Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Amalan sunat tampung kekurangan solat fardu

Posted by epondok di Julai 7, 2019


Oleh Hafizah Iszahanid

 

SOLAT ialah amalan pertama dihitung apabila kita dihisab oleh Allah SWT, sekali gus kewajipan kepada setiap Muslim yang difardukan pada tahun kelima sebelum Hijrah.

Pentingnya solat kepada setiap Mukmin terlihat pada al-Quran itu sendiri yang membicarakan solat tidak kurang 100 ayat. Antaranya firman Allah SWT: “Benar-benar sangat beruntung orang yang beriman, yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.” (Al-Mukminun: 2)

Sementara Abu Hurairah RA menyebutkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah SWT berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.” (HR Tirmizi)

Sudah pasti solat fardu yang kita kerjakan tidak pernah sempurna, malah jika kita merasakan solat dikerjakan sempurna, maka ia tanda ketidaksempurnaan dan berkemungkinan amalan itu ditolak.

Penolong Pengarah Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Amiza Khusyri Yusof, berkata Imam al-Ghazali mengingatkan kita bahawa perasaan sedemikian juga tanda seseorang berjaya disesatkan syaitan.

“Tidak ada yang sempurna melainkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Justeru, Allah SWT menyediakan mekanisme untuk menutup kekurangan ibadat dengan mendirikan solat sunat.

“Hakikatnya meskipun difardukan mendirikan solat lima kali sehari, kita masih lalai dan alpa hingga memerlukan solat sunat untuk menyempurnakan ibadat kita,” katanya.

Tegas Amiza Khusyri, solat fardu itu umpama hadiah yang ingin dipersembahkan di hadapan Allah SWT, sementara sembahyang sunat seperti balutan memperindahkan kotak hadiah.

Namun apa yang penting dalam mengerjakan solat sunat ialah keikhlasan kerana kunci kita menjadi Mukmin yang dikasihi Allah SWT.

“Misalnya kita melakukan solat dhuha yang dikaitkan dengan rezeki hingga ramai yang percaya mengerjakannya adalah untuk menjadi kaya.

“Namun apakah kita melakukannya semata-mata tujuan itu? Kita boleh mengharap rezeki daripada Allah SWT, tetapi cuba tanya diri sendiri apakah kita ikhlas melakukannya.

“Jangan melakukannya semata-mata mengharapkan rezeki daripada Allah SWT sedangkan rezeki sudah ditetapkan sejak kita dalam kandungan sama seperti ajal, maut dan jodoh,” katanya.

Bagaimanapun kata Amiza Khusyri, mengharap ganjaran ialah sifat semula jadi manusia, malah ia akan mendorong kita untuk meningkatkan amalan. Namun, mukmin yang khullah (ikhlas), tidak kisah pun mengenai ganjaran atau hadiah kerana apa dilakukan semata-mata kasih-sayang pada Allah SWT dan Nabi Muhamad SAW.

Amiza berkata, terdapat banyak jenis solat sunat yang boleh dilakukan dalam tempoh sehari tetapi yang menjadi kebiasaan ialah solat sunat dhuha dan rawatib.

Selain itu, Amiza Khusyri berkata, hikmah solat sunat dhuha juga disebabkan masa antara selepas waktu subuh dan zuhur yang panjang hingga Allah SWT menyediakan ruang untuk terus mengingati-Nya.

Ia dikenali juga sebagai solat al-Awwabin dan Rasullullah SAW mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA jangan meninggalkan solat ini: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat witir sebelum tidur.” (HR Bukhari dan Muslim)

“Waktu dhuha bermula 30 minit selepas syuruk dan berakhir sebelum matahari tegak di atas kepala. Kalau di Malaysia, kita boleh mengerjakannya hinggalah masanya tamat 30 minit sebelum masuk zuhur,” katanya.

Solat sunat dhuha intim dengan pengertian melapangkan rezeki. Dalam hal ini, ada hadis yang menyebut mengenai kelebihan mengerjakan solat sunat dhuha 12 rakaat daripada Anas ibnu Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang solat dhuha sebanyak 12 rakaat, maka Allah akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga. (HR Ibnu Majah)

Namun tegas Amiza Khusyri, mengerjakan solat sunat dhuha bukan hanya mengharapkan rezeki tetapi kelebihan lain yang mungkin tidak diketahui ada fadilatnya.

Antaranya mengerjakan solat sunat dhuha adalah bersamaan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita.

Daripada Abi Zar RA, Nabi Muhammad SAW bersabda; “Pada pagi hari, setiap sendi seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah; setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah; setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang sudah didirikan oleh seseorang itu daripada solat dhuha.” (HR Muslim)

Selain itu, barang siapa yang menunaikan solat dhuha, dia tergolong dalam golongan mereka yang bertaubat kepada Allah SWT seperti disebutkan dalam hadis: Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat dhuha kecuali ia tergolong sebagai orang yang bertaubat. (HR Hakim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: