Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2019

Jamuan sambil derma bina Pondok Darul Muttaqin Pasir Puteh

Posted by epondok di Julai 30, 2019

POHON DERMA BANGUNKAN PONDOK BARU
(Us Alias Melaka bekas guru pondok pasir tumboh)

Sila masukkan kedalam akaun atas nama

DARUL MUTTAQIN RESOURCES

Bank Islam Malaysia Berhad
13035010081376
atau
No.Akaun Maybank : 563046327230

Sumbangan sedekah jariah tuan puan amat diperlukan untuk segerakan pembinaan.

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Amalan pilihan 10 hari Zulhijjah

Posted by epondok di Julai 30, 2019

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

DALAM bulan Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah SWT, selain daripada Jumaat iaitu pada 9 Zulhijah yang lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Pada hari itu, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah, “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan Allah SWT tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan.

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda, “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Sahabat bertanya, “Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah?”. Jawab Baginda, “Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. (Hadis Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah juga bersabda, ” Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, tahlil, takbir dan tahmid”. (Hadis Ahmad).

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.

Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Arafah itu berasal dari pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan akhirnya mereka bertemu kembali di lembah yang dikenali sekarang dengan Padang Arafah. Ada juga ulama yang me-nyatakan bahawa ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya, Nabi Allah Ismail AS yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah itu adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang menghayati perintah Allah SWT yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail. Oleh kerana itulah, hari Wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Dikisahkan, Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan mimpi berkenaan.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan juga kesatuan ummah yang utuh agar mereka bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di atas bumi Allah ini, bahkan juga meneruskan tradisi kecemerlangan Islam yang telah dirintis oleh generasi Rasulullah dan sahabat-sahabat serta generasi selepasnya.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi ketakwaan ini dengan pakaian ihram yang sama putih, tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan, warna kulit, taraf kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya.

Semuanya ini adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa mereka semua pada hakikatnya adalah sama rata di sisi Allah dan mereka semuanya pada hakikatnya berasal daripada tanah.

Begitulah antara kelebihan yang terhampar pada sepuluh hari Zulhijjah yang sewajarnya direbut setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT. Muslim yang beriman akan sentiasa mengintai peluang keemasan yang disediakan Allah SWT pada sepanjang masa dan seterusnya memanfaatkannya demi meraih keredaan-Nya dan kebahagiaan abadi di akhirat kelak. Muslim yang paling bijaksana di sisi Allah SWT ialah seorang Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan beramal untuk hari kemudian.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Manfaat 10 malam awal Zulhijjah

Posted by epondok di Julai 29, 2019

Oleh Hizbur Rahman

Tujuh amalan dianjur sepanjang bulan penuh berkat

KINI kita berada di awal bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.”

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.

Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya: “Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur.

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Gandakan amalan 10 awal Zulhijjah

Posted by epondok di Julai 29, 2019

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

Telah beberapa hari kita mula masuk ke bulan Zulhijjah yang juga dikenal sebagai bulan haji. Untuk itu, kita doakan agar semua dhuyufurrahman (tetamu Allah) diberi kesihatan yang baik seterusnya dapat melaksanakan rukun Islam kelima dengan sempurna. Seterusnya beroleh haji mabrur.

Bagi kita yang berada di tanah air, marilah merebut beberapa peluang yang disediakan untuk mendapat keredaan Allah dan pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijjah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijjah dan inilah pendapat majoriti ulama. Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah. Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim) Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya. Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilak­sanakan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah akhir hari Tasyriq. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai menjalankan ibadat korban.

Ia berdasarkan hadis nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk 10 awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan.” (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh bagi yang me­langgarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan ibadah-ibadah lain yang wajib.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solatlah sebelum kamu disolatkan

Posted by epondok di Julai 28, 2019

KESIBUKAN melaksanakan tugasan harian bukan alasan meninggalkan solat. Ini kerana solat fardu merupakan tiang agama dan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT pada hari pembalasan kelak.

Kegagalan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam menyebabkan seseorang Muslim itu sama seperti orang kafir kerana yang membezakan Muslim dan bukan Muslim adalah solat.

Menunaikan solat fardu bukanlah satu perkara yang dilakukan atas kemahuan kita, sebaliknya satu perintah yang perlu dilaksanakan dalam apa jua situasi.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:“Amalan yang mula-mula sekali dihisab daripada seorang hamba di akhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amalan-amalan lain.” – Riwayat Imam an-Nasai’ dan Tirmizi

Hatta ketika sakit atau terlantar tanpa sebarang pergerakan, kewajipan menunaikan solat ke atas seseorang Muslim itu tidak pernah ‘padam’ kecuali mati.

Maka jangan sesekali mengabaikan solat. Ingatlah pesanan terbaik ini iaitu ‘Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan’. Jika sampai saat itu, tiada gunanya lagi biar sekali pun keluar air mata darah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Setelah melihat orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang yang mengerjakan sembahyang, dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan. Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (Kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” (Surah al-Muddasir: 42-48)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Doa tinggal maksiat

Posted by epondok di Julai 27, 2019

MENJADI manusia sempurna itu mustahil, namun menjadi manusia yang lebih baik daripada hari semalam itu boleh diusahakan.

Antara perkara penting untuk merubah diri ke arah kebaikan ialah dengan menjauhi perkara-perkara haram yang ditegah oleh Allah SWT.

Namun, melaksanakannya bukan semudah mengungkap kata. Walaupun sedar perkara yang dilakukan itu haram, masih saja ramai melakukan kerana tidak mampu meninggalkannya.

Oleh yang demikian, Pencetus Ummah (PU) Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin berkongsi doa meninggalkan perkara haram di laman Instagramnya.

“Sudah tahu benda itu haram, tetapi tidak mampu atau susah hendak tinggalkan? Baca doa ini:

“Ya Allah Ya Tuhanku haramkan kepada ku kelazatan melakukan maksiat dan kurniakan aku kelazatan taat dalam beribadat kepada mu.”- Syeikh Imam Mutawalli Al Sya’rawi.

“Bacalah doa ini, jadikan ia zikir. Allah pasti akan terima doa kita. Mati kita nanti bebas dari dosa maksiat. Insha-Allah,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Doa perlu bersungguh-sungguh

Posted by epondok di Julai 26, 2019

SESETENGAH orang apabila mempunyai masalah atau ditimpa kesusahan, lebih selesa mengadu dengan manusia tidak kira rakan karib mahupun keluarga.

Perbuatan itu tidak salah, sekurang-kurangnya dapat juga melegakan hati dan fikiran, daripada dipendam seorang diri. Asalkan apa yang diluah atau diceritakan itu tidak membuka aib mana-mana pihak.

Cuma, persoalannya mengapa kita tidak mengadu kepada Allah SWT saat diri kesakitan mahupun ditimpa kesempitan hidup?

Adakalanya kita terlupa untuk berdoa kepada Allah, tidak pun kita berdoa tetapi ia dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh. Berdoa dengan memahami makna doa yang diminta dan yakin bahawa Allah mampu serta akan memakbulkan doa tersebut.

“Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)

Doa sebenarnya adalah kemuncak hubungan manusia dengan Allah. Malah, doa akan mengikat diri kita agar lebih rapat dengan Allah, selain sebagai tanda kita yakin dan percaya dengan Allah.

Oleh itu, berdoalah. Susun dan fahami apa yang didoakan serta yakinlah bahawa Allah akan memakbulkan doa anda. Orang yang selalu berdoa akan tenang hidupnya kerana dirinya akan melihat satu persatu doanya dijawab Allah.

Jika mendapat kejayaan tanpa berdoa, seseorang itu tidak akan merasa apa-apa nilai tambah kerana baginya apa yang diperoleh itu adalah dengan usahanya. Jadi, apabila dirinya tidak mampu lagi meneruskan usaha, dirinya akan putus asa dan sukar untuk bangkit semula.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Menentukan arah pemikiran

Posted by epondok di Julai 25, 2019

PROF. DATUK DR. MUHAYA MOHAMAD

 

DALAM ‘Reset Minda’ saya perkenalkan satu konsep pemikiran yang menggunakan kekuatan minda untuk kawal kehidupan. Saya sangat yakin, orang hebat akan memilih pemikiran yang menguatkannya dan orang lemah akan memilih pemikiran yang menjatuhkan semangat dan keyakinan dirinya. Oleh sebab itu pengawalan minda sangat penting, yakni sentiasa berfikiran positif dan hindari pemikiran negatif.

Ahli psikologi Barat, Peiffer yang memperkenalkan Positive Thinking (1989) iaitu satu perbahasan mengenai pemikiran positif dan pemikiran negatif telah menjelaskan tentang apa itu berfikiran positif. Berfikiran positif bermaksud seseorang itu melihat kebaikan, kegunaan, keuntungan dan faedah terhadap apa-apa sahaja. Juga dikenali sebagai gaya berfikir yang membina kerana sentiasa mahu melihat perkembangan yang menggalakkan, berusaha memperbaiki kelemahan dan memberikan fokus kepada apa-apa yang dicita-cita dan harapan masa hadapan tanpa memikirkan masa lalu. Pemikiran negatif pula bererti melihat kepada masalah, keburukan, bahaya dan risiko. Orang negatif hanya akan nampak keburukan, kelemahan, kesusahan, kegagalan dan kerugian.

Bagaimanapun bagi Peiffer meskipun situasi dan hasil pemikiran negatif ini amat buruk namun gaya pemikiran ini tetap ada gunanya dalam membantu mengimbangi gaya berfikir positif yang sentiasa berasa selesa dan tidak menyedari kemungkinan akan berlakunya kesusahan. Gaya berfikiran negatif dapat membantu meramalkan kesulitan, bahaya, kerugian, kegagalan dan risiko yang mungkin boleh berlaku.

Pemikiran negatif ini juga, menurut Peiffer, menyediakan ‘pelan kecemasan’ dalam usaha menghindari masalah yang dijangka berlaku. Malah gaya pemikiran ini juga dapat membantu memperbaiki dan menghujahkan idea yang sedia ada supaya menjadi lebih bernas. Sungguhpun begitu gaya pemikiran negatif ini tidak boleh digunakan secara berleluasa kerana akan membunuh idea baharu yang sedang bertunas.

Pandangan Peiffer ini bertentangan dengan gaya atau konsep pemikiran ‘Reset Minda’. ‘Reset Minda’ hanya membenarkan pemikiran dan perasaan yang positif sahaja berada dalam minda dan hati seseorang. Dalam Islam, kita percaya kepada qada dan qadar Allah iaitu segala perkara yang baik dan perkara yang buruk semuanya datang daripada Allah. Biarpun yang datang daripada Allah itu membawa keburukan (negatif) kepada hamba-Nya dalam konteks mata fizikal tetapi dari sudut mata hati (keimanan) terdapat banyak keindahan dan kemanisannya di sebalik kejadian itu. Jika keburukan menimpa hamba-Nya, musibah itu adalah sebagai ujian daripada-Nya dan Allah hanya menguji hamba-Nya yang benar-benar mampu menanggung segala ujian diberikan. Ini kerana setiap ujian ada ganjaran nikmat yang akan diberikan Allah kepada hamba-Nya yang terpilih itu.

Justeru, ubahlah cara melihat sesuatu kejadian atau peristiwa yang dilalui dalam kehidupan ini. Pandanglah dengan mata akal dan mata hati dan positifkan fikiran dan perasaan. Hal ini amat penting kerana berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud;“Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran hamba-Nya. Jika baik fikirannya, maka baiklah jadinya, jika buruk fikirannya, maka buruklah jadinya.” Oleh itu bersangka baiklah dengan Allah SWT.

Secara teori, menurut Peiffer, minda manusia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu minda sedar dan minda separa sedar. Minda sedar adalah minda yang menolong seseorang melaksanakan aktiviti harian yang melibatkan proses membuat keputusan selain menggunakan pemikiran rasional dalam situasi baharu. Minda separa sedar pula merangkumi sebahagian besar minda dan terbabit dalam pengulangan sifat atau tabiat yang boleh dipelajari. Keadaan ini membolehkan kita bertindak balas dengan lebih cepat apabila berlaku situasi yang sama berulang.

Maklumat atau fakta daripada minda sedar akan disalurkan terus ke dalam minda separa sedar dan kemudian disimpan dalam memori. Memori itu disimpan sebagai insiden atau situasi bersama-sama perasaan atau emosi yang dirasai ketika itu. Jika rangkaian maklumat berkaitan tabiat disimpan dengan kuat dalam minda separa sedar, memori akan berfungsi secara automatik apabila insiden itu berulang. Perasaan emosi yang disimpan dalam memori akan dikeluarkan sebagai tabiat atau perangai seseorang. Inilah yang akan menentukan sama ada seseorang itu akan berfikir secara positif atau negatif terhadap sesuatu isu dan seterusnya cara bertindak balas terhadap apa jua insiden dan situasi.

Dipercayai jika seseorang itu sering menggunakan perkataan negatif, seperti “kita tak berguna”, “kita tak boleh”, “kita bodoh” dan seumpamanya, lama-kelamaan kata-kata itu akan tersimpan dalam minda separa sedar. Menyedari hal inilah maka banyak ahli psikologi berpendapat untuk menyelamatkan kehidupan seseorang, orang yang berfikiran negatif terhadap sesuatu isu perlu dipaksa untuk mengarahkan pemikirannya ke arah positif.

Dalam ‘Reset Minda’ saya menyarankan pertama, didik diri supaya bercakap yang baik-baik (positif) sama ada yang keluar daripada mulut atau berbisik di hati. Kedua, jaga minda. Jangan ada fikiran negatif. Jika fikiran negatif itu datang walau sekilas cantas segera dan balaskan dengan fikiran positif. Fokus hanya perkara yang positif. Jangkakan perkara yang baik-baik atau positif sahaja dalam fikiran. Maka bijaksanalah dalam berfikir! “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Memahami tersurat, tersirat

Posted by epondok di Julai 24, 2019

MEMAHAMI yang tersurat sama ada dalam bentuk tulisan, ucapan atau kenyataan lumrah terjadi kepada manusia. Yang ditulis terkandung maksud tertentu untuk memberi maklumat kepada pembaca. Yang diucapkan juga terkandung mesej supaya khalayak memahami apa yang hendak disampaikan. Kenyataan yang dikeluarkan bertujuan memberitahu umum tentang isu dan persoalan berbangkit.

Lazimnya tulisan yang dibaca, ucapan yang didengar, kenyataan yang dibuat terkandung dua maksud. Pertama, maksud tersurat dan satu lagi, maksud yang tersirat. Kadang-kadang maksud tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Maksud tersirat memerlukan kedalaman maklumat , ketepatan data dan kebenaran fakta supaya analisis apayang terjadi ditemukan.

Sesetengah orang menyebarkan maklumat dengan tujuan mempengaruhi. Kalau benar, elok diikuti tetapi kalau tidak benar, ia boleh menimbulkan masalah kepada pemikiran dan sikap. Orang mungkin boleh terpengaruh seterusnya sikap buruk sangka mengambil tempat.

Netizen dalam media sosial umpamanya selalu terperangkap dengan maklumat yang disebarkan. Bayangkan kalau berupa fitnah, palsu dan buruk sangka kemudian ditularkan kepada pihak lain, ia menyebabkan kerosakan kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi kalau penyebar itu melontarkan hal-hal buruk orang lain menyebabkan permusuhan terjadi.

Pepatah Melayu menyebut, terkilat ikan di air sudah diketahui jantan betinanya. Ia membawa maksud mengenai hal yang tersirat. Ia berlaku kerana ketajaman pemikiran dimiliki dan mengetahui natijah akhir dan hal sebenar di sebalik kenyataan yang dibuat dan ucapan diberi. Tidak banyak berlaku dalam kalangan masyarakat umum. Orang yang berfikir secara mendalam, mempunyai banyak pengalaman dan sentiasa sukakan kebenaran serta manfaat memiliki upaya memahami maksud tersirat.

Memahami tersurat dibantu oleh pemahaman tentang resam perangai manusia, sejarah dulu yang sifatnya mengulangi, hikmah di sebalik sesuatu ungkapan, rujukan kepada sumber-sumber murni dalam beragama menyebabkan tersirat diketahui. Mengetahui yang tersirat memberi erti lebih bermakna dalam kehidupan kerana manusia sentiasa waspada membaca sesuatu tulisan, mendengar sesuatu ucapan dan meneliti sesuatu kenyataan supaya kebenaran dapat dijadikan pedoman.

Islam umpamanya mendidik umatnya supaya faham maksud dosa dan pahala, makruf dan mungkar, adil dan zalim, benar dan salah sebagai panduan manusia melakukan tadabbur (kajian) dan dijadikan pedoman dalam kehidupan. Tanpa pedoman yang berasaskan syarak, umat Islam boleh kehilangan arah dan menyebabkan mudah terpengaruh dengan apa yang tersurat semata-mata.

Ini tidak bermakna apa yang tersurat tidak boleh dipercayai dan dijadikan pegangan. Membaca al Quran umpamanya terkandung mukjizat dan risalah. Membaca dan menghafaz sahaja tidak cukup. Al- Quran perlu ditafsirkan supaya kefahaman terjadi. Seterusnya ia perlu diserapkan supaya hubungan fikrah dan kalbu terjalin. Bila terjadi, ia menjadi pedoman kepada amal dan perbuatan.

Masyarakat yang beragama menjadikan etika dan nilai murni sebagai pedoman. Etika dan nilai yang sifatnya manusiawi terlalu penting dijadikan pedoman supaya nilai-nilai interaktif mendorong kesalingan berlaku dan persefahaman tadi. Tulisan, ucapan dan kenyataan jelik yang dihamburkan membayangkan antara fikir dan kalbu tidak harmoni dan seimbang sifatnya. Ia menyebabkan emosi negatif menguasai, niat di hati berada dalam keadaan jelik serta menyebabkan amalan dan perbuatan tidak sifatnya telus, jujur dan menyantuni.

Oleh itu, amat penting tulisan kita terkandung yang tersurat dengan tersirat mempunyai hikmah baik. Yang diucapkan dan dilafazkan dengan hati jernih memberi kesan positif kepada manusia dan kenyataan dibuat tidak jelik dan menyinggung sifatnya supaya salah faham dapat dielakkan dan kebenaran maklumat sentiasa menjadi panduan terbaik.

Indah pada yang tersurat dan jelik pada yang tersirat bakal menjadikan pemikiran bercelaru. Ia menyebabkan salah faham terjadi. Apalagi orang yang melakukan kejelikan, egonya tetap tinggi dan tidak tunduk kepada sudut pandangan orang lain.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Perbaiki diri, usah putus asa ketika berdoa

Posted by epondok di Julai 24, 2019

Oleh Nazmi Yaakub

 

Ahli sufi terkenal di Basrah, Iraq, Ibrahim Adham pernah dikerumuni orang ramai yang mengadu kepadanya mengenai doa mereka yang tidak dimakbulkan Allah SWT.

Mereka tertanya-tanya mengenai keadaan itu sedangkan Allah SWT berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan memakbulkan doa kamu. (Al-Mukmin: 60)

Ibrahim berkata, permintaan yang tidak dimakbulkan itu disebabkan hati penduduk Basrah sudah mati, sekali gus menjadi hijab antara doa mereka dengan Allah SWT.

“Pertama, kamu semua mengenal Allah SWT tetapi tidak menunaikan semua hak-Nya, manakala kedua, kamu membaca al-Quran, namun tidak mengamalkan kandungannya.

“Ketiga, kamu semua mengakui Iblis sebagai musuh, malangnya kalian tetap mengikut perintahnya, sedangkan sebab keempat, kamu menyebut cinta pada Rasulullah SAW, hakikatnya kalian meninggalkan sunnah Baginda,” katanya.

Beliau berkata, faktor kelima adalah penduduk Basrah mengungkapkan perasaan cinta kepada syurga tetapi tidak mahu mengamalkan amalan ahli syurga.

Katanya, berbeza pula dengan ucapan bahawa mereka menggeruni neraka, sedangkan tidak berhenti daripada melakukan dosa yang boleh melontarkan mereka ke tempat azab itu.

“Ketujuh, kamu semua mempercayai kematian sebagai takdir yang pasti tetapi tidak membuat persiapan untuk menghadapinya, manakala sebab kelapan, kalian sibuk dengan aib orang lain tetapi lupa terhadap aib diri sendiri.

“Kesembilan, kamu makan dan menikmati rezeki Allah SWT tetapi tidak pernah mensyukurinya, sedangkan sebab kesepuluh, kalian banyak kali mengebumikan jenazah, namun tidak pernah mengambil pengajaran daripadanya,” katanya.

Selain memastikan tidak melakukan apa yang diingatkan oleh tokoh sufi itu, umat Islam juga tidak boleh berputus asa dalam memohon kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Baginda supaya tidak tergesa-gesa untuk melihat permintaan dimakbulkan.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selagi doa itu tidak mengandungi dosa, memutus silaturahim dan tidak minta cepat-cepat diperkenankan.” Lalu Baginda ditanya orang: “Apakah maksudnya minta cepat-cepat?” Baginda menjawab: “Umpamanya seseorang berkata dalam doanya, ‘Aku sudah berdoa, aku sudah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan.’ Lalu dia putus asa dan berhenti berdoa.” (HR Muslim)

Maulana Jalaluddin Rumi dalam karya, Fihi Ma Fihi memberikan perumpamaan cantik mengenai dua orang fakir yang meminta-minta dan menunggu-nunggu di hadapan pintu rumah orang kaya.

Lelaki pertama terus diberikan apa yang diminta, sedangkan lelaki kedua tetap dibiarkan untuk terus meminta hingga ternanti-nanti di hadapan pintu.

Bagaimanapun, Maulana Rumi mengingatkan lelaki pertama yang terus memperoleh apa dipohon sebenarnya tidak disukai oleh tuan rumah hingga mahu cepat-cepat beredar daripada halamannya.

Justeru, meskipun lelaki kedua terus dibiarkan di hadapan pintunya, kehadirannya disenangi oleh orang kaya itu hingga membiarkannya meminta dengan lama sebelum diberikan anugerah yang jauh lebih besar.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »