Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Waspada istilah normalisasi

Posted by epondok di Julai 21, 2019


Oleh Zamri Hashim

 

Normalisasi ialah proses menjadikan sesuatu yang agak asing dan luar biasa kepada tidak asing lagi hingga diterima umum yang barangkali diungkap dalam pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.

Proses ini sangat baik dalam keadaan tertentu tetapi bahaya dalam situasi lain. Normalisasi baik dalam masyarakat apabila suatu ketika dahulu, tidak normal melihat anak gadis Muslimah menutup aurat hingga mahasiswi pengajian Islam pun tidak menutup aurat secara sempurna ketika itu.

Namun, hasil kehendak politik pemimpin negara suatu ketika dahulu yang bersungguh-sungguh melancarkan Kempen Penerapan Nilai-nilai Islam dan kesedaran mencetuskan kebangkitan agama, wanita Muslimah bertudung dan menutup aurat menjadi normal dan diterima masyarakat serta tidak dianggap ganjil.

Bagaimanapun, jika ia menjurus kepada mencairkan pegangan, penghayatan dan pengamalan agama, umat Islam wajar diingatkan selalu. Umat Islam wajib sedar agar tidak terjerat dalam perangkap normalisasi ini yang ada kalanya melalui penggunaan nama dan bahasa.

Al-Quran menjelaskan antara cara syaitan memperdaya manusia melalui ‘permainan’ istilah. Pendekatan ini dilakukan apabila gagal berdepan dengan hujah kebenaran Islam dan memperdayakan umat Islam yang kurang ilmu.

Nabi dan rasul sebagai pembawa risalah Allah SWT digelar dengan pelbagai gelaran oleh pemuka musuh mereka yang tidak suka sistem Allah sebagai pengatur masyarakat. Mereka menghina nabi dan menggambarkan mereka sebagai pendusta, ahli silap mata dan penyair.

Tidak sedikit dalam kalangan masyarakat akan terpedaya dengan strategik licik syaitan. Hari ini istilah Muslim moderate mengikut versi Barat, sekali gus jika ada pihak menentang golongan itu, secara automatik dianggap ekstrim. Masyarakat Muslim diperangkap untuk berada dalam dua blok sahaja, sama ada Muslim moderate atau ekstrim.

Sebenarnya, kedua-dua blok itu bersifat melampau, sedangkan Muslim sebenar mengikut piawai al-Quran dan sunnah yang akan terpinggir dari arus perdana. Sebenarnya amat berbahaya permainan istilah ini.

Iblis memperdaya Adam AS menggunakan istilah syajarah al-khuldi yang bermaksud pokok kekal yang jika buahnya dimakan, akan menyebabkan Baginda kekal di dalam syurga meskipun ia dilarang Allah SWT untuk didekati.

Arak yang sudah jelas haram dan hukuman kepada peminum, tidak terlepas daripada proses normalisasi melalui penggunaan istilah untuk dimesrakan penggunaan dalam kalangan umat Islam. Nabi SAW mengingatkan kita terhadap gejala permainan istilah agar memudahkan normalisasi arak melalui hadis Imam Abu Daud dan Ibn Majah daripada Abu Musa al Asy’ary bahawa Nabi SAW pernah bersabda: ‘Nescaya ada dalam kalangan umatku akan minum arak tetapi dinamakan dengan nama lain.’

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah melaporkan puluhan syarikat bukan Islam dipercayai mengeksploitasi nama dan istilah agama Islam untuk tujuan pemasaran, sekali gus menjadi jalan pintas dalam melariskan produk jualan di negara ini.

Istilah hak asasi digunakan secukupnya untuk mencairkan kefahaman Islam sebenar, bahkan berjaya melonggarkan pegangan kepada Islam sebenar. Hak dalam Islam mempunyai dua implikasi, iaitu apa yang kita dapat dan apa yang kita beri.

Hak asasi manusia diperjuangkan selama ini lebih menjurus kepada apa yang kita dapat, sekali gus menunjukkan perbezaan pandangan alam Barat dengan Islam. Penafsiran yang tidak selari dengan kerangka itu akan mengelirukan fahaman kebebasan agama dalam Islam, lebih-lebih lagi apabila kefahaman ingin dipaksakan bertentangan kerangka pandangan Islam.

Dalam Islam, manusia ialah hidupan yang berkata-kata, mempunyai roh dan jiwa (rohaniah) sedangkan istilah hak asasi manusia Barat tidak ada rohaniah. Oleh itu, kebebasan beragama dalam Islam tidak sama dengan Barat.

Istilah hak itu sendiri sudah ada cerminan cukup besar kerana hak dalam bahasa Arab bermaksud kebenaran, sedangkan ‘right’ ialah apa yang betul dan salah dari sudut bersifat praktikal. Tafsiran istilah mengelirukan itu yang dipaksa diterima bertentangan dengan kerangka pandangan alam Islam dan menyebabkan perdebatan mengenai kebebasan manusia diwarnai kerangka pandangan sekular.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: