Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

4 amalan, tingkat kemuliaan ahli sufi wanita terkenal

Posted by epondok di Julai 22, 2019


Oleh Nazmi Yaakub

 

AHLI sufi bukan seperti tanggapan sebahagian golongan jahil yang menganggap boleh meninggalkan perintah Allah SWT dan melakukan larangan Tuhan, sekali gus terlepas daripada syariat hingga tidak lagi memiliki kefarduan dalam agama.

Ahli sufi sebenar adalah orang yang melakukan amalan melebihi apa yang diwajibkan, iaitu ibadat sunat; menjauhi larangan Allah SWT termasuk perbuatan yang boleh membawa kepadanya walaupun sedikit; menyalin akhlak Rasulullah SAW daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar perbuatan.

Lebih penting, ahli sufi yang sebenar adalah orang yang menyucikan hati bukan sahaja daripada sifat mazmumah atau tercela, bahkan sebarang lintasan buruk dalam jiwa yang andainya berlaku pada orang awam, ia akan dimaafkan.

Malah, sekiranya hati lalai daripada mengingati Allah SWT walau sesaat sekalipun, seseorang ahli sufi akan berasa sangat berdosa dan menyesal hingga menebusnya dengan melipatgandakan amalan, bahkan menghukum diri sendiri.

Hakikat itu dapat dibaca daripada kisah ahli sufi wanita, Mukminah Buhlul yang menjadi antara kalangan arifin, iaitu orang yang mendapat makrifat daripada Allah SWT yang terkenal di kota Damsyiq yang kini terletak di Syria.

Tidak hairanlah Mukminah pernah ditanya bagaimanakah beliau mendapat ahwal, iaitu kemuliaan dan rahmat sebagai kurniaan Allah SWT yang boleh juga berbentuk seperti karamah.

Amalan pertama tingkatkan kemuliaan ahli sufi wanita, Mukminah Buhlul ialah mengikuti perintah Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta disyarahkan oleh ulama.

Ahli sufi wanita itu menjawab: “Dengan mengikuti perintah Allah SWT, berada di atas sunnah Rasulullah SAW, memuliakan hak masyarakat Muslim dan melakukan khidmat kepada golongan mulia serta soleh.”

Ia menunjukkan hubungan ahli sufi yang tidak putus dengan Allah SWT kerana penciptaan manusia adalah demi beribadat kepada-Nya seperti yang terakam dalam al-Quran: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadat kepada-Ku.” (Al-Zariyat: 56)

Penyaksian terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT dalam kalimah syahadah juga menunjukkan Baginda satu-satunya contoh teladan terbaik kepada umat manusia.

Sunah dalam pengertian usul fiqh ialah apa-apa yang datang daripada Rasulullah SAW, selain daripada al-Quran sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan atau taqrir (penyataan).

Contoh teladan Nabi Muhammad SAW juga merentasi usia daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua, malah tidak mengira jantina hingga golongan wanita pula dapat meneladani segala perbuatan dan perkataan Baginda.

Empat amalan ahli sufi wanita, Mukminah Buhlul, tingkatkan kemuliaan dan karamah diri.

Amalan ketiga yang diungkapkan Mukminah itu juga menunjukkan ahli sufi tidak memisahkan diri daripada masyarakat secara mutlak, jauh sekali meninggalkan mereka terkapai-kapai atau terkontang-kanting berhadapan dengan fitnah dunia.

Malah, sejarah menunjukkan ahli sufi bermasyarakat dengan akhlak terbaik, termasuk yang ditunjukkan golongan Wali Songo dan pendakwah berketurunan Nabi SAW yang menyebarkan Islam ke alam Melayu.

Pada masa sama, sekiranya tenaga mereka diperlukan untuk mempertahankan tanah air daripada pencerobohan, khususnya kuasa asing, ahli sufi sejak dahulu lagi pasti sanggup menggadaikan nyawa dan menumpahkan darah untuk perjuangan yang benar.

Amalan keempat pula menunjukkan konsep suhbah (mendampingi) dan khidmat kepada orang soleh yang menjadi kekasih Allah SWT.

Selain itu, perasaan cinta yang unggul dan kudus kepada Allah SWT juga terserlah daripada ungkapan Mukminah: “Dunia dan akhirat tidak menyenangkan aku kecuali melalui Allah SWT atau renungan terhadap kesan ciptaan dan kekuasaan-Nya. Orang yang tidak dianugerahkan kedudukan yang hampir kepada Allah SWT, akan mengalami keakraban dengan tanda kekuasaan. Betapa hampanya masa yang tidak diisi dengan mengingati Allah SWT.”

Dalam riwayat Abu al-Mufaddhil as-Syaibaniy, beliau mendengar kata-kata Mukminah: “Wahai permata hatiku, tidaklah menyenangkan dunia dan akhirat kecuali dengan-Mu. Justeru, janganlah Engkau himpunkan aku di atas (rasa) kehilangan-Mu dan azab yang menjadi akibat daripadanya.”

Kisah Mukminah itu terkandung dalam kitab Zikru an-Niswah al-Muta’abbidat as-Sufiyat (Biografi Ahli Ibadat dan Sufi Wanita) karangan Abu Abdul Rahman as-Sulami.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: