Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 10 Julai 2019

Rotan, kaedah pendidikan terakhir

Posted by epondok di Julai 10, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

Satu masa dulu, hukuman denda dengan cara merotan dianggap lumrah untuk mendidik pelajar. Jarang ada ibu bapa melenting, jauh sekali menyalahkan guru apabila anak mereka didenda dengan cara sedemikian.

Ia selari dengan tradisi keilmuan Islam seperti dalam pengajian al-Quran, ustaz atau ustazah yang mengajar akan memegang rotan supaya pelajar lebih serius, fokus dan tidak mengulangi kesilapan dalam bacaan, selain tidak bermain-main.

Bagaimanapun, hukuman denda sebegini dalam konteks hari ini seakan-akan tidak praktikal lagi. Guru dianggap ‘orang luar’, manakala bidang tugas mereka cukup sekadar mencurahkan ilmu dan tidak sesekali boleh menyentuh pelajar walaupun dengan alasan kukuh.

Ia menimbulkan salah faham antaranya mensabitkan rotan sebagai penderaan atau penganiayaan, sedangkan dalam perspektif Islam, ia dibenarkan dengan syarat tertentu.

Rasulullah SAW sendiri mengingatkan ibu bapa supaya bertegas menjaga solat kepada anak-anak seawal umur tujuh tahun dan menghukum dengan cara memukul ketika usia mereka menginjak ke 10 tahun sekiranya enggan.

Baginda antara contoh teladan baik untuk kita ikuti kerana Rasulullah SAW tidak sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak yang masih mentah dihukum.

Sebaliknya, denda itu dipengaruhi pelbagai faktor lain terutama melihat kepada perkembangan usia anak-anak dan keupayaan untuk mereka memahami hukuman adalah disebabkan kasih sayang, pengajaran dan memperbetulkan kesilapan.

Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr A’dawiyah Ismail, berkata Islam bukan agama bersifat ‘menghukum’ sebaliknya terdapat pelbagai pilihan dan pendekatan untuk dijadikan panduan dalam fasa perkembangan serta pembentukan sahsiah anak-anak.

“Ada banyak pendekatan boleh diambil dalam mendidik anak-anak, selain daripada kaedah merotan.

“Merotan untuk menghukum sepatutnya menjadi alternatif atau jalan terakhir, selagi boleh dibimbing maka ambillah pendekatan lebih lembut dan mudah diterima.

“Jika sikit-sikit rotan, maka dibimbangi ia beri kesan buruk kepada emosi pelajar dan wujud kemungkinan mereka bertindak lebih agresif serta memberontak,” katanya.

Tambahnya, dalam keadaan pelajar perlu didenda dengan kaedah rotan, maka niatkan bersama kebaikan supaya mereka berubah menjadi insan lebih baik akhlaknya pada masa depan.

Menurutnya lagi, Rasulullah SAW juga tidak sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan dalam melakukan teguran, sebaliknya Baginda memperbetulkan kesilapan seorang daripada sahabat, iaitu Abu Dhar RA dengan cara memberikan teguran tegas.

Ia dikisahkan dalam hadis ketika Abu Dhar mencela seorang lelaki dengan mengaitkannya sebagai anak kepada seorang wanita berkulit gelap.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Dhar, bagaimana kamu boleh memburukkannya dengan ibunya? Sesungguhnya engkau adalah seorang mempunyai sifat jahiliyah; saudara kamu adalah tugas kamu, Allah jadikan mereka di tangan kamu, sesiapa yang mempunyai saudara di bawah tanggungjawabnya, maka berilah ia makan dengan apa yang dimakan; berilah ia pakai dengan apa dipakai dan janganlah kamu membebankan mereka dengan kerja yang tidak berdaya dilakukan dan sekiranya kamu memberikan tanggungjawab, maka bantulah mereka.” (HR Bukhari)

A’dawiyah yang juga Felo Bersekutu Institut Islam Hadhari berkata, terdapat banyak panduan membimbing anak-anak diperkenalkan sarjana Islam yang boleh dijadikan rujukan, selain bertepatan dengan syariat agama.

“Luqman al-Hakim, Imam al-Ghazali, Ibnu Qayyim al-Jauziyah dan Abdullah Nasih ‘Uwan antara tokoh ilmuwan yang tampil dengan etika pendidikan terhadap anak-anak secara berperingkat mengikut keadaan dan tahap umur.

“Menurut Abdullah, ada anak-anak perlu ditegur dengan pandangan bengis supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama, manakala merotan hanyalah langkah terakhir menggerunkan mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, Ibnu Qayyim pula mengklasifikasikan pendidikan anak kepada tiga bahagian, iaitu tarbiyah jismiyah, akhlakiyah dan fikriyah.

“Tarbiyah jismiyyah perlu dititikberatkan oleh ibu bapa sejak anak baru dilahirkan. Tarbiyah akhlakiyah, iaitu mendidik mereka dengan akhlak terpuji, sentiasa menasihat supaya dapat mengelakkan mereka terjerumus dalam perkara keji seperti berbohong dan mencuri.

“Dalam tarbiyah fikriyah pula, menjadi tanggungjawab orang sekeliling untuk menasihati dan memberi galakan kepada anak-anak supaya bergaul serta berkawan dengan golongan baik akhlaknya dan menjauhi mereka bersifat sebaliknya,” katanya.

Menurutnya lagi, Imam al-Ghazali melihat peranan pendidik itu umpama doktor yang tidak terus mengubati pesakit dengan satu kaedah sahaja, sebaliknya menggunakan pelbagai pendekatan dalam rawatan.

Begitu juga dalam dunia pendidikan, anak-anak memerlukan pelbagai kaedah kerana penerimaan berbeza-beza dengan syarat ia mengikut bentuk dan selari dengan syariat Islam.

A’dawiyah berkata, dalam isu hukuman rotan, bukan sahaja guru perlu ditegur atau diingatkan, bahkan ibu bapa juga wajar berlapang dada dan tidak tampil dengan persepsi yang belum sahih kebenarannya.

“Anak-anak ialah harapan kita yang akan menjadi pemimpin bangsa, agama dan negara pada masa depan. Jadi amat penting untuk memastikan generasi muda terkawal daripada aspek akhlak, adab dan sahsiah.

“Allah SWT sendiri memerintahkan sesama makhluk menjaga hubungan dan menegur antara satu sama lain.

“Ia tidak bermaksud menegah mereka daripada berbuat kesalahan itu sehingga ke tahap mencederakan atau mendatangkan bahaya, bahkan perlu dielakkan merotan sehingga menyebabkan penderaan, kerana ia bukan tujuan asal ia dibolehkan dalam agama,” katanya.

Beliau turut menasihati guru supaya sentiasa menanamkan sifat sabar, kasih dan ingat niat hakiki untuk mendidik supaya tidak mudah berada dalam keadaan luar kawalan serta termakan dengan godaan iblis untuk melakukan perkara di luar batasan.

Tambahnya, seharusnya sebarang hukuman atau denda kepada pelajar lebih baik dilakukan secara tertutup, supaya dengan itu mereka tidak merasa seolah dimalukan, rendah diri dan tertekan.

INFO: Panduan Imam al-Ghazali dalam mendidik dan membentuk anak-anak

  • Ibu bapa harus memelihara anak-anak daripada segala kejahatan dan kemaksiatan serta menyuruh mereka berbuat kebaikan termasuk amal ibadat
  • Memberi didikan dan mengasuh serta mengajarkan akhlak yang elok dan menjaganya daripada berkawan dengan mereka yang buruk akhlak
  • Tidak membiasakan anak-anak bersenang-lenang secara berlebihan yang akan menyebabkan mereka mensia-siakan usia
  • Mengajarkan anak dengan adab sopan ketika makan dan tidak berlebihan kerana cara itu akan menggalakkan sifat murah hati dan tidak tamak
  • Selalu mengajak menghadiri kelas agama seperti pengajian al-Quran, tasawuf, kisah Nabi dan seumpamanya
  • Sentiasa menyanjung, memuji dan mengupah anak-anak apabila mereka melakukan tingkah laku baik serta perkara terpuji supaya menjadi kebiasaan dan mengekalkan mereka dengan akhlak baik
  • Biasakan anak mengenakan pakaian menutup aurat dengan sempurna. Jangan biasakan mereka tidur di siang hari kerana ia menjadikan mereka malas
  • Menanam dalam diri anak sifat merendah diri, menghormati orang lain, lemah lembut ketika bercakap dan tidak bermegah dengan kelebihan serta tidak pula memandang rendah terhadap orang lain
  • Larang mereka bercakap perkara tidak berfaedah, mengutuk atau menggunakan bahasa yang kasar.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »