Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Ogos 2019

Pahala berganda apabila ajak orang buat baik

Posted by epondok di Ogos 28, 2019

SEBAGAI umat Islam, kita bukan sahaja dituntut untuk berbuat kebaikan, malah mengajak orang lain melakukan perkara yang sama.

Meskipun kita bukanlah bergelar ustaz atau ustazah mahupun pendakwah, namun tiada salahnya kita mengajak orang berbuat baik kerana ia ialah amalan terpuji.

Malah, sesiapa yang melakukannya mendapat pahala berganda, apatah lagi jika kebaikan itu dituruti oleh orang lain.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri juga mengajak orang melakukan kebaikan.

Baginda SAW bersabda: “Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.” (Riwayat Muslim)

Sebenarnya, ada banyak cara untuk mengajak orang ke arah kebaikan bermula daripada sekecil-kecil perkara hinggalah yang besar seperti berdakwah kepada orang bukan Islam.

Barangkali kita boleh mulakan perkara yang mudah seperti mengajak orang lain solat, menumpangkan ke masjid atau belanja makan selepas solat.

Mungkin apa yang kita lakukan itu akan dicontohi orang lain, sekali gus mengajak mereka ke arah kebaikan.

Namun, untuk mengajak orang ke arah kebaikan, wajib bagi kita untuk melakukannya terlebih dahulu.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi ALLAH jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)

Apabila kita melarang orang lain berbohong contohnya, jangan sesekali kita berdusta.

Mudah-mudahan segala amal kebaikan yang dilakukan akan diterima oleh ALLAH SWT dan memperoleh ganjaran daripada-Nya.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »