Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pelihara niat dan ikhlas, elak amalan rosak

Posted by epondok di September 20, 2019


Oleh Latifah Arifin

 

TANPA niat dan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, sukar untuk individu istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke arah perkara kebaikan.

Jika diperhatikan secara terperinci, setiap ibadat dalam Islam akan disertai dengan kewajipan memasang niat.

Antaranya, ia terangkum dalam rukun solat, selain prasyarat supaya ibadat puasa diterima Allah SWT hatta turut dituntut ketika menunaikan zakat.

Ia dapat dikaitkan hikmah amalan memasang azam setiap kali tiba tahun baharu termasuk mengajak manusia supaya sentiasa berpegang kepada niat.

Walaupun ia bukanlah ketetapan syarak, umat Islam dibenarkan berbuat demikian dengan harapan akan mencetuskan titik perubahan dalam diri, sekali gus menjadi kayu ukur untuk lebih istiqamah.

Umar al-Khattab RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan Rasul-Nya; maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa dituju sahaja.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pensyarah Kanan I’jaz Al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, tempat niat berada di setiap hati manusia.

Nu’man Basyir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging berkenaan rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati.” (HR Bukhari)

“Ada berpandangan, jangan melihat luaran sahaja kerana Allah SWT menilai daripada hati.

“Ada kebenaran apa diperkatakan tetapi ia masih boleh dipersoalkan seperti seseorang yang sering mengabaikan solat.

“Apakah orang tidak solat itu datangnya daripada hati baik? Jika benar, tidak mungkin dia akan ingkar terhadap perintah Allah SWT,” katanya dalam ceramah khas Maal Hijrah di Surau NSTP, baru-baru ini.

Mohd Sukki berkata, situasi itu merujuk kepada keadaan hati yang menjadi rosak. Ia berlaku apabila ada yang mencipta persepsi antaranya menghukum orang mengerjakan solat tidak semestinya individu baik.

“Ini yang disebut bisikan Iblis kerana niat itu tempatnya dalam hati. Perkara ini jika dibicarakan tanpa ilmu akan menimbulkan kekeliruan.

“Benar, ada manusia tidak meninggalkan solat tetapi belum tentu mempunyai perilaku baik. Usah hukum ibadatnya, sebaliknya individu itu mungkin tidak mengaplikasikan tuntutan solat dengan sebaiknya.

“Bagaimanapun, sekurang-kurangnya mereka masih mentaati perintah Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga kerap terjadi kepada mereka yang mengalami masalah waswas dalam solat antaranya terpaksa mengulangi niat atau bacaan sama berulang kali.

“Ia berlaku sama ada kerana tidak yakin atau tidak mempunyai ilmu. Apabila berdiri betul untuk memulakan solat, kita perlu tahu takrif niat, iaitu kehendak melakukan sesuatu diikuti melaksanakannya.

“Jadi, jika kita berkehendak melaksanakan solat walaupun tidak disebut hatta sepatah lafaz dan kemudiannya bertakbir maka ia sudah dikira sebagai memasang niat,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan setiap umat Islam supaya sentiasa menanam niat baik dalam diri masing-masing.

“Umpamanya, tahun ini kita perlu bina niat dan keazaman baharu. Misalnya ingin menjadi hamba Allah SWT soleh.

“Jika selama ini kita membaca al-Quran tanpa memahami isi kandungannya, maka ambil langkah untuk khatam terjemahannya pula.

“Kita mesti memasang niat kerana jika tidak, apa yang kita kejar tidak akan berhasil. Akhirnya, diri sendiri rugi kerana masih tidak mampu memahami isi al-Quran sepenuhnya,” katanya.

Selain niat, Mohd Sukki menghuraikan setiap perbuatan perlu disusuli dengan sifat ikhlas dalam diri.

“Ikhlas bermaksud berbuat sesuatu hanya kerana Allah SWT dan Rasul SAW, bukan kerana inginkan pujian atau bermegah sesama makhluk.

“Maka, berniat dengan penuh ikhlas amat penting dan syarat ibadat kita diterima Allah SWT adalah memastikan setiap perkara atau tindak-tanduk bertepatan hukum syarak.

“Ia seperti kisah pemuda yang datang memberi salam kepada Rasulullah SAW selepas mengerjakan solat. Nabi kemudian menyuruhnya mengerjakan semula solat,” katanya.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW mengulangi arahan itu walaupun pemuda itu sudah mengerjakan solat lebih tiga kali.

“Lalu, lelaki itu bertanya apa yang kurang pada ibadatnya itu dan Baginda menjawab, solatnya tidak sah kerana tidak disertai tomakninah,” katanya.

Tambah Mohd Sukki, peristiwa yang berlaku pada pemuda ini wajar dijadikan pengajaran kerana ia menunjukkan walaupun kita sudah yakin melakukan banyak amal kebaikan, ia mesti selari dengan hukum syarak.

Beliau berkata, begitu juga keikhlasan turut menjadi penentu untuk meraih keredaan dan syurga Allah SWT di akhirat kelak.

“Dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA menyebut di akhirat kelak akan ditanya antaranya kepada pelbagai kelompok manusia termasuk mereka yang syahid kerana berjihad di jalan Allah SWT.

“Allah SWT menafikan pengakuan berkenaan kerana manusia yang syahid di dunia itu, berjuang bukan atas nama jihad tetapi ingin nama dijulang sebagai pahlawan.

“Maka, mereka bukan sahaja tidak beroleh pahala, bahkan dilemparkan ke dalam neraka kerana tidak ikhlas semata-mata kerana Allah dalam melaksanakan pekerjaannya,” katanya.

Beliau turut menyentuh kaedah bagi memastikan amal dan ibadat yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas kerana Allah SWT.

“Ada banyak cara untuk memastikan setiap perkara yang dilakukan itu benar-benar ikhlas seperti buatlah amalan tanpa perlu dicanang atau sehingga diketahui oleh orang lain.

“Contohnya, amalan qiamullail amat baik untuk dilakukan kerana biasanya waktu lewat tengah malam orang sedang tidur, jadi sudah tentu ibadat dilakukan kerana Allah SWT,” katanya.

Beliau turut menasihat masyarakat supaya tidak mendedahkan kebaikan atau amal ibadat dilakukan kerana dibimbangi mencemarkan sifat ikhlas hakiki dan mutlak semata-mata untuk Allah SWT.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: