Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Mei 2019

Perintah mencerap anak bulan, tanda kebesaran Tuhan

Posted by epondok di Mei 5, 2019

RAMADAN yang bakal menjengah, hadir dengan keberkatan dan kebaikan kepada umat manusia. Inilah bulan menawarkan pengampunan Allah SWT secara besar-besaran, sekali gus mendorong kita berbuat baik kepada manusia lain.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Sekiranya ayat perintah berpuasa dimulakan dengan memanggil orang beriman, penentuan tarikh puasa juga ditentukan dengan falsafah sama, iaitu perlunya umat Islam mencerap anak bulan atau hilal sebagai antara tanda kebesaran Allah SWT.

Sistem kalendar hijrah berasaskan peredaran bulan mengelilingi bumi dengan bilangan sama ada 29 atau 30 hari dan tidak ditentukan semata-mata penggiliran bulan, ijtimak atau konjungsi seperti diamalkan dalam kalendar lunar Cina, India serta Yahudi.

Dalam Islam, penentuan awal bulan dilakukan semata-mata dengan rukyah atau cerapan hilal. Ini berdasarkan mafhum hadis Nabi SAW: “Janganlah kamu mula berpuasa melainkan setelah melihat hilal.” (HR Bukhari)

Kenampakan hilal

Dalam kaedah fiqh, ulama menyatakan petunjuk masuknya bulan baharu adalah berdasarkan kenampakan hilal dan bukannya kewujudannya.

Ketika zaman Nabi SAW, kekerapan berpuasa Ramadan sebanyak 29 hari lebih banyak berbanding 30 hari. Ini berdasarkan athar Ibnu Mas’ud RA: Kami berpuasa bersama-sama Nabi 29 hari lebih banyak berbanding 30 hari. (HR Abi Daud)

Ini membuktikan sahabat bersungguh-sungguh melakukan aktiviti cerapan sejak kefarduan puasa Ramadan pada tahun kedua hijrah. Pada masa sama, riwayat itu juga membuktikan langit Semenanjung Tanah Arab ketika itu, tidak tercemar dengan pencemaran cahaya dan kurang berawan hingga memudahkan mereka mencerap anak bulan.

Berdasarkan riwayat ini, umat Islam daripada zaman dahulu hingga sekarang bersungguh-sungguh melakukan cerapan hilal setiap 29 hari bulan hijrah. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan, keesokan hari akan digenapkan (istikmal) kepada 30 hari tetapi kalau kelihatan, esoknya akan masuk bulan baharu.

Antara cabaran mencerap anak bulan ialah faktor cuaca. Awan tebal atau kabus di kaki langit kadang-kadang menyukarkan proses cerapan kerana anak bulan terlindung.

Berdasarkan analitis data raya dikumpulkan sejak ilmu astrometri dan falak semakin berkembang dalam kalangan umat Islam, kita boleh menghitung kebolehnampakan anak bulan dengan hampir tepat.

Inilah proses digunakan kerajaan Malaysia sekarang, iaitu kaedah hisab imkan al-rukyah. Proses kiraan ini bukan menolak rukyah atau cerapan, bahkan menjadikan kebolehnampakan atau kebolehcerapan itu sebagai kriteria asas. Ia selari dengan hadis: “Apabila cerapan kamu dihalang oleh awan, maka hitunglah.” (HR Bukhari)

Kaedah cerapan secara pasti

Hadis ini selari dengan petunjuk disebut dalam hadis memberikan bayangan pada zaman Baginda, umat Islam belum lagi pandai menghitung. Maka difahami sekiranya teknik hitungan sudah tepat, maka ia boleh digunakan untuk melengkapkan kaedah cerapan secara pasti.

Rasulullah SAW bersabda: “Kami adalah umat buta huruf yang tidak boleh menulis dan juga tidak menghitung, satu bulan itu jumlah harinya begini dan begini, iaitu sekali berjumlah 29 dan sekali berikutnya 30 hari.” (HR Bukhari)

Antara sarjana Mazhab Shafie yang menolak penggunaan hisab termasuk Imam al-Haramain, Imam al-Mawardi, Imam Rafie, Imam Nawawi dan ramai lagi majoriti ulama mazhab. Premis penolakan adalah kerana tidak selari dengan arahan merukyah dalam kefahaman tekstual nas syarak, selain dikaitkan dengan ilmu al-tanjim (astrologi atau perbintangan) yang diharamkan dalam Islam.

Imam Subki pula menerima penggunaan hisab, hanya untuk tujuan menafikan penampakan anak bulan yang mustahil pada kaedah hisab dan pada masa sama, menolak penggunaan hisab untuk pensabitan anak bulan.

Sementara itu, ada juga penulisan dalam wacana al-Shafi’iyah yang menukilkan pendapat sarjana yang mengiktiraf peranan hisab seperti Abu al-‘Abbas, Mutorrif al-Shikir, al-Qaffal, al-Ṭabari dan Ibnu Qutaibah. Imam Ibnu Hajar al-Haithami turut meletakkan syarat penerimaan hisab seperti berikut:

1. Kesepakatan ahli falak bahawa hilal tidak kelihatan pada hari itu.

2. Bilangan ahli falak yang mencapai mutawatir jumlah yang tidak mungkin bersepakat untuk berdusta)

3. Hitungan hisab itu dibuktikan keberkesanannya.

Kajian ilmiah

Pada zaman ini, ilmu hisab bagi penentuan awal bulan terbukti dapat mengatasi masalah cerapan di negara berawan tebal seperti negara ini. Apa yang pasti, antara hikmah utama Ramadan dimulakan dengan cerapan anak bulan, adalah bagi mendorong umat Islam melakukan kajian ilmiah berterusan terhadap jasad samawi ciptaan Tuhan.

Ia juga menggalakkan umat Islam menyambut Ramadan dengan merenung tanda kebesaran Allah SWT bagi membolehkan mereka mengharungi pesta beribadah dengan penuh keimanan agar penghujung Ramadan nanti, beroleh ketakwaan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »