Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 Mei 2019

Pelihara kelakuan perkataan, elak puasa sia-sia

Posted by epondok di Mei 12, 2019

Oleh Nazmi Yaakub

 

BURUNG seperti analogi Maulana Jalaluddin Rumi dalam Mathnawi tidak mungkin dapat terbang dengan hanya sebelah sayap, sebaliknya memerlukan kedua-dua belah kepak.

Begitu juga setiap amalan dalam Islam tidak hanya dijaga dalam aspek zahir atau tatacara fiqh, sebaliknya perkara batin perlu dititikberatkan, iaitu dalam perspektif tasawuf.

Bertepatan dengan puasa Ramadan yang mula ditunaikan oleh umat Islam di negara ini, kedua-dua aspek fiqh dan tasawuf perlu diberikan perhatian.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya terhadap realiti ramai Muslim yang berpuasa tetapi hanya memperoleh lapar dan dahaga atau tidak dikira di sisi Allah SWT.

Ini kerana puasa yang dilakukan menepati takrifnya, iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari dan disertai niat tetapi tidak memenuhi hakikat berpuasa.

Abu Ubaidah RA berkata Rasulullah SAW bersabda: Puasa ialah perisai selagi seseorang itu tidak memecahkannya. (HR Nasa’i dan Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Nabi SAW menjelaskan perkara yang boleh memecahkan perisai puasa ialah berdusta dan mengumpat.

Sebagai umat akhir zaman, kita berada dalam keadaan yang lebih mencabar hingga bersendirian di dalam bilik pun boleh melakukan dosa berdusta, mengumpat atau melemparkan tuduhan dan fitnah.

Sekiranya orang dahulu boleh mengelakkan dosa terbabit dengan duduk berkhalwat sendirian, kita dengan kemudahan teknologi maklumat boleh melakukan pembohongan, menyebut keburukan orang lain atau membuat tuduhan palsu dan fitnah meskipun berada dalam bilik paling gelap.

Justeru, berpuasa bukan hanya menjaga diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkannya secara fizikal kerana ia mudah.

Sebaliknya lebih penting lagi adalah memelihara puasa daripada perbuatan dan perkataan yang bukan sahaja mengurangkan pahala, bahkan ‘membatalkan’ makna serta falsafah puasa.

Kita wajar memberi perhatian kepada klasifikasi puasa yang dibuat oleh Imam al-Ghazali dalam magnum opusnya, Ihya’ Ulumuddin.

Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tingkat, iaitu awam, khusus dan paling khusus.

Puasa orang awam yang dijadikan tingkat paling rendah oleh Imam al-Ghazali adalah hanya menahan perut dan kemaluan daripada kehendak syahwat.

Puasa khusus pula menahan pancaindera dan anggota badan daripada perbuatan dosa sedangkan tingkat tertinggi pula adalah memelihara hati daripada kehinaan, pemikiran keduniaan atau apa-apa selain Allah SWT.

Memang diakui puasa tingkat tertinggi ialah amalan kekasih Allah tetapi puasa tingkat kedua perlu dijadikan sasaran realistik oleh kita secara umumnya.

Ramadan 1440 Hijrah ini wajar dijadikan titik permulaan untuk kita berpindah daripada puasa awam kepada puasa khusus dengan menjadikan seluruh pancaindera dan anggota tubuh termasuk ‘jari’ yang banyak berbicara di media sosial turut sama berpuasa.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »