Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 7 April 2019

Didik ummah tolak sekularisme

Posted by epondok di April 7, 2019

Ia hanya ditakrif sebagai pemisahan antara agama dengan politik atau pembabitan manusia dalam bidang yang dianggap sekular seperti ekonomi dan sains

Bagaimanapun, sekularisme sebenarnya melangkaui makna yang lebih luas kerana gagasan falsafah itu memiliki pandangan alam yang mengeluarkan atau mengasingkan makna rohaniah daripada kesedaran manusia dan alam tabii.

Alam semesta berdasarkan pandangan kelompok sekular hanya apa yang dapat dilihat, dirasa dan diukur oleh ilmu sains semasa.

Ia juga menafikan terdapatnya nilai dan prinsip kekal abadi, sekali gus mengatakan semua perkara perlu berubah mengikut tuntutan masyarakat dan sejarah.

Pengasas dan bekas pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, berkata pandangan alam sebegini meletakkan visi dan misi pendidikan serta politik hanya untuk kehidupan dan kepentingan duniawi.

Wan Mohd Nor berkata, fahaman itu menganggap agama hanya ciptaan akal dan kebudayaan manusia untuk kepentingan duniawi.

Beliau berkata, menurut golongan itu, agama tidak semestinya dihapuskan langsung, tetapi nilainya bersifat kebangsaan dan boleh berubah-ubah.

“Di Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang mengakui sekular sebagai pandangan rasmi misalnya, peranan isu agama masih sangat penting termasuk dalam arena politik.

“Di negara Kristian ortodoks, termasuk Russia, agama mendapat tempat lebih besar sejak beberapa dekad terakhir ini,” katanya pada program Borak Buku: Islam and Secularism karya Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Galeri PETRONAS, Kuala Lumpur.

Wan Mohd Nor berkata, karya al-Attas menyebut benih pemikiran sekularisme Barat bermula daripada falsafah Yunani kuno lagi.

“Orang Yunani kuno berpegang bahawa Tuhan sifatnya suci tetapi kesucian itu tidak membenarkannya untuk mengetahui dan berkecimpung dalam dunia makhluk yang tidak suci serta saling berubah.

“Maka, bertujuan mengekalkan kesucian Tuhan dalam pemikiran falsafah Yunani, mereka membataskan pembabitan-Nya terhadap makhluk termasuk tuhan tidak boleh mengetahui makhluk yang diciptakannya itu.

Gugat semua agama

“Bagi mereka, jika Tuhan mengetahui makhluknya, tuhan akan terbabit dalam perubahan dan ia menyebabkan ketidaksucian padanya,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata, sekularisme ialah aliran pemikiran yang akan menggugat semua agama termasuk Islam.

“Agama lain turut berdepan dengan trend sekularisme yang mencabar prinsip dan nilai utama dalam akidah serta akhlak.

“Sarjana Islam yang sedar terus-menerus mendidik umat mengenai bahaya besar aliran pemikiran ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks semasa, negara yang kental pegangan agamanya sekalipun turut dicengkam trend sekularisme yang kuat.

“Tanpa disedari agama pun digunakan untuk kepentingan sekular, yakni kepentingan peribadi dan kumpulan sama ada dari segi politik, ekonomi dan bidang lain.

“Ia digunakan bukan lagi untuk meninggikan pengalaman kerohanian dan takwa, memperbaiki adab, akhlak diri serta masyarakat,” katanya.

Lebih malang lagi, kata Wan Mohd Nor, umat Islam masih berkelahi mengenai isu kecil yang sebenarnya sudah diselesaikan oleh ulama muktabar sejak ratusan tahun.

“Kita berpecah-belah di dalam masjid, menyalahgunakan dana sedekah dan zakat, malah dalam ibadat haji serta umrah, maknanya turut disekularkan.

“Lihat sahaja bagaimana ada orang berbangga berswafoto ketika tawaf dan menunaikan umrah setiap Ramadan dengan memaparkan kos perbelanjaan hotelnya mencecah puluhan ribu semalam,” katanya.

Beliau berkata, ia menunjukkan bagaimana sekularisme meresap ke dalam kehidupan umat Islam hingga kepada bab memahami ajaran Islam itu sendiri.

“Umpamanya dalam soal pemilihan pemimpin dahulu seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA, Umar al-Khattab RA, Uthman Affan dan Ali Abi Talib, mereka bukan saja dipilih kerana memahami Islam dan mempunyai ilmu agama semata-mata.

“Walaupun memang Khulafa’ ar-Rasyidun itu sangat memahami agama ini, mereka turut terbukti mempunyai akhlak mulia, berwibawa memimpin dan menyatupadukan ummah.

Lawan dengan kaedah tepat

“Apatah lagi pada zaman itu, ada begitu ramai sahabat yang alim,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata, menurut Prof al-Attas dalam buku itu, wabak sekularisme perlu dilawan dengan cara dan kaedah tepat, iaitu ditangani melalui jalan penyebaran ilmu komprehensif.

“Kita perlu melihat bukan sahaja pada masalah bersifat zahir seperti politik, bahkan kesilapan dalam memberikan makna kepada ilmu.

“Hakikatnya, ilmu ialah makna dalam diri dan semua ilmu perlu membawa kita mengenal Tuhan. Setiap pandangan alam (worldview), ada tafsiran berlainan mengenai ilmu,” katanya.

Tambahnya, dalam buku penting itu, masalah besar umat Islam juga disebabkan masalah dalaman yang berbentuk kekeliruan makna ilmu dan hierarki ilmu pengetahuan sebenar.

Selain itu, Wan Mohd Nor berkata, masalah dalaman juga disebabkan keruntuhan adab dalam pemikiran dan alam perbuatan.

“Kita biadab kepada Tuhan, Nabi dan orang yang menguasai bidang itu sendiri. Misalnya dalam bab agama, kita tidak merujuk kepada pakarnya.

“Allah SWT mengutuskan Nabi untuk mengajar ilmu ini dan disebarkan pula kepada ahli keluarga dan sahabatnya, sekali gus menjadi sumber ilmu serta teladan penting bagi kita,” katanya.

Beliau berkata, masalah asas umat Islam bersumber daripada masalah dalaman dan luaran juga menjadi semakin runcing.

Timbulkan kekeliruan

“Keruntuhan adab, iaitu kehilangan disiplin akliah, rohaniah dan jasadiah yang menghilangkan upaya meletakkan suatu perkara di tempat wajar hingga menimbulkan kekeliruan dan kezaliman dalam semua lapangan kehidupan.

“Faktor luaran pula adalah akibat pertentangan antara kebudayaan dan tamadun Barat terhadap Islam,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata, karya itu turut membincangkan sebab kemunduran umat Islam hari ini.

“Perpecahan daripada aspek politik, ekonomi, sosial dan teknologi hanya aspek permukaan sahaja, sebaliknya ada perkara lain menjadi punca termasuk, kejahilan kita sendiri.

“Bukan sahaja kejahilan itu berbahaya, malah kekeliruan dalam memahami dan kesilapan dalam menangani pengetahuan juga perlu ditangani.

“Ada antara orang berilmu dalam kalangan umat Islam zaman ini akhirnya menganut pandangan alam sekular dan menjadi keliru terhadap pandangan alam Islamnya.

“Mereka cuba mengubah nilai dan dasar agama ini mengikut pandangan alam yang keliru itu, sekali gus menjadi antara cabaran yang kita hadapi,” katanya.

Menurutnya, manusia yang jahil boleh diajar supaya pandai, tetapi mengajar mereka yang keliru itu lebih sukar.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »