Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Nasihat usah sampai memalukan

Posted by epondok di Ogos 4, 2019


 

Dikisahkan seseorang datang menasihati Khalifah al-Makmun dengan suara lantang dan tidak bersopan santun. Khalifah pun menegurnya dengan katanya: “Orang yang lebih baik daripadamu pernah datang memberi peringatan kepada orang yang lebih buruk dariku.”

Sesungguhnya Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diutuskan Allah SWT kepada Firaun seperti firman-Nya: “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 44)

Nasihat sangat diperlukan dalam kehidupan, sekali gus menjadi asas utama dalam mencipta keharmonian keluarga dan masyarakat. Dengan nasihat, seseorang akan dapat mengetahui apa sebaiknya dilakukan, kekurangan dan bagaimana seharusnya untuk mendepaninya.

Seseorang sangat memerlukan pesanan nasihat daripada orang lain supaya menjadi lebih baik. Oleh itu, setiap insan selamanya tidak akan mampu melakukan apa pun secara bersendirian, melainkan memerlukan nasihat, pesanan atau pembabitan orang lain.

Bukankah Allah SWT berfirman: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-Asr: 1-4)

Dalam menasihati seseorang, maka kita hendaklah memilih bahasa bersopan santun dan lemah lembut. Dalam hal ini, kebanyakan orang sering kali menggunakan tutur kata tidak tepat dan bernada tinggi sewaktu menegur orang lain.

Akibatnya, ia tentu akan memberi kesan tidak baik. Perlu ditegaskan, menasihati itu berbeza dengan marah meskipun tujuannya adalah sama.

Nasihat dengan menggunakan bahasa kasar, nada tinggi dan tidak bersopan santun, tidak akan mudah diterima oleh orang dinasihati, meskipun kesalahannya itu ternyata salah.

Kesantunan berbahasa dan kearifan sikap akan memberikan kesan sama ada diterima atau tidaknya nasihat itu. Justeru, pemberi nasihat seharusnya bijak memilih bahasa yang tepat.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziah ada menyebut perbezaan antara menasihati dan memalukan. Menurut beliau, menasihati itu berlaku adil dan ihsan kepada orang yang dinasihati, menampakkan kasih sayang kepadanya serta tidak sudi melihat saudaranya melakukan kesalahan.

Niatnya hanya mencari keredaan Allah SWT. Di samping itu, dia berperanan sebagai doktor yang mengetahui punca penyakit dihidapi pesakit, lalu menentukan ubat tepat supaya pesakit tadi lekas sembuh.

Ia berbeza dengan perbuatan memalukan seseorang yang niatnya untuk mengubah sambil menghinanya dan mencela orang yang menerima peringatan itu.

Walaupun celaan dan penghinaan berbentuk nasihat, ia tidak dilakukan dengan penuh adab serta melukakan perasaan orang yang dinasihatinya.

Justeru, antara adab memberi nasihat, hendaklah menasihatinya ketika dalam keadaan sendirian dan tidak dalam keadaan terbuka kepada orang ramai. Ini kerana sesiapa yang menutup kesalahan saudaranya, nescaya Allah SWT akan menutup kekurangannya di dunia dan akhirat.

Perkara ini amat sukar dilakukan kerana semua menyedari jika menasihati di hadapan orang ramai dan secara terbuka, pemberi nasihat akan terlihat pintar, arif dan bijaksana. Namun, orang yang dinasihati pula tentu akan merasai keadaan berbeza. Dia pasti akan malu, tidak selesa, bahkan mungkin berasa terhina dan diperbodohkan.

Oleh itu, Imam Shafie pernah berkata: “Sesiapa menasihati saudaranya secara rahsia, maka dia benar-benar menasihatinya dan memuliakannya, manakala sesiapa menasihatinya secara terang-terangan, maka dia menghina dan memalukannya.”

Ringkasnya, setiap kita perlu bersedia untuk menerima sebarang pujian dan juga teguran dengan tujuan untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik. Itulah guna nasihat dalam kehidupan insan supaya sentiasa berada pada jalan benar.

Apatah lagi, nasihat itu adalah anjuran Islam, yang juga sebahagian daripada skop amar makruf nahi mungkar.

Keprihatinan seseorang dengan datang menasihatinya menandakan kasih sayang pada saudaranya. Kesediaannya untuk menerima sebarang nasihat dan teguran adalah tanda kebesaran hati dan jiwa penerima nasihat.

Lalu orang yang dinasihati dengan sebaik-baiknya pun akan berdoa: “Semoga Allah merahmati dan membalasmu dengan kebaikan kerana nasihatmu padaku menunjukkan kekuranganku.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: