Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 2 September 2019

Perubatan Islam sembuh penyakit rohani, jasmani

Posted by epondok di September 2, 2019

Oleh Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob

 

KECENDERUNGAN mengaitkan penyakit dengan unsur mistik bukan baharu dalam masyarakat. Ia bertolak daripada pemerhatian dan pengalaman semasa melingkari kehidupan seharian. Namun, bukan semua penyakit terus dikaitkan dengan unsur mistik dan alam ghaib kerana dunia moden mengubah perspektif masyarakat.

Masyarakat mula mengetahui punca sesuatu penyakit disebabkan banyak faktor seperti jangkitan kuman, bakteria dan virus. Namun, terdapat penyakit tidak dapat dikenal pasti melalui diagnosis perubatan moden kerana seseorang individu secara fizikalnya dilihat sihat dan tiada masalah tetapi menanggung kesakitan tidak tertahan.

Dalam situasi itu, kepercayaan kepada kewujudan unsur mistik atau alam ghaib harus diyakini kerana tidak mustahil wujud campur tangan unsur lain.

Pesakit yang mencari jawapan, biasanya merujuk kepada golongan mempunyai ilmu khusus berkaitan unsur mistik dan alam ghaib. Kalau dahulu bomoh dan pawang, namun masyarakat kini lebih selesa merujuk agamawan dan pusat rawatan perubatan Islam kerana kaedah rawatan biasanya lebih meyakinkan dan dilihat selari dengan syariat.

Kebelakangan ini, pusat rawatan perubatan Islam semakin bertambah. Kebanyakannya mendakwa mereka mengamalkan rawatan selari dengan syarak dan berpandukan al-Quran serta sunnah. Namun, ada sebilangan bertopengkan agama dengan dakwaan merawat secara Islam tetapi sebenarnya bermotifkan keuntungan. Tindakan mengaut keuntungan atas kesusahan orang lain ialah perbuatan sangat keji dan berdosa besar.

Kesempatan diambil apabila pesakit yang buntu rawatan moden beralih kepada rawatan atau perubatan Islam. Kadar bayaran rawatan kadangkala tidak munasabah kepada pesakit hingga sangat menekan, selain dijanjikan kesembuhan. Namun, selepas ribuan ringgit dibelanjakan, penyakit masih tidak sembuh, bahkan lebih teruk pesakit seolah-olah bersubahat melakukan perbuatan bertentangan hukum syarak.

Justeru, pesakit dan keluarga pesakit perlu melakukan kajian ringkas terhadap pusat perubatan Islam sebelum berkunjung. Latar belakang penubuhan, sumber rujukan, bacaan dan kaedah rawatan diguna pakai, teknik rawatan serta ubatan boleh dijadikan kriteria menentukan sama ada ia benar-benar berlandaskan syariat atau tidak.

Jika latar belakang penubuhan tidak jelas, rujukan dan bacaan tidak bersumberkan al-Quran dan hadis, apatah lagi menggunakan bahasa tidak difahami, kaedah rawatan meragukan serta menggunakan medium dilarang dalam syariat, hukumnya haram mendapatkan rawatan berkenaan.

Ilmu perubatan Islam antara ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara khusus berpandukan al-Quran, sunnah dan ijtihad ulama muktabar. Prinsip asas dalam perubatan Islam, meletakkan kuasa penyembuhan hanya kepada Allah SWT. Keyakinan disandarkan kepada kuasa Tuhan Yang Maha Menyembuhkan disusuli ikhtiar hasil kombinasi beberapa kaedah perawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba serta bahan halal lagi baik yang dibenarkan syarak.

Konsep perubatan Islam amat luas dan boleh diguna pakai kepada semua jenis penyakit sama ada bersifat jasmani mahupun rohani. Namun, masyarakat awam lebih cenderung menggunakan kaedah perubatan Islam jika menghadapi masalah berkaitan mistik dan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin serta santau.

Al-Quran dan hadis ialah rujukan utama mendapatkan panduan perubatan Islam. Allah SWT menegaskan ayat al-Quran mengandungi kuasa penyembuhan dengan izin-Nya.

Allah SWT berfirman: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman.” (al-Isra’: 82)

Allah SWT sendiri menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-Nya apabila ditimpa sakit seperti firman-Nya: “Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Al-Mukmin: 60)

Firman-Nya lagi: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” (Al-Syu’ara’: 80)

Teladan anbiya’ boleh dicontohi apabila mereka memohon kesembuhan daripada Allah SWT melalui doa dan disembuhkan menggunakan perantaraan medium penyembuh. Antaranya kisah Nabi Ayub AS seperti firman-Nya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang amat mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” (Al-Anbiya’: 83)

Lalu, Allah SWT mengarahkan Nabi Ayub AS menghentakkan kaki hingga terpancar air dari tanah, lalu ia digunakan untuk minum dan mandi hingga akhirnya penyakit Baginda dengan izin-Nya. Di sini air antara medium terbaik dalam menyembuhkan penyakit. Justeru, tidak hairanlah kombinasi doa dan air digunakan meluas dalam kalangan perawat perubatan Islam.

Usaha mendapatkan kesembuhan daripada penyakit ialah saranan dalam Islam. Sekiranya manusia ditimpa penyakit, wajib baginya segera berusaha mendapatkan penawar. Hakikatnya, setiap penyakit datang daripada Allah SWT dan Dialah juga menyediakan penawarnya.

Usamah ibnu Syarik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Berubatlah kalian wahai hamba Allah, kerana Allah SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan ubat bersamanya kecuali satu penyakit, iaitu tua. (HR Ibnu Majah).

Jabir RA pula meriwayatkan Baginda bersabda: Setiap penyakit ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah. (HR Muslim)

Oleh itu, sebagai manusia yang menyedari kelemahan diri, jangan sekali-kali berputus asa mencari penawar setiap penyakit. Keyakinan tinggi perlu diletakkan kepada Allah SWT dalam mendapatkan kesembuhan di samping menggunakan wasilah ubatan yang dibenarkan syarak.

Sekiranya sudah berusaha mengatasi penyakit tetapi belum mendapat kesembuhan, kita perlu bersabar dengan penyakit itu. Penyakit yang menimpa mungkin diberikan Allah SWT sebagai ujian yang dapat mengukuh dan memantapkan keimanan serta kebergantungannya hanya kepada-Nya. Justeru, manusia perlu menginsafi diri dan melipatgandakan amalan kebaikan agar ujian menghasilkan pahala berlipat ganda.

Penyakit yang menimpa juga mungkin disebabkan bala atau musibah diturunkan Allah SWT kerana kelalaian, keingkaran dan selalu membuat dosa serta kerosakan. Maka, penyakit ditimpakan sebagai balasan dan kafarah (penghapus) dosa yang pernah atau sering dilakukan.

Jika berada dalam situasi itu, manusia perlu sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT serta menyesali perbuatannya. Pada masa sama, manusia hendaklah berazam tidak mahu mengulangi dosa dan kemaksiatan, sekali gus menjadikannya sebagai taubat nasuha.

Hakikatnya, rawatan perubatan Islam alternatif terbaik kepada umat Islam dalam menyembuhkan penyakit jasmani mahupun rohani. Paling penting, rawatan perlu menepati syariat Islam dan menyandarkan kesembuhan seratus peratus kepada kekuasaan serta keizinan Allah SWT.

Penubuhan pusat rawatan Islam yang terlalu banyak pula perlu dikawal pihak berkuasa agama supaya tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan dan diperalatkan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »