Kegagalan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam menyebabkan seseorang Muslim itu sama seperti orang kafir kerana yang membezakan Muslim dan bukan Muslim adalah solat.

Menunaikan solat fardu bukanlah satu perkara yang dilakukan atas kemahuan kita, sebaliknya satu perintah yang perlu dilaksanakan dalam apa jua situasi.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:“Amalan yang mula-mula sekali dihisab daripada seorang hamba di akhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amalan-amalan lain.” – Riwayat Imam an-Nasai’ dan Tirmizi

Hatta ketika sakit atau terlantar tanpa sebarang pergerakan, kewajipan menunaikan solat ke atas seseorang Muslim itu tidak pernah ‘padam’ kecuali mati.

Maka jangan sesekali mengabaikan solat. Ingatlah pesanan terbaik ini iaitu ‘Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan’. Jika sampai saat itu, tiada gunanya lagi biar sekali pun keluar air mata darah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Setelah melihat orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan sembahyang, dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan. Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (Kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” (Surah al-Muddasir: 42-48)