Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Julai 2019

Hak Allah tidak boleh digugur, wajib ditunai

Posted by epondok di Julai 8, 2019

Oleh Nazmi Yaakub

 

KEFAHAMAN terhadap hak Allah SWT dan hamba menjadikan Mukmin dapat melaksanakan tanggungjawab serta amanah, sekali gus mengelakkan diri daripada tergolong sebagai manusia yang mensia-siakan atau mengabaikannya.

Hak Allah SWT ialah perkara yang berkaitan dengan manfaat umum tanpa pengkhususan dengan seseorang manusia, manakala hak hamba pula dimiliki manusia yang bertujuan menjaga maslahat atau kepentingannya sebagai individu.

Pada masa sama, wujud juga hak Allah SWT dan manusia yang ‘bertindan’ atau menyatu tetapi salah satunya lebih mendominasi dalam konteks pelaksanaannya.

Ulama kelahiran Baghdad, Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya, Mukhtasar Usul Fiqh, menyenaraikan hukum qazaf, iaitu tindakan melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik atau menafikan keturunannya sebagai hak yang mempunyai kedua-dua elemen.

Bagaimanapun dalam hukum qazaf, hak Allah SWT lebih dominan kerana maslahat atau tujuan hukum itu adalah untuk menakutkan manusia daripada membuat tuduhan berat berkenaan dan mengelakkan masyarakat daripada kerosakan fitnah.

Pada masa sama, hukuman qazaf juga dapat mengembalikan maruah individu yang difitnah itu dan mengelakkannya daripada terus diaibkan, sekali gus bermakna ia berkaitan dengan hak manusia.

Disebabkan dalam qazaf, hak Allah SWT lebih dominan, hukuman 80 sebatan yang dikenakan terhadap penuduh yang gagal membawa empat saksi tidak boleh digugurkan meskipun mangsa memaafkannya.

Firman Allah SWT: “Dan mereka yang melemparkan tuduhan palsu (berzina) ke atas wanita yang suci bersih kemudian tidak membawa empat saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh) dengan 80 sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan merekalah orang fasik.” (An-Nur: 4)

Begitu juga dalam persoalan iddah atau tempoh tertentu yang ditetapkan bagi wanita yang diceraikan atau kematian suami tidak boleh digugurkan meskipun ia turut membabitkan hak manusia.

Hal itu berbeza dengan hukuman qisas atau bunuh balas yang juga mempunyai kedua-dua elemen hak Allah SWT dan manusia.

Hak Allah SWT adalah disebabkan hukuman itu bertujuan menjaga maslahat atau kepentingan umat manusia secara keseluruhan, sekali gus memberikan jaminan kelangsungan kehidupan dan meletakkan nyawa manusia pada tahap yang tinggi.

Firman Allah SWT: “Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)

Pada masa sama, qisas juga mempunyai maslahat khusus yang dimiliki individu hingga dapat menenangkan wali atau keluarga mangsa apabila hukuman nyawa dibalas nyawa dilaksanakan.

Bagaimanapun berbeza dengan qazaf, hak manusia lebih dominan dalam hukuman qisas hingga wali kepada mangsa boleh memaafkan pembunuh atau bersedia menerima ganti dalam bentuk wang.

Sekiranya kemaafan atau gantian itu diberikan, pelaksanaan hukuman qisas boleh dihentikan tetapi pemerintah berhak mengenakan hukuman takzir kepada pesalah.

Secara perinciannya, hak Allah SWT merangkumi ibadat mahdhah seperti solat, zakat, puasa dan haji yang dianggap penting serta diwajibkan oleh agama.

Agama pula menjadi sesuatu penting dalam kewujudan masyarakat dan sistem sosial, manakala seluruh ibadat yang disyariatkan mempunyai maslahat dan manfaat secara keseluruhan.

Hak Allah SWT juga berlaku dalam hukuman seperti had yang membabitkan kesalahan zina, minum arak, mencuri dan menyamun hingga seseorang yang berkuasa tidak boleh menggugurkannya.

Saidatina Aishah RA meriwayatkan kaum Quraish bingung dalam memutuskan hukuman terhadap seorang wanita suku Makhzum yang mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh berbicara dengan Rasulullah SAW (mengemukakan permintaan supaya wanita itu dibebaskan)?” Tiada berani membawa hal itu kecuali Usamah kesayangan Rasulullah SAW.

Usamah pun bertemu dengan Rasulullah SAW, lalu Baginda menjawab: “Apakah engkau hendak menolong supaya orang bebas daripada hukuman Allah?” Nabi SAW berdiri dan berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, orang yang sebelum kamu menjadi sesat disebabkan apabila seorang bangsawan mencuri, mereka membiarkannya saja (tidak dihukum). Namun, andai orang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka menjatuhkan hukuman itu. Demi Allah! Kalau seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan memotong tangan anaknya itu.” (HR Bukhari)

Hak sama ada berbentuk milik Allah SWT atau berkaitan dengan hamba, wajib ditunaikan kerana ia akan dipersoalkan dan dihitung pada hari Akhirat kelak.

Wahab ibnu Abdullah RA meriwayatkan pesanan Salman al-Farisi RA kepada Abu Darda RA: “Sesungguhnya untuk Tuhanmu itu ada hak atas dirimu; untuk dirimu sendiri juga ada hak atasmu dan untuk keluargamu ada hak atasmu. Maka berikanlah kepada setiap yang berhak itu akan hak masing-masing.”

Abu Darda RA pun bercerita hal itu kepada Rasulullah SAW yang menjawab: “Apa yang dikatakan Salman itu benar.” (HR Bukhari)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »