Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 April 2019

Isi Syaaban dengan puasa, segera qada

Posted by epondok di April 15, 2019

 

Syaaban menunjukkan kita sudah berada di ambang Ramadan kerana kini hanya dijarakkan dengan bilangan hari yang berlalu pantas terutama akhir zaman ini.

Selain bulan berjiran dengan Ramadan, Syaaban mempunyai banyak kelebihan bertepatan dengan namanya.

Dalam kitab Raudhah al-Ulama, Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu tahu mengapa dinamakan Syaaban?” Sahabat RA menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui.” Baginda bersabda: “Ia disebabkan mempunyai banyak kebaikan yang bercabang-cabang (amat menonjol).”

Syaaban menyaksikan Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa sunat yang tidak berlaku seperti bulan lain.

Usamah ibnu Zaid RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan berpuasa pada suatu bulan seperti tuan berpuasa pada Syaaban?” Baginda menjawab: “Syaaban ialah bulan terletak antara Rejab dan Ramadan yang sering dilupakan manusia. Ia bulan yang mengandungi amal perbuatan yang akan diangkat ke sisi Tuhan Semesta Alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (HR Ahmad dan Nasa’i)

Kesungguhan Nabi Muhammad SAW berpuasa pada Syaaban turut diakui oleh isteri Baginda yang mulia, Saidatina Aishah RA seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah mengetahui Baginda lebih banyak berpuasa sunat selain Syaaban.”

Kita boleh mengambil peluang kebaikan yang bercabang-cabang pada Syaaban ini untuk berpuasa sunat seperti Isnin dan Khamis serta hari putih, iaitu pertengahan bulan pada 13, 14 dan 15 Syaaban.

Bagi mereka yang mempunyai kekuatan pula, boleh berpuasa Daud, iaitu berpuasa selang sehari sekiranya meyakini tindakan itu tidak menjejaskan stamina pada Ramadan kelak.

Puasa Nabi Daud itu pernah disarankan oleh Rasulullah SAW kepada Abdullah ibnu Amr yang mampu untuk berpuasa sehari dan tidak berpuasa dua hari secara bergilir.

Baginda bersabda, “Kalau begitu berpuasa sehari, lalu tidak berpuasa sehari. Itulah puasa Daud AS dan ia puasa paling afdal.” Abdullah berkata: Sesungguhnya aku mampu untuk puasa lebih daripada itu.” Baginda bersabda: “Tidak ada yang afdal daripada itu lagi.” (HR Bukhari)

Bagaimanapun dalam mengejar amalan sunat itu, umat Islam yang meninggalkan puasa Ramadan tahun lalu wajib qada ibadat berkenaan pada bulan ini.

Mereka yang berbuat demikian, dibenarkan juga untuk menggandingkan puasa qada dengan sunat mengikut sebahagian ulama termasuk Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar al-Haithami.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »