Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Muhasabah kesilapan lalu jadikan Muslim lebih berjaya

Posted by epondok di September 12, 2019


Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

ANTARA amalan yang menjadi perhiasan mukmin dalam menelusuri pentas kehidupan penuh onak duri ialah muhasabah diri. Ia bermaksud menilai dan merenung kembali terhadap apa yang berlaku sama ada manis atau pahit dan detik suka duka dalam diari kehidupan. Nostalgia itu boleh dijadikan pengajaran dan iktibar sebelum mengorak langkah serta menyusun jejak melewati titian hidup seterusnya.

Steven Covey dalam The Seven Habits of the Most Effective People turut menyenaraikan amalan muhasabah antara tujuh sifat berkesan yang mampu mengangkat seseorang sebagai insan berjaya dalam hidup. Menurutnya, kebiasaan memperbaiki dan memperbaharui diri adalah sebahagian kebiasaan manusia efektif dalam memelihara dan meningkatkan aset terbesar yang dimiliki manusia iaitu diri.

Tambahnya, evaluasi atau muhasabah ialah saranan konkrit kepada seseorang untuk mencermin diri daripada kejadian dan peristiwa lalu agar lebih berwaspada serta bersemangat untuk terus berjuang ke arah matlamat dicita-citakan.

Apabila ditinjau dalam al-Quran, terdapat ayat suci yang menyeru setiap orang beriman agar sentiasa bermuhasabah setiap masa dan ketika. Firman Allah SWT: Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan (muhasabah) terhadap apa yang dia sediakan (daripada amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hasyr: 18)

Allah SWT menekankan perintah amalan bermuhasabah dimulai dan diakhiri dengan kalimah takwa. Ini menunjukkan ia perlu berpaksikan piawaian takwa kepada-Nya. Dengan erti kata lain, sejauh manakah peristiwa lalu dan nostalgia silam berupaya menjana serta mempertingkatkan kadar ketakwaan-Nya.

Muhasabah sewajarnya dijadikan amalan seharian wajib bukan hanya setiap awal atau akhir tahun. Ini kerana tiada seorang pun terlepas daripada melakukan kesilapan atau sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT sama ada sengaja atau tidak dan besar mahupun kecil.

Malah, tiada seorang pun boleh mendakwa maksum atau terpelihara daripada melakukan sebarang dosa. Rasulullah SAW bersabda: Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesalah ialah mereka yang sentiasa bertaubat. (HR Tirmizi dan Ibnu Majah)

Ia mengisyaratkan keperluan amalan muhasabah diterapkan dalam budaya hidup melalui proses penilaian, mengambil iktibar peristiwa silam dan seterusnya bertaubat serta berazam dengan semangat jitu untuk terus mara, sekali gus mampu bertindak sebagai medium kukuh yang akan menentukan kejayaan masa depan.

Tambahan pula, peristiwa berlalu ialah episod penting yang mampu menginsafkan seseorang terhadap kesilapan dan kepincangannya di samping bertindak sebagai cermin yang membiaskan inti pati pengajaran berguna untuk mendepani cabaran hidup.

Amalan muhasabah juga akan membantu Muslim untuk merencana perancangan lebih baik supaya apa dihajati akan terlaksana. Saidina Umar al-Khattab RA pernah berkata: Hisablah diri sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalan sebelum kamu ditimbang kelak pada hari akhirat.

Kemuncak itu, Allah SWT menurunkan al-Quran kepada umat manusia sejagat sebagai kitab petunjuk dan pedoman untuk menyinari hidup di samping berperanan sebagai pemisah antara hak dengan batil. Allah SWT selalu mengaitkan firman-Nya baik berupa ibadat, sejarah, fenomena alam semesta, hukum-hakam dan muamalah dengan ungkapan ‘agar kamu sekalian berfikir dan mengambil iktibar’ di penghujung ayat.

Justeru, berfikir dan mengambil iktibar sebahagian proses muhasabah yang bertujuan menginsafkan manusia di samping meletakkannya di atas landasan lurus.

Dunia ialah medan pertarungan sengit penghuninya. Tidak hairanlah, ada umat atau bangsa berjaya menikmati kemuncak kemajuan dan kegemilangan tetapi ada kecundang, tenggelam serta hancur ditelan bumi. Begitu juga ada pemimpin yang menempa tinta emas mewarnai pentas kemasyhuran, namun tidak kurang pemimpin yang memalitkan titik hitam dalam lipatan sejarah manusia.

Dunia ialah arena perjuangan antara hak dengan batil dan benar dengan salah. Adakalanya pihak benar dapat mengalahkan pihak salah dan kadangkala kelompok salah dapat menundukkan golongan yang benar.

Kalau pihak jahat dapat mengatasi pihak benar, ia tidak bermakna kejahatan berada di landasan betul, sebaliknya berdasarkan perancangan teliti dan rapi. Samalah juga keadaannya jika pihak benar kecundang dalam perjuangan, sudah pasti ada kepincangan dan kesilapan terselit atau perancangan tidak tersusun.

Begitulah peristiwa demi peristiwa bergolak di pentas kehidupan dengan apa pun kisah dan natijah yang diraih, muhasabah menjadi amalan kemestian dalam merencana persiapan, perancangan dalam menongkah arus.

Apatah lagi, setiap insan tidak mengetahui apakah masa depan bakal ditempuhi, sama ada kegemilangan yang akan mengangkatnya hingga berjaya atau kegagalan yang akan menyebabkannya tersungkur, lalu kecundang dalam persaingan hidup.

Oleh itu, al-Quran penuh dengan beraneka kisah pelbagai umat zaman lampau yang penuh dengan tragedi dan kesudahan menggerunkan terutama golongan ingkar kepada Allah SWT. Bagaimanapun, al-Quran juga sarat pelbagai kisah perjuangan Nabi dan Rasul yang berakhir dengan kesudahan menggembirakan di akhirat nanti.

Semua kisah yang tercatat dalam al-Quran secara langsung menganjurkan setiap Muslim agar bermuhasabah diri dan mengambil iktibar dalam menjalani kehidupan ini. Sesungguhnya amalan muhasabah adalah aset kukuh dan bernilai untuk menobatkan kembali era kegemilangan umat Islam dalam pelbagai lapangan hidup seperti pernah dirintis Rasulullah SAW dan generasi sahabat selepas Baginda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: