Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Takabbur perosak akidah Muslim

Posted by epondok di Jun 16, 2019


Oleh Latifah Arifin

 

ADA antara kita tidak sedar semakin jauh daripada rahmat dan terputus hubungan dengan Allah SWT kerana hati dikotori oleh sifat takabur.

Penyakit akidah ini membuatkan segelintir manusia tidak melihat kebenaran, sebaliknya terus tegar melakukan perbuatan menyimpang dan dilaknat Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Aku akan memalingkan orang yang sombong di muka bumi dengan tiada alasan yang benar daripada ayat-ayatKu; dan jika mereka melihat setiap ayat, mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu kerana mereka mendustakan ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (Al-A’raaf: 146)

Pendakwah, Shadiya Abbas, berkata, terdapat banyak implikasi negatif sekiranya ada di antara umat Islam masih tidak mahu berubah dan membuang sifat takabur dalam diri.

“Ada banyak kes yang dapat kita lihat melanda umat hari ini. Bayangkan, kerana kesombongan dan merasakan apa yang ada di depannya semua salah, mereka sanggup menghina sesama manusia dan lebih parah menolak agama Allah SWT.

“Jika kita sombong kepada manusia lain, tidak mengapa lagi kerana hukumnya harus.

“Apa yang merunsingkan sifat takabur ini merosakkan akidah sehingga tahap menghina Rasulullah SAW dan ia bukan dilakukan dalam kumpulan kecil, tetapi semakin ramai yang terjebak,” katanya pada syarahan Kuliah Dhuha Muslimah di Masjid Al-Falah, Subang Jaya, baru-baru ini.

Takabur juga ada

pada orang berilmu

Menurut Shadiya, sifat takabur tidak hanya beraja dalam diri manusia yang kurang ilmu agamanya tetapi boleh menjangkiti golongan bijak pandai, beriman dan beramal salih.

Allah SWT berfirman: “Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka barang siapa menyamai-Ku, satu daripada keduanya, maka pasti dilemparkan ia ke dalam neraka jahanam dan tidak akan dipedulikan lagi.” (Hadis Qudsi)

Jelas, melalui hadis ini dapat difahami bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah SWT.

“Bayangkan, takabur menyebabkan makhluk Allah yang asalnya dicipta daripada cahaya dikeluarkan daripada syurga-Nya atas sifat angkuhnya yang enggan sujud kepada Nabi Adam AS sebagaimana diperintahkan. Kemurkaan itu bukan kerana Azazil tidak mahu sujud kepada Adam semata-mata, tetapi perbuatannya yang melawan Allah SWT.

“Jadi, usah sangka jika kita ada iman yang mantap, tidak terdedah dengan sifat takabur kerana penyakit ini juga boleh menjangkiti orang hebat, hatta rutinnya kerap ke masjid. Namun, adakalanya kerana kesombongan merasakan diri cukup hebat, secara tidak sedar jatuh takabbur dalam diri,” katanya.

Fahaman liberal

Mengupas lanjut, katanya sifat takabur ini juga yang mendorong bermaharajalelanya golongan berfahaman liberal yang menentang hukum Islam kononnya atas alasan demokrasi.

“Ada antara mereka menolak hukum Allah dalam pelbagai perkara, termasuk yang sudah termaktub dalam al-Quran.

“Misalnya, menolak pengurusan harta mengikut faraid, ada wanita mahu kelompok mereka menjadi imam dalam solat berjemaah yang bercampur lelaki dan wanita.

“Akhirnya mereka juga mula mentafsir ayat al-Quran mengikut akal sendiri yang dirasakan hebat, termasuk menolak tuntutan bertudung bagi wanita,” katanya.

Tambah Shadiya, antara ancaman bahaya puak liberal ini kerana ia bergerak dalam satu kumpulan, maka ia juga perlu dilawan dengan menyatukan umat Islam dalam satu kefahaman yang jelas.

Ia perlu bermula dalam keluarga, daripada ibu bapa sehingga kepada anak mesti diselamatkan daripada terdedah dengan gejala yang mampu meruntuhkan akidah ini.

Beliau turut menasihati setiap umat Islam supaya segera berubah dengan membuang sifat takabur ini kerana ia antara perkara yang paling dibenci Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka orang yang sombong.” (An-Nahl: 23)

“Apabila Allah benci, maka semua perkara yang kita lakukan tidak bernilai lagi termasuklah semua amal ibadah daripada solat sehinggalah sedekah jariah.

“Antara azab yang menunggu mereka yang penuh dengan sifat takabur menurut ulama akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam dalam keadaan kita ditelangkupkan dan tidak lagi dipedulikan oleh Allah SWT.

“Dalam kitab karangan Imam al-Qurtubi ada disebutkan bayangan dahsyatnya keadaan di neraka jahanam. Sehingga neraka jahanam itu sendiri berdoa kepada Allah SWT supaya dikurangkan kepanasan bayangkan apa lagi jika kita dibakar di dalamnya,” katanya.

Muhasabah diri

Justeru, katanya, setiap umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah dan antara kaedah untuk membuang sikap takabur dengan merasakan diri paling lemah dan tidak mempunyai kuasa ke atas semua perkara.

“Rawatan terbaik bagi takabur menurut ulama adalah melalui sifat tawaduk.

“Perlu kepada merendahkan diri bukan sahaja di depan makhluk tetapi lebih penting kepada Allah SWT.

“Banyakkanlah juga berdoa supaya dikuatkan diri daripada terperangkap dengan penyakit takabur, sentiasa memperbaiki solat dan berzikir kepada-Nya untuk terus mampu istiqamah,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: