Perbuatan itu tidak salah, sekurang-kurangnya dapat juga melegakan hati dan fikiran, daripada dipendam seorang diri. Asalkan apa yang diluah atau diceritakan itu tidak membuka aib mana-mana pihak.

Cuma, persoalannya mengapa kita tidak mengadu kepada Allah SWT saat diri kesakitan mahupun ditimpa kesempitan hidup?

Adakalanya kita terlupa untuk berdoa kepada Allah, tidak pun kita berdoa tetapi ia dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh. Berdoa dengan memahami makna doa yang diminta dan yakin bahawa Allah mampu serta akan memakbulkan doa tersebut.

“Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)

Doa sebenarnya adalah kemuncak hubungan manusia dengan Allah. Malah, doa akan mengikat diri kita agar lebih rapat dengan Allah, selain sebagai tanda kita yakin dan percaya dengan Allah.

Oleh itu, berdoalah. Susun dan fahami apa yang didoakan serta yakinlah bahawa Allah akan memakbulkan doa anda. Orang yang selalu berdoa akan tenang hidupnya kerana dirinya akan melihat satu persatu doanya dijawab Allah.

Jika mendapat kejayaan tanpa berdoa, seseorang itu tidak akan merasa apa-apa nilai tambah kerana baginya apa yang diperoleh itu adalah dengan usahanya. Jadi, apabila dirinya tidak mampu lagi meneruskan usaha, dirinya akan putus asa dan sukar untuk bangkit semula.