Sementara, puasa dari segi syara’ pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Sejarah Pensyariatan Puasa

Puasa bulan Ramadan difardhukan pada bulan Syaban tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ibadah puasa telah diamalkan dalam kalangan umat terdahulu dan ahli kitab sezaman dengan Nabi SAW. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. (Surah al-Baqarah: 183)

Akan tetapi, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat-umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian, umat Nabi Muhammad SAW secara khususnya telah difardukan puasa pada bulan Ramadan.

Dalil Pensyariatan Puasa pada Bulan Ramadan

Dalil difardukan puasa pada bulan Ramadan ialah firman Allah SWT bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu”. (Surah al-Baqarah: 185)

Dalil seterusnya berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Islam dibina atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah, dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji, dan puasa di bulan Ramadan.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis seterusnya, Rasulullah SAW bersabda kepada seorang Badwi yang bertanya kepadanya: “Beritahulah aku, apakah puasa yang Allah wajibkan ke atasku? Baginda menjawab: Puasa Ramadan.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hukum Meninggalkan Puasa Pada Bulan Ramadan Tanpa Keuzuran

Puasa Ramadan adalah salah satu daripada Rukun Islam dan perkara fardu dalam agama yang mesti diketahui. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipannya, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad.

Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama.

Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasiq. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja.

Hikmah Puasa

Puasa pada bulan Ramadan adalah ibadah yang difardukan oleh Allah. Puasa bermaksud, setiap orang Islam yang melakukannya kerana mematuhi perintah Allah SWT dan melaksanakan tanggungjawab keimanan kepadanya tanpa memandang sebarang kemungkinan yang berlaku sebagai natijah daripada ibadah tersebut.

Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi sesiapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahsia Ilahi yang tersembunyi di dalam ibadah yang lain. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahsia dan faedah untuk hamba-hambanya, namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya itu.

Ibadah puasa mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang, tetapi banyak lagi yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka. Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

Pertama: Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Ini kerana orang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian waktu siangnya.

Nafsunya yang ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ia mengingati Allah dan kekuasaan-Nya.

Kedua: Bulan Ramadan merupakan bulan yang suci. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.

Ketiga: Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

Keempat: Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan.

Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin.