Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Fitnah lalaikan berbuat kebaikan

Posted by epondok di September 22, 2019


Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

Islam memerintahkan kita bersegera melakukan kebaikan yang akan memberikan ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup dunia akhirat. Allah SWT berfirman: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang keluasannya segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa”. (Ali Imran: 133)

Islam al-din yang penuh dengan amal, menggalakkan umatnya sentiasa bergerak aktif, kreatif serta inovatif dan berkualiti dalam melakukan amalan. Islam tidak mahu umatnya lemah, rendah diri dan menganggur.

Dalam Islam, kerja keras dianggap terhormat dan amalan bersegera diiktiraf, sedangkan sikap pasif serta malas amat dilarang. Rasulullah SAW sering berpesan supaya tidak mensia-siakan waktu hingga berlalu begitu sahaja tanpa pengisian amal terbaik. Muslim perlu insaf masa sangat berharga dan tiada gantinya.

Allah SWT memberi panduan supaya Muslim tetap mengisi masa selepas menunaikan sesuatu amalan dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Firman-Nya: “Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih lain). (Al-Insyirah: 7)

Kemajuan dan kemunduran manusia, bahkan kedudukan bangsa sangat bergantung pada kesediaan mereka dalam bersegera melaksanakan pekerjaan. Semakin lambat menyelesaikan masalah, kemajuan akan terencat, sedangkan semakin cepat menerajui aktiviti, kemajuan segera berada di depan mata.

Pekerjaan yang biasa dilakukan pada pagi, tidak sewajarnya ditunda hingga petang dan begitu juga, kerja yang diselesaikan waktu siang, adalah sangat naif untuk kita menundakan urusan itu hingga malam pula. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan disegerakan hartanya”. (HR Muslim)

Dalam hadis lain, perintah bersegera melaksanakan kebaikan disampaikan Baginda: “Segeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam gelap-gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian paginya, menjadi Mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia sedikit.” (HR Muslim)

Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan itu. Fitnah atau malapetaka bakal menjelma suatu masa yang menghalang Mukmin melaksanakan amalan kebaikan.

Fitnah berlaku tanpa diketahui sebabnya dan merebak dalam kehidupan tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya umpama malam gelap-gelita. Ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah hingga terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhirat.

Dahsyatnya fitnah dan malapetaka hingga Muslim menjadi Mukmin sebelah pagi dengan menunaikan solat dan ibadat serta mendirikan syiar Islam tetapi petangnya, kufur kepada Allah SWT. Kelemahan iman menyebabkan seseorang menjual agama semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia sementara.

Akhirnya, neraca penilaian dalam diri menjadi songsang hingga melihat dunia sebagai matlamat utama, sedangkan akhirat seolah-olah tiada nilai. Dahsyatnya hal itu menyebabkan iman Muslim berbolak-balik kerana fitnah amat berbahaya dan bergerak pantas. Sekali kita membiarkannya, ia akan terus bertapak dan berkembang dalam diri dan masyarakat.

Pintu fitnah boleh ditutup dengan amal salih. Apa saja dilakukan dalam hidup Muslim, akan menjadi amal kebaikan seperti bercakap benar dan tidak berbohong, mendoakan kesejahteraan untuk saudaranya seagama dan amal salih serta kebaikan.

Tuhan Maha Adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya baik miskin atau kaya, yang memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan. Malah, sesuatu amal tidak dilihat daripada sudut kuantiti, sebaliknya kualitinya, iaitu motivasi dan niat.

Apatah lagi, saat paling berbahaya kepada akal manusia adalah ketika berada dalam kekosongan yang dibiarkan berlarutan hingga seseorang terjerat dalam kelalaian dan kemalasan. Waktu kosong disifatkan pencuri yang cerdik dan penuh helah.

Ubatilah ia dengan kerja keras, segera dan ikhlas supaya waktu kita dilimpahi berkat dan rahmat Ilahi. Kuburkan waktu kosong dengan kesibukan dan amalan salih berterusan kerana jika tidak, kita akan ketinggalan dan binasa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: