Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 April 2019

Feminisme Barat hanya memporak-perandakan

Posted by epondok di April 28, 2019

Oleh Latifah Arifin

 

Isu penindasan, penderaan, diskriminasi dan gangguan seksual yang berlaku terhadap wanita Muslim sering dijadikan peluang kepada golongan feminisme Barat untuk menyerang hukum dan prinsip Islam.

Ia sengaja diperbesar-besarkan sejak sekian lama untuk mewujudkan sentimen feminisme yang tidak sihat hingga ramai terpengaruh dan mula menerima ideologi yang jelas bertentangan syarak.

Apatah lagi perjuangan feminisme kononnya dapat memberikan hak saksama kepada wanita, menjaga keadilan, kebajikan dan kebebasan tanpa diikat atau berada di bawah kongkongan agama.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian, berkata selagi masyarakat tidak menjadikan Islam sebagai rujukan hidup, sukar membawa mereka kembali kepada jalan kebenaran.

Yasmin Hanani berkata, ada pihak yang mempersoalkan Rasulullah SAW dengan pelbagai tuduhan berat seperti mengaitkan bagaimana Baginda memberikan nafkah kepada isteri dan anak.

Kerangka Islam

“Tuduhan sebegini amat merbahaya hingga sampai ke tahap mempersoalkan mengapa nabi dan rasul diturunkan daripada kalangan lelaki sahaja.

“Ada kelompok feminis yang menuduh Islam membenarkan keganasan seperti membenarkan suami memukul isteri sedangkan mereka hanya mengambil dalil secara separuh dan terus mengeluarkan pelbagai label tidak ber-asas.

“Pemikiran golongan ini tidak dikawal Islam, bahkan cenderung tidak mendahulukan hak Allah SWT hingga apa sahaja yang masuk seperti feminisme dan liberalisme dirasakan tidak salah dan terus diterima,” katanya pada Wacana Intelektual Siri 4: Kuasa Wanita Dalam Mengislahkan Dunia Moden di USIM, Nilai.

Yasmin Hanani mengupas lanjut, kuasa wanita amat besar tetapi perlu berada dalam kerangka Islam yang akan menjamin hak setiap individu.

“Ada banyak bukti Islam memelihara hak dan kedudukan wanita seperti hukum lian yang menjaga maruah isteri daripada dituduh melakukan zina oleh suami sendiri,” katanya pada wacana anjuran Sekretariat Fiqh Fatwa USIM.

Beliau menambah, tidak salah sekiranya wujud semangat memperkasakan wanita dalam segenap bidang tetapi perlu memastikan asas dan hak dituntut selari dengan Islam.

Dalam konteks peranan wanita memperbaiki masyarakat, Yasmin Hanani berkata, terdapat tiga tanggungjawab utama perlu dikuasai dan diberikan penekanan.

Beliau berkata, tanggungjawab itu berkaitan cara hidup secara berkeluarga bermula di rumah, kewajipan menuntut ilmu dan menyebarkan dakwah.

“Ia saling memerlukan kerana bayangkan kita ada rumah cantik tetapi ahli keluarga tidak diajak untuk solat sedangkan islah bermula dalam kalangan orang terdekat.

“Begitu juga wanita dikatakan tidak perlu belajar hingga ke universiti kerana akhirnya akan duduk di dapur juga.

“Hal ini tidak tepat kerana wanita perlu ada ilmu mantap kerana sekiranya satu hari nanti bergelar ibu, anak itu perlu dididik baik, bahkan untuk mengislahkan masyarakat juga perlu ada daya intelek tinggi,” katanya.

Bahkan katanya, tidak dinafikan ada sesetengah masyarakat berpandangan skeptikal mengenai wanita yang memegang jawatan tinggi di sesebuah organisasi.

Karakter wanita yang menjadi pemimpin sering dikaitkan dengan tingkah-laku negatif termasuk terlalu cerewet, sukar bertoleransi dan suka mengarah.

Menurut Yasmin Hanani, ia sebenarnya tidak dipengaruhi oleh gender, sebaliknya karakter bergantung kepada bagaimana amalan hidupnya bermula di rumah.

Sekiranya krisis keluarga dapat dikurangkan dengan mengikut prinsip agama, sentiasa mengamalkan akhlak seperti dituntut Islam, ini akan menjadi acuan membentuk individu ketika berada dalam lingkungan masyarakat.

Beliau turut menasihati Muslimah supaya tidak sekali-kali memanipulasi ‘kuasa wanita’ untuk tujuan tertentu atau demi kepentingan sendiri.

Usah ambil kesempatan

“Ada dalam kalangan ibu mengatakan kuasanya itu sangat tinggi, maka anak tidak boleh ‘menderhaka’ dalam apa juga cara atau situasi.

“Setiap ibu masih perlu memantapkan diri dengan iman dan takwa, sekali gus tidak bermakna status ibu akan membuatkan mereka automatik dapat terus ke syurga.

“Walaupun diberikan kelebihan daripada Allah SWT, janganlah ambil kesempatan seperti menentukan hidup anak hingga ke tahap menetapkan calon isteri kerana mereka juga ada hak menentukan hidup sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sebagai isteri pula, jangan sekali-kali berasakan diri tidak lagi mempunyai hak untuk menentukan hidup sendiri selepas berkahwin.

“Namun, yakinlah amanah Allah SWT melalui kurniaan suami itu untuk memimpin dan membawa isteri kepada jalan kebenara.

“Pada masa sama, isteri masih ada hak untuk menjalani hidup dalam kerangka selari dengan syarak,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »