Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

4 Hujah Nabi pada manusia lalai ibadat

Posted by epondok di September 18, 2019


Oleh Nazmi Yaakub

KESIBUKAN dengan harta benda dan tugas serta kesukaran menghadapi penyakit dan kesusahan hidup sering menjadi alasan atau dalih kepada manusia dalam melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai hamba Allah SWT.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Al-Dzariyat: 56)

Pada sangkaan umum, keempat-empat faktor itu seolah-olah dapat dijadikan justifikasi terhadap tindak-tanduk di dunia hingga mengabaikan tuntutan beribadat kepada Allah SWT.

Bagaimanapun, Allah SWT mengutuskan empat rasul yang masing-masing berdepan dengan hal itu, sekali gus menjadi hujah kepada hamba-Nya yang cuba menggunakannya untuk melindungi kelalaian diri sendiri.

Nabi Sulaiman AS dikurniakan kekuasaan dan kekayaan dengan kerajaan yang tidak pernah diberikan kepada hamba Allah SWT yang lain.

Bagaimanapun, anugerah luar biasa itu termasuk angin ditundukkan kepada perintah Baginda dan keupayaan memahami bahasa haiwan tidak menjadikan Nabi Sulaiman AS lalai.

Sebaliknya, Baginda dipuji Allah SWT seperti firman-Nya: Dan Kami kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). (Saad: 30)

Justeru, Allah SWT akan berhujah dengan golongan kaya yang memiliki harta berlimpah-ruah dengan sirah Nabi Sulaiman AS.

Bagi golongan hamba pula yang menggunakan alasan sibuk melayani majikan masing-masing, Allah SWT akan berhujah dengan Nabi Yusuf AS yang diselamatkan daripada perigi buta tetapi dijual sebagai abdi kepada pemerintah Mesir.

Hujah itu bukan sahaja boleh menafikan kesibukan golongan abdi daripada melakukan ibadat, bahkan ia juga perlu diberi perhatian orang Islam pada masa ini yang mungkin berasa sibuk dengan urusan masing-masing.

Bagi orang yang sakit pula, Allah SWT berhujah dengan sirah Nabi Ayub AS yang ditimpa dengan ujian kesakitan teruk hingga terbaring, manakala harta kekayaannya hilang dan zuriatnya diambil kembali oleh Tuhan.

Firman Allah SWT: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (Al-Anbiya’: 83)

Golongan miskin pula akan dihadapkan dengan kisah Nabi Isa AS yang menjadi orang paling fakir di dunia tetapi Baginda tidak pernah meninggalkan ibadat kepada-Nya.

Malah, kefakiran Nabi Isa AS mendapat tempat istimewa dalam tradisi sufi hingga menjadi antara contoh yang sering diungkapkan dalam karya termasuk puisi.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: