Pendekatan dalam proses pengilmuan dan pendidikan umpamanya menjadikan pelajar berpengetahuan, bermaklumat dan berkemahiran tetapi tanpa etika, amalan jadi sumbang. Ia menyebabkan aplikasi ilmu dan maklumat tidak dalam kerangka ihsan (kebaikan) dan menyebabkan warga kita kehilangan adab. Kehilangan adab difahamkan sebagai ilmu yang dipelajari adalah silap dan melahirkan kepimpinan dan kepengikutan yang silap juga.

Akar sebab dari kehilangan adab ini akibat ilmu yang benar dan bermanfaat tidak diajarkan kepada generasi penerus. Ia menyebabkan disiplin ilmu tidak berkembang, disiplin kalbu tidak menghubungkan diri dengan Pencipta dan menyebabkan disiplin amal tidak terjadi.

Natijah akhir daripada kehilangan adab ini menghasilkan manusia yang tidak peduli tentang makna kebenaran dan keadilan, amanah dan kesantunan menyebabkan emosi dan nafsu jadi meluap-luap. Terdapat setengah netizen dalam sosial media tidak menggunakan adab berilmu dan adab beragama memaki hamun dengan kata-kata kesat dan jelik bila melakukan respon terhadap sesuatu isu. Budaya orang-orang yang beradab tidak sifatnya sedemikian. Ia mencerminkan gelagat buruk dalam melakukan komunikasi dan menyebabkan krisis kemanusiaan bertambah parah.

Teknologi selamanya alat dan bukannya matlamat. Teknologi internet umpamanya memudahkan pengguna mendapat pelbagai macam maklumat. Ada maklumat yang baik dan ada maklumat yang merosakkan pemikiran pengguna. Pengguna memerlukan etika yang lebih manusiawi supaya komunikasi sesama manusia berjalan secara orang beradab.

Penguasaan dan pengagihan sumber ekonomi merupakan gejala lain yang menyebabkan ketidakseimbangan terjadi. Para peniaga umpamanya hanya mementingkan keuntungan yang maksimum dengan melakukan eksploitasi. Perniagaan tidak dilihat sebagai sumbangan membantu di kalangan pengguna yang memiliki kuasa beli yang rendah.

Akhirnya pengguna merasakan ketidakadilan terjadi dan eksploitasi membudaya. Akar sebabnya ialah dorongan amalan monopoli dan eksploitasi atas dukungan tamak tanpa pertimbangan ihsan sesama manusia. Dalam tradisi Islam umpamanya maksud akhir perniagaan ialah mendapat barakah. Penjual tetap mendapat untung yang berpatutan dan pembeli merasakan bahawa keadilan terjadi.

Lebih-lebih lagi melihat kerenah politik semasa hanya menang-kalah dalam sesuatu pertarungan menjadi fokus dan menyebabkan hubungan kemasyarakatan dalam krisis dan amat payah untuk dileraikan. Gejala ini kelihatan semakin parah dan menyebabkan masyarakat terbelah dua. Berpolitik menuntut adab berbeza pandangan tetapi sifatnya harus menyumbang kepada pembangunan negara. Yang salah tetap salah dan yang benar harus dikatakan benar walaupun dari musuh politik. Menegakkan kebenaran adalah suatu amanah bukan didorong oleh rasa dendam dan kebencian kerana ianya menyalahi etika dan agama.

Justeru amat penting masyarakat kembali kepada menghayati roh ilmu yang memandu manusia menjadikan fakta dan kebenaran sebagai sumber rujukan bukannya emosi dan prasangka yang melulu supaya kita tidak melampaui batas. Sikap melampaui batas dalam pemikiran, emosi dan perbuatan tidak membantu membentuk persefahaman sesama manusia sebaliknya menimbulkan rasa kebencian yang menyebabkan masyarakat hilang pertimbangan amanah dan keadilan.

Amanah dan keadilan boleh terjadi sekiranya ilmu dan pendidikan menjadi suluh dalam kehidupan. Ilmu yang berasaskan etika dan nilai-nilai murni agama menjadikan seseorang itu bertakwa. Jiwa muttaqeen ini amat penting dimiliki oleh manusia supaya pertimbangan tentang adanya Allah menyebabkan amalan manusia terkawal. Sesuatu yang dikata, diniatkan apalagi diamalkan mengambil pertimbangan Allah mengetahui akan segalanya dan ianya menjadi disiplin untuk mengawal perbuatan manusia.

Masa kini kesedaran dosa-pahala, makruf-mungkar, hak dan batil dalam kalangan manusia hatta orang beragama semakin tiris. Bayangkan kalau netizen mempunyai sikap melampau, peniaga hanya memikirkan keuntungan maksimum, ilmu yang silap diajarkan kepada generasi penerus, sikap ahli politik yang hanya mementingkan kuasa dan dominasi ianya tidak menjadi pertanda baik ke arah masyarakat yang beretika dan beradab. Jauh sekali ia mampu menghasilkan sebuah masyarakat sejahtera dan mempunyai kualiti manusiawi yang tinggi. Inilah cabaran hidup manusia akhir zaman yang hanya menjadikan ego dan kuasa sebagai penentuan akhir tanpa menginsafi bahawa natijah akhir dari kecenderungan ini bakal membawa malapetaka dalam kehidupan manusia.

PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA