Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 Mei 2019

Sedekah murahkan rezeki, hindar bala

Posted by epondok di Mei 4, 2019

Oleh Hafizah Iszahanid

 

SEDEKAH menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan, khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain.

Namun, orang beriman yang memahami konsep sedekah itu akan meyakini ia amalan terpuji, yang bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan.

Pada umumnya, bersedekah ialah amalan sunat yang banyak disebut dalam Islam. Ia pemberian ikhlas yang sebenarnya menandakan tahap keimanan seseorang, selain bukti ketaatan kepada Allah SWT.

Amalan sedekah tidak terhad kepada orang berharta, sebaliknya orang Islam yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah berdasarkan kemampuannya, asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.

Sedekah juga tidak terhad kepada pemberian wang ringgit atau harta benda, sebaliknya merangkumi hal seperti mengajar ilmu baik dan memberi pertolongan.

Malah, senyum juga disifatkan sebagai sedekah apatah lagi jika ia membabitkan pembangunan ekonomi umat Islam seperti membayar zakat, berwakaf dan infak (memberi sumbangan wang serta harta).

Abu Dzarr berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Senyummu kepada saudaramu ialah sedekah bagimu; kamu memerintah kepada kebaikan dan melarang kemungkaran ialah sedekah; kamu memberi petunjuk kepada seseorang sesat di jalan ialah sedekah; kamu melihat kepada seseorang yang tidak dapat melihat dan menolongnya sedekah bagimu; kamu menghilangkan batu, duri dan tulang di jalan ialah sedekah bagimu dan kamu memasukkan air daripada timbamu ke timba saudaramu sedekah bagimu.” (HR Tirmizi)

Sementara dalam hadis lain, Abu Hurairah RA menyebut Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa: Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya). Malaikat satu lagi berdoa: Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Amalan sedekah meskipun pada logik matematiknya akan mengurangkan sebahagian harta kita apabila diberikan kepada orang lain, sebenarnya ia tidak sedemikian dalam pandangan alam Islam.

Menerusi amalan sedekah, seseorang akan dimurahkan rezeki, terhindar bala bencana, dipanjangkan umur, mencegah daripada kematian buruk atau dalam keadaan tidak beriman (su’ul khotimah) kerana ia membawa rahmat, selain menghapuskan sifat sombong, takbur serta menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.

Selain kebaikan di dunia, amalan bersedekah juga menjanjikan kelebihan di akhirat. Sesungguhnya mereka rajin bersedekah akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat pendinding daripada api neraka.

Kisah kelebihan amalan sedekah ini pernah disebut Rasulullah SAW apabila Abu Hurairah RA meriwayatkan Baginda bersabda: “Pada suatu hari ketika seorang lelaki berada di tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan: Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!”

Awan itu bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah berbatu hitam. Saluran air pada tanah itu kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani berdiri di kebunnya, sedang mengubah aliran air dengan cangkul.

Lelaki itu bertanya: “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab: Nama saya fulan, iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa. Si petani bertanya kepadanya: Wahai hamba Allah, mengapa kamu tanyakan namaku?”

Kata lelaki itu: “Sebenarnya sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata,‘siramilah air pada kebun si fulan,’ menyebut nama kamu. Apa yang kamu buat dengan kebun ini?”

Petani itu berkata: “Baiklah, kalau kamu katakan begitu. Sebenarnya, aku selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu aku sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya aku makan bersama keluargaku dan 1/3 lagi aku kembalikan (untuk modal cucuk tanam).” (HR Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »