Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hakim bin Hazam infak harta, rumah demi Islam

Posted by epondok di April 30, 2019


Oleh Mohd Faiz Othman

 

Hakim bin Hazam adalah anak saudara Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang membesar dalam keluarga kaya raya. Kelewatan beliau memeluk Islam bukti hidayah milik Allah SWT.

Beliau memeluk Islam dan mendapat hidayah ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah. Selepas beliau memeluk Islam, banyak harta diinfakkan beliau demi Islam bagi menebus kesilapan yang lalu. Ikuti kupasan menarik kisah tokoh hartawan yang dermawan ini bersama al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm.

Saidina Hakim bin Hazam antara tokoh hartawan dalam kalangan Muhajirin. Rasulullah SAW pernah berkata kepada himpunan sahabat saat Baginda mengenangkan orang yang berada di Makkah yang belum memeluk Islam.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya di Makkah itu terdapat empat orang yang aku tidak setuju mereka kekal di Makkah dalam keadaan syirik dan aku sangat mengharapkan mereka mendapat agama Islam. Salah seorang daripada mereka, ialah Hakim ibnu Hazam.”

Kisah Hakim dikongsikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm. Sejarah telah terpahat indah mengenai Hakim bin Hazam, satu-satunya manusia yang dilahirkan di dalam Kaabah.

Beliau adalah anak saudara kepada Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Hakim membesar dalam keluarga yang kaya raya, mempunyai kedudukan dan kemuliaan. Hidupnya penuh dengan kegembiraan dan kemakmuran.

Beliau dikurniakan oleh Allah SWT akal cergas dan kemuliaan yang baik sehinggakan dengan kelebihan itu kaumnya telah melantik beliau sebagai orang yang memegang satu kedudukan besar dalam kalangan bangsa Arab, jawatan rifadah.

Rifadah ialah seorang yang menanggung perbelanjaan jemaah haji yang terputus bekalan makanan dan bekalan kehidupan. Beliau membelanjakan hartanya sendiri untuk golongan itu.

Beliau juga sahabat yang sangat akrab dengan Baginda SAW sebelum Baginda diutuskan menjadi Rasul. Hubungan mereka menjadi lebih erat dan akrab apabila terjalinnya hubungan kekeluargaan tatkala Baginda mengahwini Saidatina Khadijah.

Pastinya bermain di fikiran kita bahawa Hakim antara yang terawal memeluk Islam kerana keakrabannya dengan Baginda SAW. Namun, sejarah mencatatkan beliau bukan yang terawal memeluk Islam, bahkan beliau memeluk Islam selepas lebih 20 tahun Baginda SAW berdakwah.

Inilah ketentuan Allah SWT dan ternyata hidayah itu milik Allah SWT. Bukan kita sahaja berasakan pelik, tetapi Hakim juga setelah memeluk Islam berasa pelik dan hairan mengapa beliau lewat memeluk Islam.

Menangis lewat masuk Islam

Pada satu ketika, pernah anaknya melihat Hakim menangis lalu ditanya, “Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai ayahku? Maka jawabnya: Banyak hal wahai puteraku yang menyebabkan aku menangis. Yang pertama apabila aku mengenangkan lambatnya aku memeluk Islam sehinggakan aku telah didahului oleh ramai orang baik yang telah membuat kebaikan demi kebaikan. Mereka juga telah banyak menafkahkan hartanya ke jalan Allah SWT. Aku juga terkenangkan bagaimana Allah SWT, telah menyelamatkan aku dalam Perang Badar dan Uhud kerana pada ketika itu, aku keluar untuk menghunuskan pedang ke arah Rasulullah SAW dan memerangi Baginda. Alangkah baiknya kalau aku tidak melakukan hal yang sedemikian itu, aku hanya dimusnahkan dan dirosakkan kerana mengikut kepada tradisi nenek moyang yang menyebabkan aku jauh daripada agama Allah pada awalnya. Maka kenapakah aku tidak menangis wahai anakku.”

Hakim memeluk Islam dan mendapat hidayah Allah SWT beberapa hari sebelum Rasulullah SAW masuk ke kota Makkah dalam peristiwa ‘Pembukaan Kota Makkah’. Peristiwa itu berlaku pada 20 Ramadan tahun ke-8 daripada hijrah Rasulullah SAW. Ketika itu, Baginda ingin memberikan kemuliaan buat Hakim.

Ketika Baginda SAW masuk ke Kota Makkah, Baginda memerintahkan sekumpulan melaungkan kata-kata sesiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya, dia selamat.

Barang siapa yang berada di pekarangan Kaabah dan meletakkan senjata, dia juga selamat. Barang siapa yang menutup pintu rumahnya dan tidak menentang, dia juga selamat.

Sesiapa yang masuk ke rumah Abu Suffyan, dia juga selamat dan sesiapa yang memasuki rumah Hakim, maka dia juga selamat. Rumah Hakim ini antara rumah yang Baginda muliakan sehingga memberikan jaminan keamanan kepada sesiapa yang memasuki rumah beliau.

Hakim telah memeluk Islam dengan sepenuh jiwa raganya dan sanggup berkorban demi agama serta banyak menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT demi menebus segala kesilapannya yang lalu.

Salah satu daripada kebaikannya untuk agama Allah SWT, beliau telah menjual rumahnya yang bernama Darul Nadwah, tempat persidangan pembesar Quraisy. Beliau telah menjual dengan harga 100,000 Dirham.

Infak harta

Orang ramai mengatakan kepadanya: “Engkau telah menjual kemuliaan Bangsa Quraisy. Hakim menjawab: Tidak sama sekali, sesungguhnya kemuliaan itu sebenarnya hanyalah bertakwa kepada Allah. Maka, bersaksilah seluruh daripada harga jualan rumah ini, aku berikan ke jalan Allah SWT.”

Bukan itu sahaja, bahkan tahun demi tahun ketika musim haji, Hakim telah menginfakkan beberapa harta demi jalan Allah SWT dan membawa bersamanya seratus orang hamba untuk mengerjakan ibadah haji bersama-sama.

Ada satu peristiwa yang membuatkan Hakim menjadi seorang yang begitu dermawan. Ketika berlakunya Perang Hunain, bagi menggembirakan orang Makkah yang telah memeluk Islam, harta rampasan perang telah diserahkan kepada mereka.

Perkara ini telah menjadi cakap-cakap dalam kalangan golongan Ansar yang mengatakan Baginda SAW telah pulang ke kampung dan melupakan mereka. Mendengarkan kata-kata itu, Baginda kemudian berkata: “Tidakkah kalian reda wahai orang Ansar, yang aku berikan kepada mereka hanyalah kambing dan unta sedangkan kuberikan kepada kalian ialah diriku yang akan pulang bersama kalian.”

Maka seluruh sahabat Ansar menangis. Rasa teruja melihatkan harta yang banyak dalam peperangan Hunain, maka Hakim telah pergi kepada Rasulullah SAW untuk meminta pemberian harta. Apabila diminta, Baginda berikan.

Begitulah berlaku setiap kali beliau meminta kerana Baginda mahu menghiburkan hati mereka yang baru sahaja memeluk Islam dan kali pertama menyertai peperangan. Pemberian yang diberikan kepada Hakim itu, sarat di atas muatan seratus ekor unta.

Baginda berkata kepada beliau: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini sesuatu yang sangat menarik. Sesiapa yang mengambilnya dengan bersyukur dan berhati-hati, Allah akan memberkatinya. Sebaliknya sesiapa yang mengambilnya mengikut runtunan hawa nafsu dan keinginan, maka dia tidak akan diberkati pada hartanya. Kemudian pada penghujung pesanan Baginda kepada Hakim: Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah.”

Saat Hakim mendengarkan kata-kata Baginda SAW itu, beliau sangat terkesan sehingga beliau mengatakan: “Wahai Rasulullah, demi Tuhan yang mengutuskan engkau, aku tidak akan meminta lagi kepada sesiapa pun selepas ini serta aku juga bertekad tidak akan mengambil sesuatu pun daripada sesiapa juga selepas ini.” Begitulah peristiwa dan kisah kehidupan yang boleh menjadi pengajaran yang terbaik buat kita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: