Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pemberian duit raya zahir kegembiraan

Posted by epondok di Jun 15, 2019


Oleh Hafizah Iszahanid

 

USAI Aidilfitri selalunya kanak-kanak adalah insan paling gembira disebabkan kutipan duit raya yang bukan sedikit. Sudah menjadi lumrah anak zaman ini mendapat duit raya mencecah ratusan ringgit, malah ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Pemberian duit raya boleh dianggap sedekah, iaitu ibadat yang besar pahalanya dan mampu mengeratkan silaturahim. Selain itu, pemberian duit raya dilihat sebagai amalan yang membuka pintu rezeki.

Allah SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Saba: 34)

Mudir, Pusat Pengajian Tafaqquh dan Tahfiz Al Makki, Kuching, Ustaz Umar Faruq Sudinta, berkata selain dilihat sebagai ibadat sedekah, pemberian duit raya dianjurkan kerana sifat hari raya sebagai hari membawa kegembiraan kepada umat Islam.

Zahir rasa syukur

Umar Faruq berkata, bagi umat Islam, cara menzahirkan kegembiraan itu dengan amalan yang baik dan bernilai ibadat di sisi Allah SWT.

“Pemberian duit raya juga dilihat sebagai cara menzahirkan rasa syukur dan gembira. Amalannya sama sekali tidak menyerupai kebudayaan agama lain kerana Islam mempunyai kedudukan tersendiri dalam syariat, iaitu pemberian duit raya disamakan dengan bersedekah.

“Ini amal ibadat yang disunahkan dan berpahala bagi yang melakukannya kerana mampu menggembirakan hati seorang Mukmin,” katanya.

Beliau turut memetik hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Umar Khattab RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Memberikan kegembiraan kepada hati seorang Mukmin, mengenyangkan rasa laparnya, memberi pakaian untuk menutup auratnya atau menunaikan keperluannya atau hajatnya.” (HR Tabrani)

“Maka memberi duit raya adalah sebahagian ibadat dan berpahala bagi yang melakukannya,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Umar Faruq, pemberian duit raya itu bersifat umum kepada orang tua, jiran, kerabat, keluarga dan anak-anak tetapi hendaknya diutamakan terlebih dahulu kepada orang yang memerlukan kerana akan lebih mengena sasaran sedekah itu.

“Namun, pemberian duit raya tidaklah harus sampai memaksakan diri sendiri sehingga menjadi beban dan janganlah pemberian itu hendak mengharapkan sanjungan serta pujian hingga menimbulkan rasa riak,” katanya.

Bagaimanapun dalam kegembiraan anak-anak mengira jumlah duit raya yang diterima, mungkin ada ibu bapa yang berada dalam kesempitan wang.

Justeru, sementara menunggu gaji tiba, ada yang menggunakan duit raya anak, sekali gus menimbulkan pertanyaan apakah hal seumpama itu dibenarkan meskipun dengan niat akan menggantinya semula?

Dalam hal ini, Umar Faruq berkata, pada umumnya ibu bapa tidak dibenarkan untuk mengambil duit anak sekiranya dilakukan dengan perbuatan zalim, iaitu tidak hajat menggunakan wang itu, sekadar mengambilnya apatah lagi jika masih mempunyai simpanan dan harta.

Bagaimanapun tegas Umar Faruq, dalam keadaan tertentu misalnya tidak mempunyai duit lain, maka ibu bapa boleh mengambilnya tetapi dengan cara makruf, iaitu yang baik-baik.

Beliau berkata, namun ia harus dibuat dengan dua syarat, iaitu tidak mendatangkan mudarat kepadanya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya. Selain itu, jika ibu bapa tidak boleh mengambil harta salah seorang daripada anaknya lalu memberikan kepada anaknya yang lain.

Ajar anak etika

Hal ini kata Umar Faruq, berdasarkan hadis Nabi; Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.” (HR Ibn Majah)

Secara hukum fiqh, Umar Faruq berkata, ibu bapa harus mengambil wang anak berdasarkan hadis terbabit tetapi jika berdasarkan ketertiban dan kerendahan diri, seeloknya dielakkan.

“Jika berkeperluan, mintalah izin sebagai mengajar anak mengenai etika hubungan baik antara orang tua dan anaknya. Malah sebagai tanda kebijaksanaan sebagai ibu bapa, gantikanlah wang itu walaupun tidak wajib,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: