Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Ogos 2019

Kecelaruan akhlak Muslim berpunca pengabaian roh

Posted by epondok di Ogos 24, 2019

Oleh Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

 

Pendedahan akhlak buruk sebahagian umat Islam di seluruh dunia termasuk di negara ini, seolah-olah sudah lumrah ditemui dalam pelbagai laporan media. Ia meliputi pelbagai bidang kehidupan daripada politik dan ekonomi hingga sosial.

Jenayah seperti fitnah, pecah amanah, rasuah, rompakan, pembunuhan dan rogol bagaikan biasa dilakukan sebahagian umat Islam, malah lebih mengejutkan apabila sampai ke tahap tidak berasa malu dan bangga membuat perakuan terbuka mengenai perbuatan keji mereka.

Gelagat sebegini menggambarkan betapa jauhnya mereka daripada cahaya yang dibawa Islam dan amat malang sekali, misi akhlak mulia Rasulullah SAW sudah dicicirkan dan tidak lagi menjadi kebanggaan.

Mengapakah gejala sebegini terjadi dan di mana silapnya hingga jauh tersasar serta tergelincir daripada landasan Islam? Sekiranya ia dianalisis berdasarkan petunjuk Islam, boleh disimpulkan mereka terperangkap dalam suasana ghaflah atau lupa hingga tidak mengenal diri dan tabii diri.

Ini menjadikan mereka tidak melatih dan mengembangkan potensi diri dengan tepat berasaskan tabii sebenar sebagai manusia. Mereka tercicir daripada proses latihan dan pengembangan itu hingga terperangkap dalam jenayah akhlak berat. Mereka bagaikan ‘meletak jawatan’ daripada menjadi manusia dalam pengertian sebenar.

Kesimpulan itu boleh ditelusuri berdasarkan kefahaman sejumlah pernyataan al-Quran yang mengungkapkan persoalan besar kemanusiaan yang secara tabii dicipta Allah SWT dengan memiliki dua komponen, iaitu material (jasad) dan non-material (roh).

Firman Allah SWT: “Dan Yang memulai penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari sari pati air hina (mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya.” (Al-Sajdah: 7-8)

Aspek jasad berbentuk material diciptakan daripada tanah atau air mani, sedangkan roh bersifat non-material ialah ‘sesuatu’ yang didatangkan langsung daripada Allah SWT.

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din mencatatkan unsur non-material atau kerohanian dalam diri manusia terangkum dalam istilah yang bukan hanya tertumpu kepada istilah roh, bahkan kalbu, nafs dan akal yang menjadi hakikat sejati diri mereka.

Dalam penggunaan istilah oleh al-Ghazali itu – roh, nafs, qalb dan ‘aql – boleh ditukar ganti yang keempat-empatnya merujuk kepada apa diungkapkan imam besar berkenaan sebagai latifah rabbaniyyah ruhaniyyah yang bersifat ‘alimah mudrakah yang terdapat dalam diri manusia dan hakikat sejati mereka. Atas sebab kewujudan aspek kerohanian itu, manusia menerima kebertanggungjawaban (taklif) di dunia.

Justeru, non-material roh atau kerohanian itu ialah aspek amat penting dalam keseluruhan diri manusia dan inti sari diri serta ciri peribadi mereka. Ia bukan asing atau hanya ditampal, sebaliknya menjadi pusat hidup dan pusat segala kegiatan mereka.

Oleh itu, perlulah difahami aspek material ataupun jasad manusia dijadikan tidak lebih sebagai alat tunggangan roh, iaitu jasad dijadikan untuk kepentingan roh, bukan sebaliknya.

Keduanya, menerusi aspek non-material, manusia sebagai makhluk Allah SWT terbaik sebenarnya sudah sedia mengakui-Nya sebagai Tuhan mereka seperti terungkap dalam firman-Nya: “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Al-A’raf: 172)

Ayat ini perakuan dibuat manusia terhadap Ketuhanan Tuhan berlaku dalam alam al-arwah (roh) atau alam al-nufus (nafs) yang berada dalam ilmu Allah SWT dan tidak disedari manusia sebagai manusia yang hidup di alam nyata.

