Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 3 Jun 2019

Sayu tinggalkan Ramadan, banyakkan doa dan amalan

Posted by epondok di Jun 3, 2019

KEDATANGAN Ramadan sangat dirindui, manakala pemergiannya bakal ditangisi mereka yang cintakan kebaikan. Soalnya, apakah matlamat ketakwaan digariskan Allah SWT daripada madrasah Ramadan mampu diraih sepenuhnya atau tidak.

Jalan atau prasyarat yang boleh merealisasikannya perlu direnung kembali sama ada dilaksanakan sebaik-baiknya ataupun belum. Antara ibadat yang dititikberatkan ialah doa.

Firman Allah SWT: “Apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah: 186)

Doa ialah kalimah pinjaman bahasa Arab bermaksud memanggil atau menyeru, meminta tolong atau menyembah. Ibnu Manzur dalam karyanya, Lisan al-Arab menyebut makna doa kepada Allah dalam tiga bentuk, iaitu mengesakan dan memuji-Nya; meminta keampunan, rahmat serta mendekat diri kepada-Nya dan memohon habuan keduniaan seperti rezeki berbentuk harta dan anak-pinak.

Ulama terkemuka, Said Hawwa ketika mengulas ayat di atas menukilkan pandangan Ibnu Kathir: “Apabila Allah SWT menyebut ayat menyeru galakan berdoa antara ayat menceritakan hukum-hakam berkaitan puasa, ia memberikan panduan untuk kita bersungguh-sungguh berdoa ketika berusaha mencukupkan bilangan hari berpuasa.”

Kesungguhan itu perlu dijelmakan setiap kali ketika berbuka puasa. Daripada Ibnu Umar RA: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Orang berpuasa ketika berbuka memiliki doa mustajab. (HR Abu Daud)

Ibn Umar ketika ingin berbuka puasa akan memanggil isteri dan anak-anaknya, lalu berdoa: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon daripada-Mu dengan segala rahmat-Mu yang meliputi setiap perkara supaya Engkau mengampuni aku (dan kami semua).”

Dalam konteks keluarga, perbuatan itu wajar dicontohi dan diamalkan, terutama untuk menjalinkan hubungan lebih erat dalam keluarga menerusi pelaksanaan ibadat secara kolektif.

Ini kerana ia manifestasi sunnah lebih-lebih lagi mengenangkan keperibadian Ibnu Umar, iaitu anakanda Saidina Umar al-Khattab RA, yang begitu menjaga sunnah Baginda.

Ramai keluarga Muslim mampu berbuka puasa dan bersahur bersama-sama, tetapi belum mempraktikkan sunnah lebih mendasar. Sebagai contoh, solat Maghrib biasa dilakukan di rumah lantaran sibuk melayani juadah berbuka puasa. Ironinya, sebaik berbuka puasa secara berjemaah, masing-masing akan masuk ke bilik dan melakukan solat bersendirian.

Justeru, amalan berdoa secara beramai-ramai dalam keluarga diharap dapat menyuntik semangat berpasukan sama ada dalam ibadat khusus ataupun rutin kehidupan. Ibu bapa yang tidak mahir berbahasa Arab, boleh berdoa dalam bahasa ibunda dengan segala permintaan baik dan munasabah.

Ibnu Abi Hatim RA meriwayatkan seorang Arab Badwi bertanyakan Rasulullah SAW: Wahai, Rasulullah! Adakah Tuhan kita dekat lalu kita hanya perlu berbisik meminta daripada-Nya atau Ia jauh lantas kita harus memanggil-Nya dengan laungan kuat? Baginda terdiam hingga Allah SWT menurunkan ayat di atas.

Hamba yang taat tidak perlu mempersoalkan kedudukan Allah SWT, sebaliknya hanya perlu mengabdikan diri dengan menyembah Tuhan Yang Maha Esa dengan cara yang diajar Baginda dan dijelaskan ulama muktabar.

Doa akan memupuk sifat kehambaan tulen dalam diri Muslim. Dia tidak akan meletakkan pergantungan hakiki, selain Allah SWT. Doa dianggap senjata ampuh orang Mukmin menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Selain itu, motivasi untuk lebih berjaya akan kian bersemarak jika seseorang menghiasi usaha dan tawakal dengan titipan doa tulus dan ikhlas.

Berdasarkan mafhum hadis, Muslim yang berdoa dan menjaga adab berdoa seperti tidak mendoakan sesuatu maksiat serta memutuskan silaturahim, Allah SWT akan memustajabkan doa itu lebih-lebih lagi dalam bulan barakah melalui salah satu daripada tiga cara.

Pertama, Allah akan mengabulkan permintaannya serta-merta, manakala cara kedua, menangguhkan permintaan dan menggantikannya dengan yang lebih baik di sisi-Nya pada hari akhirat kelak. Ketiga, Allah SWT akan mengabulkan doa dengan cara menghindarkan peminta doa daripada sebarang musibah atau kesulitan.

Pakar rujuk mazhab Maliki dan fiqh perbandingan di Universiti al-Azhar, Sheikh Ahmad Ali Taha Rayyan, pernah menceritakan kisah menarik yang berlaku pada dirinya berkenaan dengan kuasa doa mustajab.

Sheikh Ahmad berkata, pada zaman remaja, beliau pelajar cemerlang dan apabila tiba peperiksaan akhir, beliau berdoa agar Allah SWT memberikan kejayaan cemerlang agar dapat melanjutkan pengajian dalam bidang bahasa dan seterusnya dapat menjamin pekerjaan tetap kerana keperluan terhadap guru bahasa ketika itu.

“Takdir Allah menentukan sebaliknya. Saya tidak berjaya memperoleh keputusan dikehendaki, lantas gagal melanjutkan pengajian dalam bidang diinginkan.

“Lalu saya pasrah dengan memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang fiqh. Allah SWT memuliakan saya dengan bidang ilmu yang sangat mulia ini,” katanya.

Dalam kesayuan menghitung hari terakhir Ramadan, kita juga perlu merafakkan tangan berdoa dari lubuk hati yang dalam agar Allah SWT menerima segala amalan dan menggolongkan kita dalam kalangan mereka bertakwa.

Kita juga tidak boleh lupa mendoakan kesejahteraan keluarga dan negara kita agar kekal dalam acuan beragama serta berakhlak Islam, selain kepada saudara seagama yang sedang dizalimi di Palestin dan negara lain.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »