Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kekal momentum ibadah selepas Ramadan

Posted by epondok di Jun 13, 2019


SYAWAL, tidak boleh dijadikan alasan untuk meninggalkan segala amalan ibadat yang dijayakan sepanjang Ramadan lalu, sebaliknya momentum solat berjemaah, sedekah dan tadarus al-Quran sepatutnya diteruskan, sekali gus dijadikan amalan harian.

Pensyarah Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad, berkata umat Islam perlu menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan berubah kepada Muslim terbaik dengan meneruskan amal ibadat, bukannya menganggapnya bulan amal ibadat semusim.

Katanya, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, Rabbaniyyin Laisa Ramadhaniyyin, berpesan: Jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana Allah dan jangan hanya menjadi ahli ibadat selama sebulan Ramadan.

Dalam buku itu, beliau mengingatkan ada dalam kalangan umat Islam yang menjadi ‘hamba’ Ramadan dan bukannya hamba Allah SWT.

“Ramadan akan berlalu apabila sudah sampai tempohnya, sedangkan Allah SWT tetap kekal dan tidak sekali-kali akan lenyap. Fasa selepas Ramadan adalah pembuktian sama ada matlamat tarbiah atau pendidikan sepanjang bulan itu, tercapai atau sebaliknya.

Istiqamah beramal ibadat

“Kita perlu bertanya kepada diri apakah tahap takwa semakin meningkat atau sebaliknya. Oleh itu hamba Allah SWT sebenar ialah orang yang berterusan melaksanakan segala ibadat dengan penuh ketaatan semata-mata kerana-Nya, bukan semata-mata mengejar ganjaran,” katanya.

Siti Norlina berkata, pada zaman Rasulullah SAW dulu, sahabat berjaya untuk istiqamah beramal ibadat kerana menghayati tarbiah dilalui sepanjang Ramadan termasuk satu malam yang sangat istimewa, iaitu lailatulqadar.

“Bayangkan dalam setahun, Allah SWT memilih satu bulan untuk mengumpulkan semua hamba yang merindui dan mengharapkan rahmat, keberkatan serta pengampunan daripada segala dosa.

“Allah SWT mewajibkan puasa pada waktu siang dan menggalakkan solat sunat tarawih pada waktu malam sebagai latihan fizikal dan spiritual agar hamba-Nya tahu mengimbangi tuntutan hidup dalam kehidupan seharian mereka.

“Dalam sebulan Ramadan, Allah SWT menentukan satu malam sangat istimewa yang menurut Imam al-Qurthubi, selain membawa rahmat dan keberkatan daripada-Nya, malaikat turun ke muka bumi untuk mengaminkan doa orang yang berdoa pada malam berkenan,” katanya.

Oleh itu, tegas beliau, selepas melalui tempoh 30 hari dengan proses pendidikan, sudah tentu individu yang berjaya melalui proses tarbiah Ramadan akan menjadi lebih kental dan hebat serta mampu menjalani kehidupan menurut panduan Pencipta dengan sempurna.

Menurut al-Maala ibnu Fadl: Sesungguhnya sahabat Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan sebelum Ramadan agar dipertemukan dengannya dan berdoa selama enam bulan selepas itu, agar amalan mereka diterima Allah SWT. Ini menunjukkan mereka sangat memberi perhatian berat kepada amalan dan ganjaran serta mereka tidak mahu terlepas daripada janji-Nya.

Siti Norlina berkata, kecintaan sahabat kepada Ramadan begitu kuat, bahkan mereka menunggu kedatangannya dengan penuh kerinduan untuk beribadah dan mengejar ganjaran serta pengampunan daripada Allah SWT.

Mengulas mengenai perasaan malu untuk berubah ke arah kebaikan, Siti Norlina, berkata ia tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya sentiasa positif dan syukur atas hidayah Allah.

Beliau menyarankan supaya istighfar diperbanyakkan kerana ada ketikanya perasaan malu itu berpunca daripada mainan syaitan.

“Bagi melawan perasaan itu, perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT, agar Dia memberi kekuatan dan melindungi kita dari sebarang perasaan negatif.

Tanam niat untuk berubah

“Kita juga perlu menanamkan niat untuk berubah kerana Allah SWT. Jika niat kita benar ikhlas kerana Allah, kita akan menjadi lebih kuat dan kental,” katanya.

Beliau turut mengingatkan individu melakukan perubahan perlahan-lahan tetapi istiqamah dan bukannya secara drastik.

Siti Norlina, berkata momentum ibadat lebih mudah dilakukan apabila dilingkari rakan yang turut mahu berubah ke arah kebaikan.

Firman Allah SWT: “Dan ingatlah, hari orang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata: “Alangkah baiknya sekiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama rasul. Kecelakaan besarlah ke atasku. Kalaulah aku dahulu tidak menjadikan si fulan itu sebagai teman akrabku. Sesungguhnya, dia menyesatkanku daripada al-Quran!” (Al-Furqan: 27-29)

Pengukuhan iman katanya, turut bertambah dengan menghadiri majlis ilmu apabila iman sudah kuat, kita hanya akan mahu mengejar redha dan kasih sayang Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: