Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 September 2019

Pedofilia di luar moral manusia

Posted by epondok di September 14, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

Umat Islam perlu lebih cakna dan bersedia dengan pelbagai masalah sosial yang sedang membelenggu dunia. Terbaru, di Barat golongan pedofilia yang terbabit dengan salah laku seksual membabitkan kanak-kanak menuntut supaya mereka turut dimasukkan dalam kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sekiranya tuntutan itu diiktiraf ia tentu mengundang lebih banyak bencana seolah-olah ‘menghalalkan’ perbuatan tidak bermoral yang dilakukan golongan ini terhadap anak kecil yang tidak berdosa.

Menurut Islam, pedofilia adalah perbuatan haram yang berdosa besar, justeru wajib bagi setiap umat Islam melawan habis-habisan daripada terjebak, apatah lagi melindungi pelaku penyakit songsang ini.

Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW berbicara kepada manusia pada hari Raya Korban: “Wahai manusia! Hari apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari haram” (kemuliaan)! Lalu Baginda bertanya lagi: “Negeri manakah ini? Mereka menjawab: “Tanah Haram”. Lalu Baginda bertanya lagi: “Bulan apakah ini?” dan mereka menjawab: “Bulan haram!”. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya darah, harta dan maruah kalian haram bagi kalian seperti keharaman hari ini, di negara ini, di bulan ini!”. (HR Bukhari)

Konteks haram sebagaimana disebut di dalam hadis ini menunjukkan bagaimana Islam memuliakan nyawa, harta dan maruah hingga Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya tidak sesekali terjebak dalam melakukan perkara yang jelas dilarang Allah SWT.

Ia selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Al-Nur: 19)

Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Muhammad Ayman al-Akiti, berkata Islam adalah agama terakhir diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang wasatiy iaitu mengikut jalan pertengahan, tidak terlalu ketat, dan tidak pula terlalu longgar seolah-olah tiada aturan yang mengatur kehidupan manusia.

“Mengikut hujah ilmuwan Islam, Imam al-Ghazali, segala hukum hakam di dalam syariat Islam memiliki lima prinsip iaitu menjaga agama, jiwa, maruah, akal dan harta.

“Maka kelima-lima prinsip ini dikenali sebagai maqasid syariah atau boleh disebut sebagai falsafah syariat Islam.

“Sedangkan pedofilia pula bermaksud sebuah gangguan psikologi yang mana individu dewasa atau remaja tertarik secara seksual atau eksklusif kepada kanak-kanak yang belum baligh,” katanya.

Justeru, segala perkara yang mendorong salah laku seksual terhadap kanak-kanak bawah umur termasuk rogol, meraba, hatta dalam bentuk ucapan dan menonton pornografi kanak-kanak yang dapat merangsang syahwat jelas bertentangan dengan prinsip maqasid syariah.

“Ia melanggar prinsip maqasid syariah, terutama menjaga jiwa dan maruah. Disebabkan itu, syariat Islam dengan tegas melarang dan memasukkan ke dalam dosa besar perlakuan seksual sedemikian kerana ia berkait dengan maruah dan kehormatan sama ada bagi dewasa mahupun kanak-kanak.

“Perbuatan ini meragut kehormatan kanak-kanak walhal Islam jelas menjaga hak mereka sebagai insan yang masih suci,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, syariat Islam mengatur segala aspek dalam kehidupan manusia termasuk dalam permasalahan syahwat manusia.

“Perkara ini disentuh melalui hukum-hakam munakahat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, dalam pernikahan umpamanya, kita dituntut menikahi wanita kerana empat perkara iaitu kerana harta, keturunannya, kecantikan dan agama.

“Maka dalam pernikahan, cinta itu juga perlu kepada takwa terhadap Allah SWT.

“Ia akan membuatkan manusia yang memiliki syahwat sama ada besar atau kecil, belajar bersabar dan mengawalnya serta menyalurkannya kepada sasaran yang diizinkan oleh syarak sekali gus tidak berperilaku seperti binatang yang tidak memiliki akal,” katanya.

Tambahnya, perlakuan pedofilia jelas terkeluar daripada moral manusia yang sihat.

“Saya melihat perlunya pihak berkuasa meningkatkan pendidikan mengenai falsafah hidup yang sebenar mengikut syariat Islam.

“Ini membolehkan seseorang individu itu bermuhasabah, terutama jika berasakan kelainan dalam tabiat dirinya.

“Kita perlu tahu, kelainan itu perlu dilawan dan dibasmi, bukannya dilayan kerana konsep agama Islam itu sendiri memerintahkan setiap umat manusia taat kepada Allah SWT dengan meninggalkan segala larangannya,” katanya.

Pada masa sama, setiap umat Islam, terutama ibu bapa perlu sedar mereka mempunyai tanggungjawab cukup besar untuk memastikan anak tidak terjebak mahupun menjadi mangsa kepada perbuatan keji pelaku pedofilia.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.” (Al-Tahrim: 6)

“Ayat ini secara tegas memerintahkan kepada umat Islam untuk menjaga diri dan keluarga daripada kemungkaran yang mungkin menjadi asbab terhumbannya kita ke dalam api neraka.

“Oleh itu, semua ketua keluarga wajib mengawasi anak-anak, selain tidak boleh mengambil mudah sehingga melepaskan mereka kepada orang yang tidak dikenali dan diragui boleh dipercayai.

“Menggunakan alatan teknologi terkini seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah atau memberi anak jam pintar untuk memantau keadaan mereka antara langkah pencegahan yang boleh dilaksanakan terutama bagi ibu bapa yang berkerjaya,” katanya.

Berbicara lanjut, Muhammad Ayman berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam membanteras pelaku jenayah pedofilia ini.

“Saya lihat, perkara ini perlu diteliti dari sudut undang-undang. Kerajaan perlu melihat secara serius terutama berkaitan hukuman yang diberikan kepada pelakunya.

“Ia mestilah setimpal dengan kesan dan bahaya perbuatan jenayah ini. Bermaksud, hukuman mestilah dapat membuatkan mereka ini takut untuk melakukannya,” katanya.

Mengulas daripada sisi dakwah, beliau berkata, ulama perlu terus menggiatkan usaha menyampaikan ilmu kepada masyarakat peri pentingnya mewujudkan keluarga Islami yang ideal.

“Bagi tujuan ini, perlu diajarkan akhlak dan adab Islam yang mulia supaya seseorang itu tidak terjerumus ke dalam perbuatan yang merosakkan anak bangsa.

“Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu (Al-Ahzab: 59),” katanya.

Menurutnya lagi, bagi menjaga keamanan negara daripada berlakunya penindasan, penganiayaan dan salah laku seksual kanak-kanak, kerajaan perlu melindungi kebajikan mereka sebagaimana dikehendaki dalam ajaran Islam.

“Bukan sahaja kes pedofilia, tetapi kanak-kanak turut terdedah dengan pelbagai jenayah lain termasuk penculikan dan pemerdagangan manusia.

“Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad menyatakan meninggalkan tanggungjawab kepada kanak-kanak adalah dosa besar.

“Apatah lagi jika ia sampai kepada tahap membahayakan keselamatan dan nyawa mereka sehingga terdedah kepada jenayah sedemikian,” katanya.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »