Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hakim infak harta, rumah demi Islam

Posted by epondok di Mei 2, 2019


Oleh Nazmi Yaakub

 

KEKERASAN dan kekejaman gabenor pada zaman Umaiyah, al-Hajjaj ibnu Yusuf al-Thaqafi sudah terkenal dalam sejarah Islam khususnya kisah kepungan dan serangan terhadap Makkah hingga merosakkan Kaabah.

Ini kerana al-Hajjaj diperintahkan oleh Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan selepas sahabat RA, Abdullah ibnu Zubair RA mengisytiharkan diri sebagai khalifah di Makkah pada 64 Hijrah.

Abdullah yang juga anak sepupu Rasulullah SAW dan cucu Saidina Abu Bakar RA, dibimbangi memberikan saingan kepada kerajaan Bani Umaiyah, mendapat sokongan besar daripada umat Islam.

Pemilihan al-Hajjaj dibuat Abdul Malik kerana perwatakan dan kepemimpinan yang keras serta tidak mudah mengalah tetapi ia juga menyebabkan serangan manjanik atau pelontar peluru batu merobohkan sebahagian Kaabah.

Kepungan itu juga akhirnya menewaskan Zubair hingga menyebabkan Khalifah Abdul Malik melantik al-Hajjaj sebagai Gabenor Makkah, Madinah dan Taif.

Kekerasan yang dilakukan al-Hajjaj itu turut dicemuh oleh khalifah daripada Bani Umaiyah sendiri, iaitu Umar ibnu Abdul Aziz RA.

Ia terbukti apabila beliau memecat seorang gabenor yang pernah berkhidmat jawatan sama di bawah arahan al-Hajjaj.

Lelaki itu mendakwa hanya berkhidmat dalam tempoh pendek tetapi Umar berkata: “Bersama al-Hajjaj sehari atau kurang daripada itu sudah cukup menjadikan engkau jahat.”

Ia bertepatan dengan perbandingan Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Abu Musa RA: “Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat seperti berkawan dengan penjual minyak wangi serta tukang peniup api di bengkel besi. Jika berkawan dengan penjual minyak harum ada kalanya engkau disapukan minyak wangi atau engkau membeli kepadanya atau setidak-tidaknya engkau dapat mencium bau wangi. Jika berkawan dengan peniup api di bengkel besi ada kalanya pakaianmu boleh terbakar atau setidak-tidaknya engkau mencium bau busuk.” (HR Muslim)

Maulana Jalaluddin Rumi mengumpamakan berkawan dengan pemimpin jahat ibarat lelaki dirantai kakinya pada naga yang tidak akan dihampiri haiwan buas tetapi apabila naga itu terbang kelak, barulah lelaki itu tahu langit tinggi rendah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: