Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2019

Istighfar kunci penyelesaian kepada kesempitan kita

Posted by epondok di Jun 30, 2019

Muhd Nasruddin Dasuki

SESEKALI diberi ujian, adakalanya membuatkan kita ‘lumpuh’ sehingga gagal memikirkan jalan keluar.

Apatah lagi, ia ditambah dengan emosi yang tidak tenteram dan jiwa tidak tenang, maka semakin terhimpitlah kehidupan kita.

Sebenarnya, kita lupa bahawa ALLAH SWT sudah menyediakan jalan penyelesaiannya tanpa sesaat pun meninggalkan kita.

Jika kita dalam keadaan itu, apa patut dilakukan?

Mudah sahaja, beristighfar dengan menyebut ‘Astaghfirullah’.

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang melazimkan istighfar, nescaya ALLAH pasti akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan. Dan kelapangan daripada setiap kesedihan dan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Dawud)

Dengan beristighfar, kita sebenarnya kembali kepada ALLAH SWT dan menginsafi kembali, apakah masalah itu datangnya akibat kelalaian diri sendiri atau kesilapan masa lalu kita?

Rasulullah SAW yang maksum itu pun sentiasa beristighfar sebanyak 70 kali sehari memohon keampunan-Nya!

Bagaimana kita yang banyak dosa ini agak sukar untuk beristighfar?

Apa kata selepas ini kita cuba istighfar setiap hari.

Mudah-mudahan dosa kita akan diangkat ke langit dan akan terbukalan jalan-jalan yang akan memudahkan urusan yang tertangguh.

Usah sombong untuk beristighfar kerana ALLAH SWT sedang menguji dan menilai siapakah yang menjadi tempat kita bergantung pada saat kita diuji.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Perpaduan Islam menekan musuh

Posted by epondok di Jun 29, 2019

Oleh Latifah Arifin

Jika disorot kembali sejarah ketamadunan silam, pencapaian umat Islam sebenarnya cukup hebat sehingga mampu mengembangkan agama Islam dan menakluk wilayah terkemuka seperti Empayar Rom dan Parsi.

Kejayaan ini bertitik tolak daripada keberanian panglima perang ketika itu diterajui khulafa ar-rasyidin yang menjadi tulang belakang bagi memastikan Islam dan hak umatnya sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Bagaimanapun, zaman kegemilangan yang satu masa dahulu dibanggakan seakan makin pudar apabila umat Islam hari ini seolah-olah terpaksa tunduk atas desakan kuasa besar dunia.

Antara kemelut yang terus berlaku adalah bagaimana masyarakat Islam dunia dinafikan hak ke atas tanah sendiri, hilang tempat tinggal bahkan dihimpit pelbagai tekanan sehingga ramai yang terkorban kerana dibedil dengan pelbagai senjata canggih.

Tokoh ulama India, Maulana Salman Husaini An-Nadwi, berkata tidak mustahil untuk sejarah Islam masa lalu berulang sekiranya umat hari ini mengambil iktibar dan belajar daripada kebijaksanaan Rasulullah SAW dan sahabat yang banyak berkorban masa, nyawa dan tenaga untuk mempertahankan Islam.

“Kerajaan Rom dan Parsi boleh diibaratkan seperti kuasa besar pada zaman kini, iaitu Russia dan Amerika Syarikat.

“Jika kuasa besar zaman dahulu boleh ditumpaskan, pastinya musuh Islam yang ada hari ini sebenarnya terlalu kecil jika hendak dibandingkan.

“Justeru, kita wajib belajar dan mengikut langkah Nabi Muhammad SAW dan sahabat sehingga syiar Islam sampai ke pelbagai negara, termasuk Afrika dan China,” katanya pada program munaqasyah dengan tajuk Mampukah Al-Quds Dibebaskan yang diadakan di Pejabat Yayasan MyAqsa, di Putrajaya, baru-baru ini.

Pendekatan harmoni

Menurutnya lagi, penaklukan Islam ke atas empayar besar dipelopori oleh ulama besar dan golongan bijak pandai dengan menggunakan pendekatan yang harmoni, bukannya berasaskan kekerasan atau keganasan.

“Berbeza dengan situasi hari ini, dalam banyak perkara umat Islam dijadikan sasaran dan mangsa.

“Antaranya dalam kes keganasan dikaitkan dengan umat Islam seperti Osama Laden, akhirnya rakyat Afghanistan yang menjadi sasaran dan perkara sama turut berlaku kepada penduduk di Syria dan Iraq.

“Lebih malang, umat Islam masih meminta bantuan keselamatan daripada kesatuan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedangkan hakikatnya tidak mungkin mereka dapat membantu.

“Ia selari dengan kata-kata diucapkan oleh Rabe’I Amir ketika bertemu Panglima Parsi mengenai tujuannya datang ke sana.

“Beliau kemudian menjawab bagi membawa daripada kezaliman dunia kepada keadilan Islam,” katanya.

Katanya lagi, ketokohan pahlawan perang silam yang bukan sahaja berani tetapi cekal dalam mempertahankan agama Allah SWT ini perlu diteladani masyarakat Islam masa kini.

“Apa yang dilakukan oleh sahabat seperti Khalid al-Walid dan Abu Ubaidah al-Jarrah wajar dijadikan acuan supaya melaluinya lahir lebih ramai pahlawan sehebat mereka.

“Jika kita masih beralasan, tokoh perang ini semuanya daripada negara Arab, maka mungkin kita terlupa ada pahlawan hebat, termasuk Salahuddin al Ayubi yang berasal daripada keturunan Kurdis.

“Kepahlawanannya terserlah apabila mampu menang dalam siri perang dengan puak Kristian dan dalam pertempuran Hittin,” katanya.

Pemerintahan berteras Islam

Salman turut menegaskan, satu-satunya jalan untuk mengembalikan keamanan khususnya dalam kalangan masyarakat di negara Islam yang sedang bergolak adalah mewujudkan semula pemerintahan yang sepenuhnya mengamalkan dan berteraskan Islam.

“Lihatlah, di sesetengah negara Arab sekarang, mereka terus dibelenggu kuasa Zionis.

“Perubahan penting yang perlu segera dilaksanakan dengan memastikan pentadbiran kembali bertukar tangan kepada umat Islam.

“Ini disebabkan kebanyakan negara Islam hari ini dikuasai golongan munafik, bahkan wujud lambakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yayasan yang bukan ditadbir dalam kalangan umat Islam tetapi oleh Israel,” katanya.

Beliau turut berkata, dalam isu pembebasan Masjid al-Aqsa, umat Islam diajak bukan sekadar bersatu tetapi turut menyumbang dalam memberikan tekanan kepada kuasa besar dunia supaya segera bertindak.

“Tekanan kepada kuasa besar ini perlu dibuat secara berterusan kerana hanya dengan cara ini mampu memberi kesedaran bagi pembebasan Masjid al-Aqsa dan Palestin.

“Ada banyak cara yang umat Islam boleh lakukan, lebih-lebih lagi kita akan memasuki musim haji tidak lama lagi,” katanya.

Dibelenggu sifat takut

Dalam acara sama, Salman turut menegur pemimpin kerajaan negara Islam supaya lebih lantang dalam menyuarakan pandangan membabitkan isu berkenaan.

“Masalahnya pemerintah di kebanyakan negara Islam masih dibelenggu sifat takut terhadap musuh Islam dan tekanan antarabangsa.

“Sepatutnya selain sokongan umat Islam, golongan pemerintah memainkan peranan lebih besar supaya suara dan kuasa yang kita ada juga didengari.

“Perkara ini perlu dilakukan secara bersama, bukan sebuah negara sahaja dibebankan untuk mendepaninya,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

ALLAH ampunkan dosa mereka yang letih mencari rezeki

Posted by epondok di Jun 28, 2019

Muhd Nasruddin Dasuki

 

“YA ALLAH, letihnya. Penat seharian siapkan kerja di pejabat hari ini. Belum lagi kerja yang sedang menunggu di rumah. Esok nak kena siapkan kerja lain pula.”

Kadangkala apabila terlalu penat, barangkali, ayat keluhan itu akan terpacul daripada bibir kita tanpa kita sedari.

Ya, memang penat bekerja kerana kita telah menggunakan tenaga dan buah fikiran kita hampir sepanjang hari.

Apatah lagi, terpaksa meredah kesesakan lalu lintas ketika pergi kerja dan balik ke rumah.

Pun begitu, janganlah kita mengeluh kerana sebenarnya penat lelah membanting tulang itu ada ganjaran pahala yang diberikan ALLAH SWT.

Ia bukan sekadar ganjaran mencari nafkah untuk keluarga semata-mata, bahkan ALLAH SWT juga akan mengampunkan dosa-dosa kita pada hari itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Riwayat at-Tabrani)

Sesungguhnya, ALLAH menyukai orang yang penat mencari rezeki yang halal kerana ia juga merupakan satu ibadah yang wajib selepas solat fardu.

Ada satu kisah tentang seorang lelaki yang sangat rajin bekerja ketika zaman Rasulullah SAW.

Baginda dan sahabat melihat kerajinan lelaki ini bekerja, lalu seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kerajinannya bekerja itu digunakan ke jalan ALLAH?”

Rasulullah SAW menjawab, “Apabila dia keluar mencari rezeki kerana anaknya yang masih kecil, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana kedua orang tuanya yang sudah berusia lanjut, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana dirinya sendiri supaya terjaga harga dirinya, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana riak dan kesombongan, maka dia di jalan syaitan.” (Riwayat al-Mundziri, at-Targhib wa at-Tarhib)

Subhanallah begitu besar ganjarannya buat mereka yang letih bekerja mencari rezeki yang halal dengan tulang empat kerat.

Semoga apa jua pekerjaan yang kita lakukan selama ini akan diterima oleh ALLAH dan melayakkan kita mendapatkan keampunan-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mengenali mimpi realiti dengan mimpi mainan syaitan

Posted by epondok di Jun 27, 2019

Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed

 

APABILA kita bercakap soal mimpi, para ulama sebenarnya membahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

1) Mimpi yang benar.

2) Mimpi mainan syaitan dengan tujuan untuk menakutkan atau menyedihkan anak Adam.

3) Mimpi yang terkesan daripada kehidupan nyata dan realiti manusia sehingga dibawa ke dalam tidur.

Mimpi yang benar merupakan khabar yang baik daripada ALLAH SWT, manakala mimpi daripada syaitan ialah mainan tidur yang didatangkan untuk tujuan menakut dan melemahkan iman anak Adam.

Pembahagian itu berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Mimpi terbahagi kepada tiga, berita gembira daripada ALLAH, bicara diri sendiri (benak fikiran) dan sesuatu yang menakutkan daripada syaitan. Jika seseorang bermimpi sesuatu yang disukai, maka ceritakanlah mimpi itu jika dia mahu dan apabila dia bermimpi sesuatu yang dibenci, maka jangan diceritakan, hendaklah dia bangun dan berdoa.” (Riwayat Ahmad).

Menurut riwayat yang lain, Rasulullah SAW menyarankan agar berta’awwuz (membaca A’uzubillah) apabila seseorang sedar daripada mimpi yang buruk.

Jelas, berdasarkan hadis di atas dan penerangan para ulama, wujudnya mimpi yang berbentuk petunjuk daripada ALLAH SWT di samping wujudnya mimpi mainan syaitan.

Namun begitu, tiada nas atau dalil yang jelas bagaimana cara membezakan antara mimpi yang benar atau mainan syaitan melainkan Rasulullah SAW yang mengetahui selok-belok takwil mimpi.

Bagaimanapun, terdapat perbincangan para ulama mengenai piawaian mengenali mimpi yang benar. Antaranya Sheikh al-Hasan al-Dudu, seorang ulama dari Mauritania merumuskan tiga tanda-tanda mimpi yang benar:

1) Mimpi yang tidak berlawanan dengan hukum syarak.

2) Mimpi yang dilihat tidak berlawanan dengan hukum logik akal.

3) Mimpi tersebut dapat diingati oleh orang yang bermimpi secara terperinci.Amalan sebelum tidur.

Selain itu, sebahagian ulama meletakkan tanda-tanda mimpi yang benar seperti seseorang yang sebelum tidurnya memenuhi tuntutan sunah-sunah Rasulullah SAW seperti berwuduk, berdoa, membaca tiga qul, berzikir, tidur di sisi kanan dan lain-lain lagi sepertimana yang disebutkan oleh Imam Ibn hajar dalam Fath al-Bari.

Sementara, mimpi mainan syaitan dapat dipastikan melalui perbezaannya dengan ciri-ciri mimpi yang benar sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama. Antaranya kejadian yang dilihat dalam mimpi berlaku secara tidak masuk akal seperti seseorang boleh bercakap di dalam air dengan suara yang jelas dan terbang di langit yang tinggi seperti adiwira.

Antara lain mimpi mainan syaitan, ia datang dalam bentuk jalan cerita yang agak serabut dan terlalu banyak jalannya sehingga sukar seseorang untuk mengingati kembali apabila sedar daripada tidur.

Adakah wujud amalan tertentu untuk menjauhkan diri daripada mimpi buruk? Terdapat amalan yang diamalkan oleh salah seorang isteri baginda SAW, Aisyah RA sepertimana yang dinukilkan dalam kitab al-Azkar.

Setiap kali hendak tidur, beliau membaca doa: “Ya ALLAH! Aku memohon pada-Mu mimpi yang soleh dan benar bukan mimpi yang dusta. Aku memohon pada-Mu mimpi yang bermanfaat bukan yang memudaratkan.”

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jangan lokek hulurkan bantuan

Posted by epondok di Jun 26, 2019

Muhd Nasruddin Dasuki

 

APABILA ada orang meminta bantuan, tiada salahnya untuk kita menghulurkan pertolongan mengikut kemampuan.

Islam juga amat menggalakkan umatnya supaya saling tolong-menolong jika ada sesiapa yang berada dalam kesusahan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai kenderaan yang melebihi daripada keperluannya sendiri, hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan, hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan. Selanjutnya baginda menyebut bermacam-macam lagi harta benda yang baginda teringat hingga kami lihat bahawasanya tidak ada seorang pun daripada kami yang benar-benar mempunyai kelebihan.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu sebenarnya memberikan motivasi kepada kita supaya jangan kedekut untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan.

Percayalah setiap kebaikan yang dilakukan itu pasti akan kembali kepada mereka yang melakukannya.

Mungkin pada hari ini kita menolong orang lain, namun pada saat kita memerlukan bantuan, ada orang lain yang barangkali tidak dikenali akan menghulur pula pertolongan pada kita

Apapun, kita perlu ingat bahawa bentuk bantuan itu bukan sekadar wang ringgit sahaja, tetapi juga boleh datang dalam bentuk fizikal ataupun doa.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, ALLAH SWT tidak akan menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan ALLAH melainkan akan diangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim)

​​Subhanallah begitu besarnya ganjaran yang dijanjikan ALLAH kepada mereka yang suka membantu orang lain.

Bukan sahaja harta mereka tidak akan dikurangkan, malah akan dilipat gandakan rezekinya daripada laluan yang tidak disangka-sangka.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jangan dedah dosa, aib sendiri

Posted by epondok di Jun 26, 2019

Oleh Nur Saadah Khair

 

Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Bagaimanapun Nabi Muhammad SAW mengingatkan dalam hadis: “Seorang Mukmin tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali.” (HR Bukhari dan Muslim).

Peringatan Nabawi itu bermaksud mereka yang beriman akan berusaha tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Iman bukan sekadar membawa erti percaya, sebaliknya mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota. Namun pada masa sama, lidah, hati dan semua anggota badan sebenarnya tidak terhalang daripada melakukan dosa. Ia menjadi ruang kepada manusia untuk sentiasa memohon keampunan jika melakukan dosa, tetapi kita diingatkan tidak mengulangi dosa yang sama.

Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW juga pernah ditegur secara langsung oleh Allah SWT seperti yang dirakam dalam surah ‘Abasa. Baginda juga menunjukkan contoh yang baik kepada umatnya apabila sentiasa memohon keampunan dan menggesa untuk sentiasa memperbanyakkan istighfar serta taubat.

Salah satu doa yang digalakkan pada Ramadan lalu ialah ‘Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mulia dan Engkau suka mengampuni, maka ampunilah aku.’ (HR Tirmizi) Malah, doa ini juga perlu diteruskan pada bulan lain selepas Ramadan.

Malah, bermaaf-maafan juga tidak semestinya berlaku pada Syawal sahaja. Kita digalakkan untuk sering memohon maaf jika melakukan kesilapan sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ada kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang kerana sesungguhnya di sana tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran (yang ada hanya) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya. (HR Bukhari)

Saling bermaafan

Hadis ini menunjukkan memohon kemaafan sesama manusia sama pentingnya dengan memohon keampunan Tuhan. Ia tidak akan selesai hanya memohon keampunan Tuhan tanpa memohon maaf daripada sanak-saudara dan kenalan yang pernah kita sakiti sama ada dengan sengaja mahupun tidak sengaja.

Kita juga digalak sentiasa memaafkan. Walaupun sukar, saling bermaafan tidak menjadikan kita hina, bahkan kita lebih mulia.

Namun, Nabi SAW pernah berpesan, walaupun setiap kita tidak lari daripada melakukan dosa, ia tidak bermakna kita dibenar untuk mendedahkan dosa yang pernah dilakukan sama ada secara senyap atau terbuka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: “Rasulullah SAW bersabda; setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka. Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah SWT menutupi baginya, sedangkan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang lain): “Saya melakukan dosa itu dan dosa tadi malam tadi, sedangkan Allah SWT menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah SWT menutupinya, tetapi pada waktu pagi ia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri. (HR Bukhari dan Muslim)

Mengakui kesalahan adalah perlu kerana ia memberi makna mendalam ketika kita memohon kemaafan. Ia juga membantu kita untuk lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Namun, menguar-uarkan secara umum bahawa kita melakukan sesuatu dosa atau kesalahan tidak digalakkan kerana ia membuka aib diri sendiri serta aib orang lain yang terbabit sama.

Sadisnya, masih ramai suka mendedahkan dosa sendiri dengan alasan manusia tidak lari daripada melakukan dosa. Dosa bukan untuk ditayang atau diumum secara terbuka kerana pintu taubat sentiasa terbuka bagi mereka yang menyesali dosa dan kesilapan.

Rasulullah SAW berkata: “Dosa itu adalah apa yang tidak enak di hatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim). Ia berkait rapat dengan soal malu dan aib yang perlu dijaga.

Sebagai peringatan untuk kita yang tidak lepas daripada melakukan dosa, sentiasa perbanyakkan taubat dan memohon keampunan Allah SWT serta memohon kemaafan sesama manusia dan saling menutup aib serta menjaga kehormatan sesama kita.

Nabi SAW berpesan: “Sesiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ulama tidak boleh bergantung pada pemerintah, tegas menasihati

Posted by epondok di Jun 25, 2019

Oleh Nazmi Yaakub

 

GOLONGAN ulama dan ilmuwan sering mendapat peringatan tegas daripada merapati pemerintah serta penguasa, sekali gus diberikan amaran keras supaya tidak dikuasai kelompok berkenaan.

Ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam menyambung warisan amanah Rasulullah SAW untuk menegakkan agama dan menjaga kemaslahatan ummah.

Rasulullah SAW bersabda: Ulama ialah kepercayaan rasul dalam menjaga hamba Allah selagi mereka tidak bergaul dengan penguasa. Namun sekiranya mereka bergaul dan berbuat demikian, sesungguhnya mereka berlaku khianat kepada rasul serta hamba Allah, maka takut dan hindarilah mereka. (HR Dailami)

Tugas dan tanggungjawab itu menyebabkan mereka diiktiraf oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai pewaris rasul dan nabi yang tidak mewariskan dinar, sebaliknya ilmu yang mengenalkan manusia kepada Allah SWT dan menjamin kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.

Dalam kitab Nasa’ihul ‘Ibad karya Sheikh Nawawi al-Bantani, ulama besar alam Melayu itu membawa kisah ahli sufi di Balkh dan Nishapur di Asia Tengah, iaitu Yahya Mu’adz al-Razi yang melihat seorang ulama zahir dalam kalangan ahli fiqh bersenang-lenang menikmati kemewahan dunia.

Lalu, Yahya membandingkan 10 kemewahan yang diterima dan ditonjolkan dengan apa yang pernah dilimpahkan kepada raja kerajaan zaman silam serta pemerintah semasa yang tenggelam dalam kemewahan.

“Wahai pemilik ilmu yang memahami sunnah (Rasulullah SAW), sesungguhnya istanamu melambangkan kaisar Romawi dan rumahmu simbol kepada kediaman kisra Raja Parsi, manakala tempat tinggalmu seperti milik Qarun.

“Pintumu ibarat pintu Thalut; pakaianmu seperti persalinan Jalut dan cara berfikirmu melambangkan pemikiran syaitan.

“Benda yang kau miliki seperti apa yang dipakai Marwan ibnu Hakam (pemerintah Syam dalam kerajaan Umawiyah) dan kekuasaanmu menunjukkan kekuasaan Firaun,” katanya.

Yahya berkata, hakim yang membantu ulama itu sering melakukan pencerobohan, menerima rasuah dan melakukan khianat, manakala pemimpinnya hidup dalam seperti jahiliah, sekali gus mempersoalkan di manakah cara hidup yang diteladani kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, peringatan tegas dan amaran keras terhadap ulama itu bukan menghalang mereka daripada berhubung dan bergaul dengan pemerintah secara mutlak.

Maulana Jalaluddin Rumi dalam kitabnya Fihi Ma Fihi, mengulas hadis Nabawi mengenai ulama paling buruk ialah ilmuwan yang mengunjungi raja, manakala sultan paling baik adalah yang menziarahi ulama.

Tokoh sufi agung itu memperbetulkan kefahaman zahir sebahagian orang yang menganggap ulama tidak boleh sekali-kali mengunjungi raja demi mengelak daripada digelar ilmuwan paling buruk.

“Ia bukanlah makna sebenar, sebaliknya ulama paling buruk ialah mereka yang bergantung hidup kepada pemerintah hingga menyebabkan seluruh hidup berlegar dan bertujuan untuk mendapatkan perhatian serta kesenangan.

“Ilmuwan sebegitu menjadikan pendidikannya sebagai batu loncatan untuk penguasa menganugerahkan hadiah, penghormatan dan jawatan tinggi.

“Oleh itu, mereka akan memperbaiki dan mengejar ilmu demi penguasa, sekali gus menjadi ulama yang takut akan pemerintah dan meletakkan diri di bawah penguasaan mereka,” tulisnya.

Oleh itu Maulana Rumi mengingatkan sama ada golongan ulama sebegitu mengunjungi penguasa atau dikunjungi pemerintah, maka hakikatnya mereka ialah tetamu, manakala raja pula menjadi tuan rumah.

Beliau menegaskan sekiranya golongan berilmu tidak menambah keilmuan untuk menarik perhatian penguasa, sebaliknya mengejar ilmu dari awal hingga akhir demi kebenaran, mereka meletakkan diri di bawah penguasaan dan tujuan yang ditetapkan Allah SWT.

“Ulama sebegini diberkati dengan bimbingan daripada rasul, manakala setiap orang yang hidup pada masanya pasti akan tersentuh dan mendapat inspirasi daripada teladan mereka.

“Sekiranya ulama terbabit terpaksa mengunjungi raja atau penguasa, hakikatnya orang berilmu itu yang sebenar dikunjungi, manakala pemerintah tetap menjadi seperti tetamu.

“Ini kerana dalam setiap keadaan, raja atau penguasa itu mengambil sesuatu dan menerima bantuan (keilmuan dan barakah) daripada ulama yang bersifat bebas,” tegasnya.

Maulana Rumi mengumpamakan ulama sebegini seperti matahari menyinari cahaya yang mengubah batu menjadi delima dan akik, menukar gunung kepada lombong tembaga, emas, perak serta besi, selain menyegar dan menghijaukan bumi dan menghangatkan kedinginan.

“Ulama sebegini akan sentiasa memberi dan tidak pernah menerima. Pepatah Arab menyebut ‘kita menambah ilmu dengan tujuan untuk memberi sesuatu, bukannya untuk mengambil sesuatu,” tulisnya.

Tidak hairanlah dalam sejarah tradisi ilmu Islam, kita melihat ramai ulama hebat yang menjauhi atau tidak terpengaruh dengan penguasa tetapi pada masa sama, ada yang menerima tanggungjawab daripada pemerintah.

Bagaimanapun, ulama hakiki bukan sahaja tidak tunduk kepada kehendak mutlak pemerintah, bahkan mereka berani menasihati dan menegur sekiranya apa yang dilakukan tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta menjejaskan kepentingan rakyat.

Ia tidak bermakna ulama perlu bermusuhan dengan pemerintah secara mutlak, sebaliknya menjadi penasihat dan pembimbing kepada penguasa dalam mentadbir serta menjalankan amanah pemerintahan yang diberikan oleh Allah SWT.

Hubungan ulama dengan penguasa adalah seperti tuan rumah yang memiliki segala-galanya dan tetamu yang memerlukan banyak perkara seperti disyarahkan Maulana Rumi itu.

Justeru, ulama hakiki akan menempatkan diri mereka seperti tuan rumah yang tidak bergantung kepada mana-mana tetamunya, sebaliknya sentiasa memberikan sesuatu kepada tetamunya hingga pulang ke rumah mereka dengan jiwa yang tenang dan bahagia.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Pondok Pusat Pemulihan

Posted by epondok di Jun 24, 2019

Kelantan

1. Baitul Taubat, Pondok Islah Diri

Jalan Jeram Pasu, Padang Pak Amat,

16800 Pasir Puteh, Kelantan

Tel. 09-9776566 / 014-8046556

 

Terengganu

1. Pondok Kg Kubang Ikan, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu

Us Adam 0199367768

 

 

Kedah

1. Pondok Remaja Inabah (1) Malaysia, ‘Jabal Suf’,

Kampung Paya, Mukim Padang Temak, 06300, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman, 047823996/ 047822695

Pengetua: Almukarrom Pak Guru Hj. Mohd Zuki As-Syuja’ bin Shafie ADK.,BKM
P/a : Drs. Ustaz. Mohd Zaki Hashim.
Ketua Tadbir : Puan Intan Sakinah

 

Selangor 

 

  1. Pondok Bustanul Arifin,Kampung Labuhan Dagang, Banting, Selangor

Us Sahar 01111567543

Tel : 019-338 8239 / 014-641 6369

Atau

(Muslimin) – Wak Janggut : 013-2088272

(Muslimat) – Umi Zainab : 013-2686551

Posted in Pondok Malaysia, Pusat Pemulihan | 67 Comments »

Jangan abai akidah untuk dunia

Posted by epondok di Jun 23, 2019

Oleh Shafiq Salleh

 

Hukum halal haram bertujuan menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri dan menyediakan peradaban yang tinggi nilainya. Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan halal haram tanda cinta Allah kepada manusia.

Islam terbit daripada dua perkataan iaitu ‘aslama’ yang bermaksud menyerah diri dan ‘salam’. Manusia beragama Islam akan terus taat pada perintah Allah SWT dan menyerahkan diri kepada-Nya, sesuai dengan maksud Islam itu agama selamat untuk setiap individu Muslim.

Kalimah syahadah yang diucapkan menyaksikan bahawa pendirian umat Islam itu teguh dan patuh pada ALLAH SWT mengikut syariat Islam.

Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan tajuk ‘Halal haram tanda cinta Allah pada manusia’ berkata, Islam agama yang membimbing kepada cara hidup betul (way of life) dari setiap aspek kehidupan. Malah ia memberi mesej pengisian meliputi hukum, patuh, taat dan tunduk.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)

Istilah halal merujuk kepada perkataan ‘halla’ bermaksud merungkai dan melepaskan. Kalimah haram merujuk perkataan (mamnu’) yang membawa maksud hormat. Hukum halal dan haram dalam Islam bertujuan menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri dan menyediakan sebuah peradaban yang tinggi nilainya.

Agama Islam mempunyai sistem dan rukun tertentu berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, Islam agama lengkap dan menyeluruh serta sesuai untuk kehidupan manusia tidak mengira bangsa mahupun keturunan walau di tempat berbeza.

Menjaga nasab, keturunan

Hukum halal dan haram turut mempengaruhi penjagaan harta benda. Contohnya, Allah SWT menjaga kehormatan manusia melalui harta benda mereka dengan mengharamkan amalan riba dalam sistem jual beli supaya harta tidak mudah diambil oleh orang lain tanpa mengikut syarat tertentu.

Selain itu, kepentingan halal dan haram juga untuk menjaga nasab dan keturunan supaya manusia tidak terjebak perlakuan zina yang menjerumuskan kepada kehinaan dan mengundang balasan dosa daripada Allah SWT. Apabila kaedah halal dan haram diutamakan, maka akal manusia turut terpelihara daripada perkara merosakkan kewarasan fikiran seperti minuman keras.

Umat Islam tidak perlu risau dan terbeban dengan istilah haram kerana Allah SWT mengetahui apa yang terbaik untuk umat-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah rahmat-Nya kepada orang yang beriman (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Ahzab, ayat 43)

Oleh itu, perkara buruk yang berlaku kepada manusia seperti fitnah, mengumpat dan menjatuhkan maruah sesama Muslim amat ditegah dalam agama Islam untuk menjaga kehormatan sesama insan.

Kasih sayang Allah SWT kepada umatnya amat jelas dan nyata tanpa mengira harta, pangkat atau darjat. Justeru, umat Islam perlu terus istiqamah bertakwa kepada Allah SWT dengan sesungguhnya serta sentiasa bermuhasabah diri.

Tidak gadai akidah kerana habuan dunia

Mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup menggadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan di hari akhirat. Mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Allah SWT mengingatkan umat Islam dalam firman yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Surah al-An’am, ayat 160)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Usah kejar kemuliaan, guna tipu daya

Posted by epondok di Jun 22, 2019

Oleh Zamri Hashim

 

Umat Islam tidak sepatutnya terkinja-kinja memburu kemuliaan yang tidak mengikut piawai Islam hingga melanggar batas syarak demi mencapai cita-cita meraih kemuliaan. Ini menunjukkan dalam memberikan makna kemuliaan itu sendiri, ramai dalam kalangan Muslim yang masih keliru.

Menariknya al-Quran memperincikan makna kemuliaan, cara untuk meraihnya, sekali gus memberi amaran agar tidak mencari kemuliaan dengan tipu daya.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.” (Fatir: 10)

Firman Allah lagi: “Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang beriman; akan tetapi golongan munafik itu tidak mengetahui (hakikat sebenarnya). (Al-Munafiqun: 8)

Dua ayat itu jelas merujuk Allah SWT ialah sumber kemuliaan. Rasul dan orang beriman lebih utama terlebih dahulu mendapat kemuliaan kerana ketaatan mereka kepada Allah SWT. Merujuk kemuliaan kepada piawai lain tanpa dirujuk semula kepada piawaian Allah SWT adalah satu kesilapan.

Ayat dalam surah Fatir itu jelas memberi panduan kepada kita mengenai cara mendapat kemuliaan menurut piawaian Allah SWT adalah memperjuangkan kalimah toyibah, iaitu ‘tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.’ Walaupun ada ahli tafsir yang merekodkan kalimah tertentu berbentuk zikir dimaknakan sebagai segala perkataan baik, kalimah toyibah yang juga iqrar ketuhanan hanya mutlak milik Allah SWT, adalah yang paling utama kerana pemahaman terhadap kalimah itu membentuk falsafah kehidupan yang tersendiri.

Ia sangat dimusuhi falsafah yang mempertuhankan hawa nafsu. Memperjuangkan falsafah kehidupan yang bersumberkan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah adalah satu kemuliaan. Mencari kemuliaan melalui sistem lain adalah satu kehinaan apabila menolak aturan Allah SWT.

Kemuliaan tidak mampu diraih pejuang yang hanya kaya dengan idea dan teori yang terawang-awang tanpa mampu dilaksanakan secara realistik. Ayat berkenaan juga menegaskan amal soleh yang diterima Allah SWT yang akan menjulang pelakunya mendapat kemuliaan daripada-Nya.

Ayat itu juga memberi amaran kepada pemburu kemuliaan dengan cara tipu daya bahawa mereka sedang ditunggu azab Allah SWT yang maha pedih dan tipu daya mereka akan binasa.

Dalam masyarakat kita, menggunakan tipu daya untuk meraih sesuatu yang mereka sangka mulia itu sering juga berlaku. Ada orang sanggup menipu untuk mendapatkan kedudukan tinggi. Ada orang sanggup menfitnah untuk menjatuhkan pesaing. Ada orang sanggup merasuah untuk kekal kaya kerana menganggap ia kemuliaan dan berbagai cara tipu daya lagi.

Kesimpulannya, apa juga kemuliaan yang bercanggah dengan syariat Allah SWT ataupun cara mendapatkan kemuliaan itu melanggar hukum-hakam Allah penuh makar dan tipu daya, maka hakikatnya ia bukan kemuliaan bahkan ia adalah satu kehinaan.

Posted in Artikel Pilihan, Fokus Isu | Leave a Comment »