Ia dijelaskan tokoh sufi tersohor, Imam al-Junaid al-Baghdadi bahawa kewujudan manusia terbahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama merujuk kewujudan bersifat suci dan mempunyai hubungan langsung dengan Tuhan tanpa dibatasi sebarang hijab, iaitu kewujudan tidak dibatasi ruang waktu dinikmati manusia sebelum kedatangan mereka ke alam dunia ini. Dalam keadaan itu, arwah atau nufus manusia secara tegas memperakui keesaan Tuhan apabila ditanyakan ‘alastu bi Rabbikum.’.

Selepas itu, tiba peringkat kedua yang merujuk kewujudan manusia di atas dunia fana. Peringkat ini disempurnakan bersama jasad, bermakna ia dihubungkaitkan dengan alam benda, lalu manusia menjadi sibuk dengan urusan memenuhi pelbagai tuntutan dan kemahuan jasad yang kesemuanya bersifat kebendaan.

Dalam keadaan itu, manusia umumnya menjadi ghaflah kepada ‘perjanjian dan perakuan’ suci diikat serta dibuat dalam tempoh kehidupan peringkat pertama di alam roh. Hidup dalam perangkap ghaflah menyebabkan manusia tidak lagi ingat kepada Tuhan, lalu bergelumang dalam pelbagai bentuk kedurjanaan dan jenayah untuk memenuhi tuntutan kebendaan. Aspek roh tersisih dan tidak diberi perhatian dalam agenda hidup harian.

Ketiga, atas sebab kewujudan aspek non-material, manusia disediakan dalam diri potensi sama ada menjadi baik ataupun sebaliknya seperti dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Shams, ayat 7 hingga 10.

Potensi kerohanian, iaitu al-nafs memiliki dwi-dimensi, iaitu boleh membawa ke arah kejahatan (fujur) dan takwa. Aspek fujur dan takwa sudah sedia tersemai di dasar diri manusia dalam bentuk potensi, maka terserah kepada diri masing-masing potensi mana yang mahu dibangun dan dikembangkan.

Orang yang membersihkan dirinya dengan kerja ketakwaan akan beroleh kejayaan, manakala mereka yang mengotorinya dengan kejahatan (fujur) akan menempah kehampaan dan kekecewaan.

Penjelasan al-Quran itu menunjukkan roh maha penting dalam keseluruhan diri manusia, bukannya jasad atau aspek benda. Justeru, di sini jelas tertayang ‘ketersasulan’ kebanyakan manusia yang mengutamakan secara berlebihan terhadap jasad atau benda dalam diri hingga menjadi amat luar biasa sibuk dalam dunia berkait kosmetik, fesyen dan sukan.

Dalam hiruk-pikuk memuja benda, roh diabaikan sebahagian besar manusia hingga menimbulkan pelbagai bentuk krisis kerohanian seperti kerosakan akhlak, kehilangan ketenangan dan kedamaian hidup kerana mereka sebenarnya sedang melawan dan bertempur dengan tabii diri sendiri.

Keadaan tidak memberi perhatian kepada aspek roh dalam kehidupan harian boleh diperhatikan dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam. Mereka tidak memahami kedudukan dan peranan roh dalam keseluruhan kehidupan seperti terkandung dalam Islam.

Mereka bagaikan dipasung suasana ‘buta’ hingga tidak dapat mengenali diri sendiri, lalu terperangkap dalam penguasaan ghaflah dan hanyut terbawa-bawa ke arah pengembangan potensi fujur. Inilah menjadi penyebab utama kepada perlakuan akhlak keji dalam kalangan umat Islam.

Justeru, umat Islam mesti didedahkan melalui pendidikan dan dakwah berkesan supaya memahami serta mengenali tabii dan hakikat diri dengan tepat. Dengan pengenalan dan kefahaman itu, Muslim dapat bertindak secara positif menyelaraskan kehidupan harian dengan apa dikehendaki Allah SWT.

Oleh itu, akhlak mulia boleh terbina dalam diri ummah dan seterusnya menyumbang kepada kehidupan berkualiti yang memenuhi ciri rahmatan lil alamin.

Posted in Amalan Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »