Disebabkan kita berpuasa pada siangnya maka ramai yang memilih bermusafir waktu malam. Sememangnya perjalanan waktu malam lebih selesa kerana kita boleh makan minum selain cuacanya yang lebih sejuk.

Bagi yang bermusafir waktu malam, pastikan kita tidak terlepas menghidupkan malam Ramadan dengan solat tarawih.

Ikhtiarkan agar selesaikan dahulu solat tarawih di mana-mana masjid atau surau atau berhenti di mana-mana kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk menunaikannya.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al-Bukhari)

Al-Hafiz Ibn Hajar ketika memberi makna “Barang siapa yang menghidupkan Ramadan” berkata, ia bermaksud kita menghidupkan malam-malamnya (Ramadan) dengan bersolat.

Selain itu, beliau menyebut bahawa Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadan adalah dengan solat tarawih. (Fath al-Bari, 4/251)

Mendirikan atau menghidupkan malam Ramadan bukanlah satu perkara yang wajib tetapi ia merupakan sunnah yang dituntut.

Alangkah rugi mereka yang meninggalkan solat tarawih semata-mata kerana melakukan perjalanan untuk balik ke kampung.

Andai kata tidak sempat solat tarawih di masjid kerana mahu mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, maka apabila sampai di destinasi tunaikanlah ia.

Lebih molek jika si bapa menjadi imam dan isteri serta anak-anak menjadi makmum. Sekurang-kurangnya dengan melakukan yang demikian akan beroleh pahala qiamullail.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang solat malam (tarawih) bersama imam sehingga dia bersurai (selesai solat), akan tertulis untuknya pahala qiam (bersolat) sepanjang satu malam. (Riwayat Abu Daud)

Inilah barangkali yang perlu diperbetulkan. Sebabnya ramai yang bermusafir tetapi tidak pula mengambil peluang mendirikan solat isyak dan tarawih berjemaah setibanya di kampung.

Solat sunat tarawih ini boleh dilakukan walaupun kita tiba di kampung pukul 1 pagi. Selagi belum masuk waktu subuh selagi itu ia boleh ditunaikan.

Satu lagi kelebihan orang yang bermusafir adalah doa mereka mustajab. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir dan doa ibubapa untuk anaknya.” (Riwayat Tirmidzi)

Oleh itu, satu hal yang jangan dilupa adalah kepentingan membanyakkan doa kepada Allah SWT agar beroleh kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan.

Selain doa orang berpuasa yang mustajab, berdoa pada sepertiga malam juga adalah makbul.

Ia sebagaimana dijelaskan menerusi hadis nabi SAW, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman; barang siapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barang siapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barang siapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya. (Riwayat Bukhari)