Hari ini masuk hari ke-11umat Islam melaksanakan ibadah puasa. Mungkin ada dalam kalangan kita sedang berusaha meningkatkan amal ibadat masing-masing agar matlamat takwa yang ditentukan dalam ibadah puasa mampu dicapai. Baki 18 hari lagi pasti akan dipenuhi dengan amalan-amalan sunat yang menjadi kelaziman umat Islam melakukannya sepanjang Ramadan.

Antara amalan yang biasa dilakukan ialah membaca al-Quran. Sesuai dengan bulan Ramadan sebagai bulan al-Quran seperti mana disebut dalam surah al-Baqarah ayat 185, sewajarnya umat Islam memperbanyakkan lagi membaca kitab suci ini.

Alangkah ruginya jika kita tidak membaca al-Quran sepanjang bulan ini. Kita biarkan mushaf berhabuk tanpa disentuh. Kita biarkan Ramadan berlalu tanpa langsung menatap mesej dan pesanan Allah melalui 114 surah.

Jangan begitu. Ambillah peluang dengan kedatangan Ramadan ini dengan membaca al-Quran semampu yang boleh. Jika tidak dapat satu juzuk sekalipun sekurang-kurangnya satu muka atau setengah muka satu hari, itu pun sudah cukup memadai. Tunjukkan komitmen bahawa kita mahu membaca al-Quran.

Boleh juga sertai mana-mana kumpulan tadarus sama ada di masjid atau surau. Yang penting amalan membaca al-Quran jangan sesekali ditinggalkan. Sekiranya ada masa terluang bacalah juga terjemahan dan tafsiran bagi memudahkan pemahaman kita terhadap ayat-ayat suci al-Quran. Dengan melakukan tadabbur terhadap ayat-ayat al-Quran ini kita mampu memahaminya, menangkap makna-maknanya, hukum-hukumnya dan maksud yang dikehendakinya. Sesungguhnya al-Quran adalah kitab yang dipermudahkan demi menjadi petunjuk kepada umat manusia.

Dalam pada itu bagi mereka yang berkemampuan digalakkan khatam 30 juzuk al-Quran pada Ramadan ini. Mengkhatam al-Quran pada bulan Ramadan adalah amalan para sahabat, ulama dan solihin.

Malah Rasulullah SAW sendiri dalam bulan Ramadan akan mengkhatamkan al-Quran di hadapan malaikat Jibril sekali setiap tahun. Bagaimanapun, pada tahun kewafatan baginda, Rasulullah khatam sebanyak dua kali. Perkara itu disebut dalam hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Diberitakan Imam Muhammad bin Idris as-Syafie atau dikenali dengan nama Imam As-Syafie khatam membaca al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang bulan Ramadan. Perkara ini direkodkan oleh Imam al-Zahabi di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala.

Imam Ahmad pula menceritakan bagaimana Ata’ ibn al-Sa’ib, seorang sarjana hadis yang ulung sentiasa khatam bacaan al-Qurannya sekali setiap hari dalam bulan Ramadan.

Salam ibn Abi Muti’ pula menggambarkan kehidupan Qatadah, seorang ulama tafsir di zaman beliau. Qatadah dikatakan sentiasa menghabiskan bacaan al-Qurannya setiap minggu. Apabila datang Ramadan, beliau akan khatam sekali setiap tiga hari. Namun apabila tiba malam 10 yang terakhir, beliau akan khatam bacaan al-Quran sekali sehari.

Imam Sufyan al-Thauri dan Imam Malik juga diriwayatkan akan menghentikan pengajian hadis mereka dan mengkhususkan kepada bacaan al-Quran apabila tiba bulan Ramadan. Diharap kisah kehebatan mereka ini mampu menjadi inspirasi kepada kita untuk khatam sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan yang mulia ini.