Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jadikan usia ‘saksi baik’ di akhirat

Posted by epondok di September 13, 2019


Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

 

Nikmat yang dilimpahkan Allah SWT kepada manusia tidak pernah putus, malah setiap detik bermula dari seketul darah dan daging dalam rahim, menghela nafas di dunia hingga ke kehidupan akhirat abadi.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).” (Al-Kausar: 1-3)

Penceramah, Datuk Dr Norhafizah Musa, berkata sebagai mensyukuri dan merahmati nikmat itu, umat Islam tidak boleh mensia-siakannya, sebaliknya perlu menggunakan usia di dunia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Norhafizah berkata, semakin bertambah angka usia, orang beriman perlu semakin suka untuk sujud kepada Allah SWT.

Beliau berkata, Ibnu Abi Dunya meriwayatkan hadis dalam kitab al-Zuhd dengan sanadnya daripada Anas ibnu Malik RA: “Malaikat maut pernah mendatangi Nabi Nuh AS dan berkata: “Wahai Nabi yang paling panjang umurnya, bagaimana anda mendapati dunia dan kenikmatannya?

“Baginda menjawab: Seperti seseorang yang mempunyai sebuah rumah dengan dua pintu, lalu dia berdiri di tengah rumahnya sejenak, kemudian keluar dari pintu yang lain.

“Kisah itu memberikan isyarat bahawa tempoh manusia hidup di dunia sekejap sahaja, sedangkan usia Nabi Nuh AS lebih 1,000 tahun lebih,” katanya pada ceramah bertajuk Nikmat Usia Penuh Barokah di Surau al-Mukmin Mutiara Gombak.

Norhafizah berkata, manfaat usia untuk beramal turut dijelaskan Imam Hasan al-Basri yang pernah menegaskan bagaimana masa menjadi saksi kepada amalan manusia di akhirat kelak.

“Hasan al-Basri berkata, apabila terbit sahaja fajar hari baharu, ia akan menyeru manusia: ‘Wahai anak Adam, aku adalah makhluk baharu. Aku akan menjadi saksi terhadap apa kamu lakukan. Gunakanlah aku untuk berbekal dengan beramal soleh. Sesungguhnya aku (apabila berlalu) tidak akan kembali lagi hinggalah menjelangnya kiamat,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua penyesalan tidak mendatangkan manfaat kepada manusia, iaitu penyesalan ketika ajal tiba dan padang Mahsyar.

Katanya, waktu itu bagaikan tidak lagi memberikan makna kepada umat Islam khususnya orang yang tidak melakukan manfaat sepanjang hayat dikandung badan.

Firman Allah SWT: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal soleh, lain daripada apa kami pernah kerjakan.’ (Lalu Allah menempelak mereka): ‘Bukankah Kami melanjutkan umur kamu dan memberikan masa cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula didatangi Rasul (Kami) yang memberi amaran. Oleh itu, rasakan (azab siksa) kerana orang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.” (Al-Faatir: 37)

Justeru, Norhafizah menyarankan pengurusan masa melalui pendekatan 3T untuk memakmurkan usia dan barakah dalam hidup, iaitu tauhid, tasbih dan taubat kepada Allah SWT.

“Tauhid kepada Allah SWT adalah dengan meluruskan niat kerana Allah SWT kerana apa yang menjadikan fikiran kita berserabut adalah niat tidak benar.

“Perasaan itulah sebenarnya menjadi ‘isyarat’ disampaikan Allah SWT untuk kita kembali kepada-Nya.

“Andai kita memiliki isyarat itu, kita perlu meluruskan niat untuk melakukan segala-galanya ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana faktor lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya bertasbih dan taubat kepada Allah SWT dengan menyebut dan mendengar sesuatu yang Allah SWT suka seperti kerap berzikir dan bersolat.

“Dalam mengamalkan tasbih dan taubat, kita berupaya mengawal diri daripada terpesona dengan kehidupan duniawi melekakan,” katanya.

Norhafizah berkata, umat Islam perlu bijak menguruskan pergaulan sama ada dengan orang sekeliling atau menerusi media sosial kerana boleh mempengaruhi pandangan dan cara hidup.

Abu Burdah Abdullah RA memberitahu beliau mendengar Abu Burdah ibnu Abu Musa RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang bergaul dengan golongan soleh dan orang bergaul dengan golongan jahat seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Pasti engkau memperoleh bau harum daripada penjual minyak wangi sama ada membelinya atau tidak, sedangkan daripada tukang besi akan terasa bahang membakar badan, kainmu atau kamu akan mendapatkan bau tidak enak. (HR Bukhari)

Keberkatan hidup lebih terisi apabila kita mempertingkatkan sedekah dan kualiti ibadah seharian. Norhafizah berkata, semakin meningkat usia, ada baiknya Muslim menghitung apakah lebih banyak tidur atau melebihkan ibadat termasuk solat malam yang menjadi tabiat orang soleh.

Firman Allah SWT: “Mereka merenggangkan diri daripada ranjang (iaitu tidur sangat sedikit kerana mengerjakan solat tahajud dan amal soleh), sentiasa berdoa dengan takut (kepada kemurkaan Allah SWT) serta perasaan ingin memperoleh (keredaan-Nya) dan mendermakan sebahagian apa yang Kami beri kepada mereka.” (As-Sajadah)

Mengenai pengurusan ibadat, Norhafizah berkata, ia boleh dilakukan secara gotong-royong dalam kalangan keluarga.

Katanya, kalau isteri ingin mengerjakan solat malam, dia boleh mengejutkan suaminya untuk turut serta dan begitulah sebaliknya.

“Jangan buang masa dengan isu remeh, sebaliknya suami isteri perlu saling ingat-mengingati antara satu sama lain dalam memanfaatkan usia,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: