Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Beza Takbir Mursal dan Muqayyad

Posted by epondok di Ogos 11, 2019


*PERBEZAAN TAKBIR MURSAL DAN TAKBIR MUQAYYAD*

*SOALAN*
Biasanya takbir hari raya dimulakan selepas solat Maghrib, tetapi saya pernah pergi ke sebuah surau di Kuala Lumpur, mereka memulakan takbir hari raya haji selepas Subuh 9 Zulhijjah.

Saya keliru adakah ia betul atau tidak? Apakah ada dalil yang disebut dalam kitab fiqah Mazhab Syafie berhubung perkara itu?

Rahim, Kota Damansara
……………………………….

*JAWAPAN*
Takbir hari raya Aidilfitri berbeza dengan takbir hari raya Aidiladha.

Takbir hari raya Aidilfitri bermula pada Maghrib malam satu Syawal sehingga selesai solat sunat Aidilfitri.

Ia disebut sebagai takbir mursal. Dalilnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…hendaklah kamu mencukupkan bilangan (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (ber-
takbir) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ayat itu jelas menunjukkan ketika selesai melaksanakan ibadat puasa pada bulan Ramadan, maka disyariatkan untuk mengagungkan Allah dengan bertakbir.

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW keluar rumah menuju ke kawasan lapang, kemudian Baginda bertakbir sehingga tiba di kawasan lapang itu.

Baginda tetap bertakbir sehinggalah selesai solat. Selesai solat, Baginda menghentikan takbir.

Hadis itu juga menunjukkan solat hari raya tidak semestinya dilakukan di masjid, bahkan Baginda turut mengadakan solat hari raya di kawasan lapang.

Takbir hari raya Aidiladha pula dilakukan bermula selepas selesai solat Subuh 9 Zulhijjah sehinggalah selesai solat Asar 13 Zulhijjah.

Takbir itu disebut sebagai takbir Muqayyad kerana ia dilakukan setiap kali selesai solat fardu.

Antara dalilnya iaitu daripada Ibn Abbas bahawa beliau bertakbir selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehinggalah 13 Zulhijjah. Beliau tidak bertakbir selepas Maghrib (malam 14 Zulhijjah). (Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Baihaqi)

Begitu juga daripada Ibn Mas’ud, beliau bertakbir selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah sehingga Asar 13 Zulhijjah. (Riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Imam an-Nawawi dalam Al-Majmu)

Disebut juga dalam kitab fiqah antaranya Fathul Qa-
rib al-Mujib oleh Syeikh Abu Abdillah Muhammad Ibn Qasim as-Syafii iaitu takbir Aid (hari raya) terbahagi kepada dua jenis iaitu takbir mursal dan takbir muqayyad.

Takbir mursal ialah takbir yang tidak dikaitkan dengan waktu solat fardu atau solat sunat. Takbir mursal dilakukan pada setiap waktu, di mana pun dan dalam keadaan apa pun.

Takbir itu juga dilakukan oleh lelaki dan perempuan sama ada di rumah, jalan, masjid, pasar dan sebagainya.

Waktu melakukan takbir mursal bermula sebaik terbenamnya matahari (Maghrib) malam hari raya hinggalah imam mengangkat takbiratul ihram solat hari raya.

Kedua, takbir muqayyad iaitu perlaksanaannya memiliki masa yang khusus iaitu mengiringi solat.

Maksudnya dibaca selepas melaksanakan solat fardu dan solat sunat.

Waktu takbir bermula selepas solat Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) sehinggalah Asar akhir hari Tasyriq (13 Zulhijjah).

Maksudnya, takbir muqayyad dilakukan dalam masa lima hari bermula 9 Zulhijjah hinggalah 13 Zulhijjah.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Haj, ayat 28 yang bermaksud: “… supaya mereka berzikir (menyebut) nama Allah pada hari yang telah ditentukan…”

Firman-Nya lagi dalam Surah al-Baqarah, ayat 203: “…dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang berbilang.”

Maksud berzikir pada ayat itu menurut pandangan ulama ialah bertakbiran.

Ibn Abbas mengatakan bahawa yang dimaksudkan “…hari yang ditentukan…” ialah tarikh 1 hingga 10 Zulhijjah, sedangkan maksud “…beberapa hari yang berbilang…” ialah hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Perkara berkenaan disebut oleh Ibn Hajar dalam kitab Fathul Bari. Ia adalah takbir yang tidak terikat dengan waktu iaitu disebut sebagai takbir mutlaq.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: