Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perubahan akhlak tanda haji mabrur

Posted by epondok di Ogos 22, 2019


Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

 

Menjejak kaki ke tanah suci dan menjadi tetamu Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji menjadi impian setiap Muslim, apatah lagi bukan semua orang berpeluang meraih gelaran ‘dhuyufurrahman’ walaupun mempunyai kecukupan daripada segala segi.

Bagi jemaah yang menerima ‘seruan’ Allah SWT menunaikan rukun Islam kelima itu, pastinya mengimpikan haji mabrur.

‘Semoga memperoleh haji mabrur’ ungkapan acap kali diucapkan mengiringi tetamu Allah SWT yang akan berangkat ke tanah suci.

Namun, sejauh mana status mabrur atau haji diterima Allah SWT dapat diketahui khususnya jemaah haji? Apatah lagi, adalah rugi sekiranya peluang mengerjakan ibadat haji itu tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Rasulullah SAW bersabda: Haji mabrur (penuh kebajikan) lebih baik daripada dunia dan segala isinya serta haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. (HR Bukhari)

Penceramah bebas, Halim Din, berkata ukuran ibadat haji seseorang berstatus mabrur atau sebaliknya, boleh dilihat sebelum jemaah berangkat ke tanah suci lagi, yakni sumber membiayai kos menunaikan ibadat itu perlu bersumber halal.

“Jemaah juga perlu mempunyai ilmu mengenai ibadat haji dan dikehendaki melakukan taubat nasuha kepada Allah SWT, manakala bagi kesalahan kepada manusia, kemaafan perlu dimohon sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Individu yang mahu menunaikan haji juga perlu memastikan perbelanjaan cukup kepada ahli keluarga ditinggalkan seperti anak isteri,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Halim berkata, jemaah juga perlu memperbetulkan niat dari awal dengan memusatkan fokus ke Tanah Suci hanya untuk mengerjakan ibadah terbabit.

“Sepanjang di sana, tidak boleh melakukan perbuatan fasik dan maksiat serta memelihara lidah daripada menyebut perkara kotor atau lucah.

“Jemaah perlu elak berkelahi, berbalah, memaki hamun dan mencerca yang sekiranya tidak dijaga, akan merencatkan usaha memperoleh haji mabrur,” katanya.

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasik (keluar daripada ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa). (HR Bukhari, Muslim, Nasaie dan Ibnu Majah)

Halim berkata, ukuran mengenal pasti sama ada seseorang memperoleh haji mabrur tentunya dapat dilihat selepas kepulangannya dari Tanah Suci, iaitu usaha menjaga kualiti ibadat haji.

“Misalnya setiap rukun haji dibuat, iaitu niat, tawaf, saei, wukuf di Arafah dan tertib perlu dizahirkan apabila pulang ke tanah air.

“Maknanya kalau haji bermula dengan niat kerana Allah SWT, maknanya pulang daripada Makkah apapun ibadat dilakukan diniatkan hanya kerana-Nya, bukan sebab lain,” katanya.

Beliau berkata, falsafah wukuf di Arafah memberi gambaran akhirat yang turut melambangkan kesucian kerana pakaian jemaah semua berwarna putih.

“Ia melambangkan penyatuan suci dan bersih hingga apabila balik dari Makkah, kita sepatutnya mengingati Akhirat serta memberi fokus kepada alam abadi itu melebihi duniawi.

“Ketika berwukuf, jemaah banyak berdoa, solat sunat dan istighfar hingga tanda haji mabrur adalah kita terus istiqamah beribadat seperti dilakukan sepanjang tempoh wukuf, iaitu gelincir hingga terbenam matahari,” katanya.

Halim berkata, simbolik melontar Jamrah adalah membenci iblis dan syaitan. Justeru, orang mendapat haji mabrur akan menjauhi perlakuan musuh utama orang beriman serta Rasulullah SWT.

Beliau berkata, ketika di Tanah Suci, jemaah juga melaksanakan ibadat korban yang membawa pengertian pengorbanan diri dan harta benda.

“Maknanya, pulang daripada tanah suci, seseorang tidak akan bakhil, sebaliknya tetap meneruskan kesinambungan sedekah atau infaq harta ke jalan Allah SWT meskipun mungkin jumlahnya tidak banyak,” katanya.

Antara paling utama, kata Halim, tanda haji diterima Allah SWT ialah perubahan akhlak lebih baik termasuk menjaga masa dan tidak melakukan perkara lagha atau sia-sia.

“Di Tanah Suci, jemaah tidak membuang masa, sebaliknya ke Masjidil Haram lebih awal untuk menjaga waktu solat.

“Tanda orang mendapat haji mabrur akan memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, tahajud, solat jemaah dan sunat serta mengimarahkan masjid.

Halim berkata, orang yang mendapatkan haji mabrur bukan sahaja memberi manfaat kepada diri, malah orang lain kerana mereka akan lebih sayang ahli keluarga termasuk ibu bapa, isteri dan anak.

Beliau berkata, selain mabrur, ibadat haji juga boleh jatuh kepada haji mardud, iaitu ditolak Allah SWT berikutan kekurangan syarat dan rukun atau sebab lain.

Ia berlawanan dengan haji maqbul, iaitu sah dan diterima Allah SWT, manakala orang yang mengerjakannya dianggap sudah menunaikan perintah Tuhan serta menyempurnakan rukun Islam kelima walaupun bukan di tahap paling baik atau tertinggi.

“Haji mardud juga boleh dinilai misalnya ketika di Tanah Suci, seseorang mendirikan solat tetapi apabila pulang tidak lagi menunaikannya, malah masih melakukan dosa besar seperti minum arak, berjudi dan maksiat lain.

“Begitu juga seseorang pulang daripada mengerjakan haji tetapi tidak lagi menutup aurat atau memakai tudung melainkan dia perlahan-lahan berubah,” katanya.

Halim berkata, walaupun sukar, ia boleh diusahakan dengan membuat persiapan lebih awal dan tidak putus berdoa semoga Allah SWT memudahkan jalan dan serta mendapat haji mabrur semasa di Tanah Suci atau selepas pulang ke tanah air,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: