Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 April 2019

Tingkat iman, kawal hawa nafsu hadapi fitnah wanita

Posted by epondok di April 17, 2019

SIRAH nabi dan kisah orang soleh memberikan banyak pengajaran serta ibrah kepada umat Islam termasuk dalam mengungkapkan bahaya fitnah atau ujian daripada wanita.

Sabda Rasulullah SAW: Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita. (HR Muslim)

Bagaimanapun, ibrah terhadap implikasi fitnah atau ujian itu bukan menunjukkan kedudukan wanita yang rendah, sebaliknya sebagai peringatan kepada manusia supaya meningkatkan keimanan yang dapat mengawal serta menundukkan hawa nafsu.

Antara kisah fitnah wanita yang dikonsi oleh Mudir Pondok Wakaf Budi Sekam, Pattani, Tuan Guru Baba Ghazali Ahmad al-Fathani al-Azhari atau lebih dikenali sebagai Baba Li Sekam, ialah kisah Nabi Yusuf AS dengan Zulaikha dan ahli ibadat, Juraij dengan pelacur.

Beliau berkata, Nabi Yusuf AS cuba digoda oleh isteri kepada pembesar Mesir, Zulaikha untuk melakukan perbuatan yang dilarang kerana wanita itu terpukau dengan keindahan rupa paras Baginda.

“Semua pintu mahligai ditutup dan Nabi Yusuf AS sudah terkepung. Peluang itu diambil oleh Zulaikha untuk menggoda dan mengajak Nabi Yusuf melakukan perbuatan yang dilarang,” katanya pada Diskusi Ilmu & Soal Jawab bersama Tuan Guru Baba Ghazali Sekam al-Fathoni di Masjid Ibrahim, Pasir Puteh.

Firman Allah SWT: “Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya, merayu Yusuf untuk dirinya; dan dia menutup pintu serta berkata: Marilah kamu. Jawab Yusuf: Aku berlindung kepada Allah; sesungguhnya Tuhanku memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya.

“Dan wanita itu berkeinginan sangat kepadanya dan Yusuf pun berkehendak kepada wanita itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya. Demikianlah, Kami jauhkan Yusuf dari keburukan dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba Kami yang ikhlas. (Yusuf: 23 dan 24)

Baba Li Sekam berkata, Nabi Yusuf AS bergegas ke pintu tetapi pada masa sama, Zulaikha terus menarik baju Baginda dari belakang hingga menyebabkannya terkoyak.

“Apabila pintu dibuka dan pembesar itu sangat terkejut tetapi Zulaikha menuduh Nabi Yusuf AS berbuat jahat kepadanya.

“Bagaimanapun, kebenaran akhirnya terungkai dengan muncul seorang individu yang memberikan logik dengan keadaan baju Nabi Yusuf yang terkoyak di bahagian belakang yang menunjukkan Baginda tidak bersalah,” katanya.

Firman Allah SWT: “Yusuf berkata: Dia yang menggoda diriku dan seorang dari keluarga perempuan itu tampil memberi pendapatnya dengan berkata: Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan wanita itu, dan jadilah Yusuf dari orang yang dusta.

“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah wanita itu, dan Yusuf adalah dari orang yang benar.

“Setelah dia melihat baju Yusuf koyak di belakang, berkatalah ia: Sesungguhnya inilah tipu dayamu wahai wanita; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar.” (Yusuf: 26-28)

Baba Li Sekam turut berkongsi kisah balasan menyakiti hati ibu menerusi kisah ahli ibadah, Juraij yang tidak menyahut panggilan ibunya sebanyak tiga kali pada hari berlainan yang mengunjungi anaknya ketika bersolat.

Beliau berkata, ibu Juraij berdoa supaya Allah jangan mengambil lagi nyawa anaknya itu melainkan selepas diberi ujian bersama pelacur yang datang mengakui anak dikandungnya adalah dari benih Juraij.

Katanya, selepas kelahiran bayi itu, kebenaran terbongkar tetapi Juraij mengakui fitnah yang dilempar kepadanya itu adalah balasan terhadapnya yang menyakiti ibunya.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Ibrahimi, Mohd Rosman Che Harun, berkata kedatangan Baba Li Sekam dinantikan kerana tokoh itu sangat berpengaruh dan bukan sahaja di Thailand dan Kelantan, bahkan di negeri lain.

“Majlis ilmu kali ini kerjasama antara pihak masjid dengan Pejabat Agama Jajahan Pasir Puteh.

“Kami memang kerap mengadakan majlis agama seperti ini dengan menjemput beberapa tokoh agama yang sudah pasti banyak ilmu agama yang dapat disampaikan kepada jemaah masjid,” katanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »