Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 Jun 2019

Mantap nilai akhlak, ikhlas dalam jiwa

Posted by epondok di Jun 14, 2019

Oleh Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

 

UMAT Islam berdepan kemelut kehilangan jati diri, hasil ketandusan akhlak yang mendefinisikan kelangsungan survival sebagai Muslim sejati. Manifestasi itu terserlah dan mudah ditemui dalam pelbagai sektor kehidupan harian bermula institusi keluarga, berlarutan kepada masyarakat.

Justeru, terserlah perbuatan songsang misalnya keganasan rumah tangga, penganiayaan kanak-kanak, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, rasuah, rompakan dan pembunuhan.

Ia tidak wajar dibiarkan berterusan, sebaliknya perlu dipulihkan walaupun sukar supaya ummah tidak berterusan hilang ‘mutiara’ sah mereka yang sebenarnya menjadi misi kepada agama yang dianuti.

Tonggak utama Islam sebagai cara hidup lengkap dan syumul merangkumi tiga aspek utama, iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek itu memainkan peranan membentuk dan menyerlahkan jati diri keIslaman Muslim dalam kehidupan harian.

Namun, penyerlahan melalui akhlak lebih terkehadapan dan mudah kelihatan kerana berkait langsung dengan persekitaran hidup di tengah masyarakat. Manusia dan perlakuannya akan berkait dengan persekitaran diri meliputi hubungannya sesama makhluk serta Allah SWT.

Bagaimanapun, untuk memahami secara tepat persoalan teras akhlak, ia perlu dirujuk kepada definisi diberikan moralis, terutama Muslim seperti Imam al-Ghazali dalam dua kitab utamanya, iaitu Ihya’ Ulum al-Din dan Mizan al-Amal.

Dalam mendefinisikan akhlak, Imam al-Ghazali menghurai aspek etimologi istilah dengan merujuk dua perkataan terhubung secara langsung dengan akhlak, iaitu al-khuluq dan al-khalq. Al-khalq merujuk gambaran zahir diri manusia, manakala al-khuluq pula gambaran batinnya.

Kedua-dua gambaran itu memang wujud pada manusia kerana himpunan daripada komponen jasad yang boleh dilihat menerusi mata kasar, manakala roh atau nafs hanya boleh diinderai menerusi mata hati (al-basirah). Beliau menyatakan setiap satu memiliki keadaan dan gambaran, sama ada buruk dan hodoh atau baik serta cantik. Namun, nilai nafs atau roh jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan jasad.

Pentarafan ini berdasarkan firman Allah SWT: “(Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia (Adam) dari tanah, kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Sad: 71-72)

Imam al-Ghazali menjelaskan aspek jasad manusia dinisbahkan hanya kepada asal-usul tanah, sedangkan nafs atau roh dinisbahkan terus kepada Tuhan. Gambaran penisbahan itu, memberikan isyarat keutamaan aspek roh berbanding jasad.

Menurut Imam al-Ghazali, aspek roh mendefinisikan hakikat diri manusia dan kerana kewujudan aspek itu juga, manusia diberikan pelbagai taklif atau tanggungjawab. Persoalan penting akhlak berkait langsung dengan aspek roh atau nafs; tidak dengan aspek jasadnya.

Definisi akhlak

Manusia umumnya tersasul membuat pilihan, lalu memberikan tumpuan keterlaluan kepada aspek jasad seperti dimanifestasikan hiruk-pikuk dunia kosmetik, hiburan dan sukan hingga aspek roh diketepi, justeru aspek akhlak juga terabai.

Adapun definisi akhlak dari segi teknikal, merujuk gambaran atau pemerihalan keadaan dalam jiwa manusia yang sudah berada pada tahap kukuh dan sebati hingga berupaya memunculkan perbuatan atau perlakuan secara mudah serta spontan, tanpa perlu berfikir dan membuat pertimbangan lagi.

Kalau perbuatan elok dan terpuji dalam pandangan akal dan syarak, keadaan atau suasana itu diistilahkan sebagai akhlak baik, namun kalau sebaliknya, ia dinamakan akhlak buruk.

Jadi, akhlak menurut Imam al-Ghazali, lebih merujuk kepada ‘keadaan’ atau ‘suasana’ dalam jiwa seseorang, bukannya laku perbuatan yang terpamer pada permukaan diri pelakunya.

‘Suasana kejiwaan’ itu mesti mempunyai beberapa ciri khusus melayakkannya dikategorikan sebagai akhlak, iaitu ‘kukuh-sebati’ serta ‘berupaya memunculkan laku perbuatan secara spontan dan mudah.’

Imam al-Ghazali berhujah untuk menjustifikasi keperluan ciri penentu kepada istilah akhlak dengan mengatakan jiwa memerlukan suasana kukuh sebati dan bukan muncul secara jarang-jarang. Contohnya, perbuatan membelanjakan harta disebabkan keperluan tertentu mendatang, tidak boleh digelar orang berakhlak pemurah selagi sifat pemurah masih belum mantap secara kukuh dalam diri pelaku berkenaan.

Syarat turut diletakkan supaya kemunculan perbuatan terjadi secara mudah tanpa perlu pertimbangan lanjut kerana seseorang yang hanya bersusah-payah membuat pertimbangan mendalam sebelum membelanjakan harta, tidak boleh digelar pemurah.

Ahli politik misalnya, menunjukkan sikap pemurah dan suka menderma ketika hampir pilihan raya kerana hendak memancing undi, jelas tidak boleh dinamakan sebagai orang berakhlak pemurah. Begitu juga orang yang hanya bersikap pemurah dengan mengeluarkan derma atau sedekah kerana memikirkan kemungkinan kedudukannya terjejas pada mata masyarakat.

Ini bermakna ruang lingkup semantik istilah akhlak seperti dirumuskan Imam al-Ghazali, tidak pernah memberi laluan kepada sikap hipokrit dan lakonan, sebaliknya mesti ikhlas yang muncul benar-benar daripada dasar diri seseorang yang sudah sedia mantap dengan sesuatu sifat atau sikap yang secara spontan menjadi terpamer di permukaan diri seseorang.

Selepas difahami definisi istilah akhlak, perlu pula difahami skop dirangkumi istilah itu untuk membina kefahaman berkait dengan bentuk akhlak yang bagaimana perlu dihayati Muslim dalam kehidupan.

Muhammad ‘Abd Allah Darraz dalam tulisannya, Dustur al-Akhlaq fi al-Quran, membahagikan skop akhlak kepada lima bahagian, iaitu akhlak peribadi, berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan beragama.

Berdasarkan pembahagian itu, jelas skop dirangkumi akhlak dalam Islam ialah seluruh kehidupan Muslim, tanpa ada yang terkecuali. Ia juga merangkumi aspek vertikal, iaitu akhlak terhadap Allah SWT dan aspek horizontal membabitkan hubungan sesama makhluk.

Hiasi nilai akhlak mulia

Oleh itu, kehidupan harian Muslim perlu dihiasi nilai akhlak mulia seperti diajarkan oleh ajaran Islam dalam setiap ruang kehidupan dirinya daripada sekecil-kecil perkara sampailah kepada perkara-perkara besar seumpama urusan negara dan antarabangsa.

Di sini letaknya misi kebangkitan Rasulullah SAW untuk menyempurnakan akhlak mulia seperti terungkap sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya aku dibangkit atau diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (HR Ahmad, Bukhari dan Hakim)

Dapat dirumuskan misi utama Muslim adalah mendidik diri menerusi pelbagai institusi di tengah masyarakat, keluarga, pendidikan, masjid dan surau berjaya memantapkan pelbagai nilai akhlak mulia. Oleh itu, setiap Muslim pasti dapat menyumbang kepada kewujudan keharmonian persekitaran kehidupan dan membentuk tamadun berkualiti untuk menjamin wujudnya unsur rahmatan lil alamin yang juga misi kebangkitan Rasulullah SAW seperti firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau ‘wahai Muhammad’ melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 107)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »