiri berbahagia dengan isterinya, itu tanda hati kita berpenyakit,” katanya.

Beliau berkata, seseorang ibu pasti mengetahui anak mereka tidak sempurna mana, lalu tidak boleh mencari kesempurnaan daripada menantu perempuan, sebaliknya doakan kebahagiaan kepada mereka.

“Jangan tekan anak dengan kebencian kita kepada isterinya dan jangan biarkan anak berbuat dosa dengan kita sebagai ibu,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: