Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mencari Lailatul Qadr

Posted by epondok di Mei 24, 2019


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatul qadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar” (Surah al-Qadr, ayat 1-5).

Tajuk perbincangan utama yang sering di kalangan umat Islam  pada bulan Ramadan adalah pencarian Lailatul Qadr. Justeru,  Rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMFM setiap Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin tidak ketinggalan berkongsi ilmu berkaitan anugerah yang utama sebagai tanda kasih Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Beliau memulakan bicara tentang menghayati pengertian al-Qadar itu. Dengan ayat diatas dapat kita fahami bahawa lailatul qadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah SWT serta pada malam tersebutlah juga Allah SWT akan menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah pada malam tersebut.

Malam itu Allah SWT mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah SWT yang dikhaskan untuk malam ini. Selain itu, al-Qadr juga membawa maksud “penetapan”. Oleh itu, Lailatul qadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan hambaNya yang bakal berlaku pada tahun berikutnya.

Allah SWT telah menjanjikan bahawa sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dan menepati malam lailatul qadar, maka akan diberi ganjaran pahala amalan mereka itu melebihi ibadah yang dilakukan selama 1,000 bulan.

Justeru  ini merupakan satu anugerah yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Hanya tinggal kurang seminggu kini untuk umat Islam mengejar gandaan pahala yang dijanjikan Allah kepada mereka yang benar-benar ikhlas beribadah sepanjang Ramadhan tahun ini.  Belum tentu kita akan menemui Ramadan yang seterusnya. Maka setiap orang Islam yang beriman pastinya berusaha mencari LailatulQadar kerana keistimewaan yang terdapat pada malam tersebut. Jika dihitung, seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan. Ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang.

Ia secara jelas menunjukkan bahawa keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya. Bayangkan, apabila anda beramal pada malam itu. Satu amalan kebaikan Allah SWT gandakan pahalanya menyamai beramal lebih dari 1000 bulan, lebih dari 83 tahun dan 4 bulan. Mana mungkin seorang hamba dengan usaha biasa mampu beramal tanpa henti selama 83 tahun? Itupun sekiranya usianya sampai ke 83 tahun. Jika dibandingkan dengan hayat umat para Nabi sebelum Nabi Muhammad SAW adalah sangat panjang hingga ada yang beratus tahun umurnya, berbeza dengan umat ini yang hidup sekitar 70-80 tahun sahaja kebiasaannya. Walaupun begitu kerana kasihnya Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SA, kita tetap diberi ganjaran amal seumpama mereka yang hidup dan beramal sebegitu lama.

Disebabkan itu, untuk meraih pahala yang berlipat kali ganda di penghujung Ramadhan penuh rahmat ini maka kita harus menzahirkan rasa syukur kepada Allah dengan mengambil kesempatan dan nikmat yang dikurniakan dengan melaksanakan ibadah wajib dengan terbaik dan melipatgandakan ibadah-ibadah sunat dalam mencari dan merebut malam lailatul qadar.

Dalam mencari malam lailatul qadr, Ustaz Muhamad memberitahu ianya adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar.  Rasulullah Sallallahu alaihiwassalam  menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah Sallallahu alaihiwassalam bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).

Pendapat penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar di kalangan para ulama menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan. Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah SAW (Adalah Rasulullah apabila memasuki sepuluh terakhir Ramadhan, menghidupkan seluruh malam, menggerakkan kaum keluarganya malam hari untuk beribadah, tekun beramal dan mengikat kain (iaitu tidak mengauli isteri-isterinya). (Riwayat Muslim)

Juga turut diriwayatkan daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 malam akhir Ramadan.” (Hadis sahih riwayat Bukhari) Kedua-dua hadis ini menjadi panduan dan sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar bermula dari maghrib sampailah ke waktu subuh dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam-malam akhir bulan Ramadhan ini. Hikmah malam penuh berkat itu dirahsiakan supaya setiap orang Islam bersungguh-sungguh menghayati 10 malam terakhir Ramadan dengan amal ibadat dan memberi pengharapan yang tinggi kepada Allah supaya dapat bertemu malam berkenaan seterusnya beroleh kebaikan dan penghapusan dosa sebagaimana hadis:

Daripada Abu Hurairah RA Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “…sesiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai ibadat lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya dia diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis Bukhari)

Ibadat yang dimaksudkan dilipatgandakan pada malam tersebut adalah termasuk membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu kepercayaan dan keyakinan benarnya keistimewaan Lailatul Qadar yang mulia itu. Berdoalah agar Allah SWT agar direzekikan bertemu malam tersebut dengan segala rahmatnya dan Pergunakanlah sebaiknya malam dimana mustajabnya doa seorang hamba yang ikhlas beribadah dan mengharap kepada Tuhannya.

Marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir ramadhan dengan beribadat kepada allah swt dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dapat kurniaan allah yang kelebihannya pahalanya melebihi – 1000 bulan atau 83 tahun umur kita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: